Saya mula menghantar artikel ini ke jurnal web of science (ISI) Q2 pada tahun 2017. Tetapi ianya ditolak. Komen-komen yang saya perolehi, saya gunakan untuk tambahbaik artikel berkenaan. Kemudian saya cuba hantar ke jurnal ISI Q3. Beberapa bulan kemudian, ianya ditolak sekali lagi. Komen-komen saya ambil sekali lagi bagi tujuan penambahbaikan. Seterusnya saya hantar artikel yang saya kira sudah bagus (iyalah sebab dah tambahbaik berdasarkan komen dari dua jurnal yang tolak sebelum ini) ke jurnal ISI Q4. Kali ini jurnal tersebut tidak tolak tapi tanyalah sahabat saya Dr. Hilmi Hamzah, berapa kali pusingan pembetulan yang perlu kami lakukan. Empat pusingan pembetulan ya. Setiap pusingan boleh ambil masa 2 ke 3 bulan. Boleh bayangkan tak betapa rigorous nya sesebuah artikel dinilai dan diuruskan. Ini berdasarkan pengalaman saya dalam bidang sains sosial (pendidikan). Dan akhirnya hari ini, Alhamdulillah artikel saya berjaya diterima untuk diterbitkan dalam South African Journal of Education (SAJE), sebuah jurnal berindeks ISI dan Q4 dengan impact factor (IF) 0.74. Jadi moral of the story, never give up. Don’t quit and you will win. That’s it.
[Part 3] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol
Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-2-menikmati-keunikan-madrid-dan-keindahan-tenerife-utara-di-bumi-sepanyol/
Istana Diraja Madrid atau dikenali sebagai Palacio Real de Madrid merupakan kediaman rasmi Keluarga Diraja Sepanyol di bandar Madrid. Namun ia hanya digunakan untuk upacara rasmi. Selebihnya ia terbuka kepada orang ramai. Istana tersebut telah dibina pada abad ke-18 dan ke-19, dan merupakan bangunan yang monumental. Istana ini mempunyai keluasan 135,000 meter persegi dan memiliki 3,418 bilik. Ia merupakan istana diraja terbesar di Eropah dari segi keluasan lantai. Hiasan dalaman istana tersebut merupakan citarasa mewah Raja Charles III yang berkuasa ketika itu. Ketika ini, Raja Felipe VI dan keluarga diraja tidak menetap di situ, tetapi memilih Istana Zarzuela yang terletak di pinggir kota Madrid. Ketika dibuka kepada orang ramai, pengunjung boleh melihat sendiri dan melawat bilik-bilik dan dewan-dewan jamuan yang mewah yang terdapat di dalam istana berkenaan. Walau bagaimanapun, penulis tidak bernasib baik kerana ketika penulis tiba pada hari tersebut, ianya telah ditutup kepada pengunjung. Jadi penulis menghabiskan masa dengan mengambil gambar di perkarangan luar istana sebelum pulang ke Puerta del Sol.
Banyak kedai cenderahati boleh didapati di kawasan Puerta del Sol, namun harga yang dikenakan agak mahal berbanding dengan kedai-kedai yang terletak di pinggir kawasan ini. Setelah berehat di tempat penginapan, penulis berjalan kaki menuju ke Hard Rock café Madrid. Disebabkan cuaca yang sejuk ditambah dengan pemandangan yang menarik, penulis tidak merasa penat, malah berasa teruja untuk meneroka kawasan kota Madrid.Madrid tidak banyak bangunan pencakar langit sebagaimana biasa kita lihat di bandar-bandar utama di benua Asia. Percaya atau tidak, bangunan tertinggi di Madrid yang berukuran 236m sahaja iaitu lebih kurang ketinggian hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur dan hanya lebih sedikit daripada separuh ketinggian Menara Berkembar Petronas yang berukuran 451.9m. Walau bagaimanapun, bangunan-bangunan di bandar ini sangat cantik, unik dan klasik. Setelah meluangkan tiga hari dua malam di Madrid, penulis ke Tenerife Utara (North Tenerife) yang perjalanannya mengambil kira-kira tiga jam penerbangan dari Madrid. Tenerife Utara merupakan sebahagian dari kepulauan Canary.
Kepulauan Canary adalah kepulauan Sepanyol dan wilayah autonomi Sepanyol yang terletak di Lautan Atlantik dan berjarak 100 kilometer dari barat negara Maghribi. Menurut sejarah, Kepulauan Canary telah dianggap jambatan antara tiga benua iaitu Afrika, Amerika dan Eropah. Ini mungkin disebabkan kedudukan strategiknya yang berada di tengah-tengah antara ketiga-tiga benua tersebut. Tenerife adalah pulau terbesar dan paling padat antara tujuh pulau yang terdapat di Kepulauan Canary. Ia juga merupakan pulau terbesar di Sepanyol, dengan keluasan tanah 2,034.38 kilometer persegi dan 898,680 penduduk. Jumlah ini merupakan 43 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di Kepulauan Canary. Santa Cruz de Tenerife adalah ibu kota Kepulauan Canary. Ia terletak di hujung timur pulau Tenerife, iaitu pulai terbesar dalam rantaian kepulauan Canary. Di pulau Tenerife terdapat dua buah lapangan terbang antarabangsa iaitu di Tenerife Utara dan Tenerife Selatan. Penulis mengambil penerbangan dari Madrid ke Tenerife Utara memandangkan ibukota Santa Cruz de Tenerife terletak berdekatan dengan lapangan terbang tersebut. Kalau kita masih ingat, pada tahun 1977, lapangan terbang ini merupakan kawasan berlakunya nahas udara paling teruk dalam sejarah penerbangan apabila 583 penumpang dan anak kapal terbunuh selepas dua pesawat Boeing 747s bertembung di landasan dalam kabus tebal.
Bersambung……
Pelajar Phd Keenam dan Yang Pertama Sebagai Penyelia Utama
Alhamdulillah.. pelajar Phd saya yang ke-enam lulus viva (termasuk yang telah bergraduan). Tapi kali ini ianya terasa manis dan puas kerana beliau merupakan pelajar Phd saya yang pertama di bawah bimbingan saya sebagai penyelia utama. Tahniah Julius Elizabeth (dari Nigeria) dan tahniah Dr. Nornazira Suhairom selaku penyelia bersama. Terima kasih panel penilai, Prof. Dr. Munirah dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Zaleha Ismail, Prof. Dr. Yahya Buntat selaku pengerusi sesi viva dan Dr. Sharifah sebagai pembantu pengerusi.
Sebelum saya terbang ke Korea juga, dua orang pelajar antarabangsa saya telah lulus defend proposal Phd mereka. InshaAllah sepanjang keberadaan saya di Korea Selatan, mereka pulang seketika ke negara mereka untuk pengumpulan data kajian dan jumpa ahli keluarga tercinta.
[Part 2] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol
Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-1-menikmati-keunikan-madrid-dan-keindahan-tenerife-utara-di-bumi-sepanyol/
Saya sebenarnya bukanlah peminat tegar sukan bola sepak tetapi sudah alang-alang berada di Madrid, mengapa perlu melepaskan peluang sebegini. Saya mengambil lawatan di stadium berkenaan dengan penerangan yang disampaikan oleh jurupandu. Saya terlebih dahulu menikmati pemandangan stadium yang boleh menempatkan seramai 86,000 penonton pada satu-satu masa dari bahagian atas tempat duduk stadium. Setelah puas, saya memasuki bahagian muzium yang meliputi kabinet pameran trofi-trofi yang pernah dimenangi oleh kelab Real Madrid dalam Euro Cup, La Liga, UEFA champion leagues dan macam-macam lagi serta semua tentang sejarah pasukan yang berusia lebih dari 100 tahun. Di sekeliling laluan memaparkan skrin video pemain Real Madrid yang menjaringkan gol kemenangan dengan bergaya. Terdapat juga satu bahagian yang memaparkan skrin peta dunia yang mana di skrin itu diplotkan kawasan-kawasan di seluruh dunia yang menyatakan hashtag Real Madrid secara masa nyata (real time). Selepas menimba pengetahuan mengenai pasukan Real Madrid di bahagian pameran, saya dibawa turun ke kawasan tepi padang. Saya dibawa ke tempat duduk di mana kedua-dua pasukan yang bermain duduk dengan jurulatih mereka di tepi padang. Saya kemudian melalui terowong pemain untuk ke bilik persalinan iaitu tempat para pemain mempersiapkan diri sebelum bergerak ke padang untuk bermain dan juga selepas permainan. Di setiap loker dan tempat duduk tertera nama-nama pemain kelab tersebut. Saya juga sempat melihat bilik sidang media iaitu tempat wartawan menemuramah pengurus, jurulatih dan pemain usai permainan tamat. Perjalanan lawatan tersebut mengambil masa lebih kurang antara satu jam setengah hingga ke dua jam. Saya dimaklumkan bahawa sekiranya saya datang semasa hari bekerja, kita boleh melihat pemain menjalani latihan, lebih-lebih lagi sekiranya terdapat perlawanan utama yang melibatkan pasukan Real Madrid. Stadium ini dibuka untuk lawatan setiap hari sepanjang tahun. Walau bagaimanapun, pada hari perlawanan, lawatan akan dihentikan lima jam sebelum perlawanan bermula. Saya turut berkesempatan membeli sedikit cenderamata Real Madrid sebelum meneruskan perjalanan menaiki ke Uber ke Palacio Real de Madrid.
Istana Diraja Madrid atau dikenali sebagai Palacio Real de Madrid merupakan kediaman rasmi Keluarga Diraja Sepanyol di bandar Madrid. Namun ia hanya digunakan untuk upacara rasmi. Selebihnya ia terbuka kepada orang ramai. Istana tersebut telah dibina pada abad ke-18 dan ke-19, dan merupakan bangunan yang monumental. Istana ini mempunyai keluasan 135,000 meter persegi dan memiliki 3,418 bilik. Ia merupakan istana diraja terbesar di Eropah dari segi keluasan lantai. Hiasan dalaman istana tersebut merupakan citarasa mewah Raja Charles III yang berkuasa ketika itu. Ketika ini, Raja Felipe VI dan keluarga diraja tidak menetap di situ, tetapi memilih Istana Zarzuela yang terletak di pinggir kota Madrid. Ketika dibuka kepada orang ramai, pengunjung boleh melihat sendiri dan melawat bilik-bilik dan dewan-dewan jamuan yang mewah yang terdapat di dalam istana berkenaan. Walau bagaimanapun, saya tidak bernasib baik kerana ketika saya tiba pada hari tersebut, ianya telah ditutup kepada pengunjung. Jadi saya menghabiskan masa dengan mengambil gambar di perkarangan luar istana sebelum pulang ke Puerta del Sol.
Bersambung……
Pemeriksa Luar Program Matematik Pendidikan Rendah di Institut Pendidikan Guru (IPG)
Alhamdulillah.. Hari ini, 24/1/2019, selesai tugas saya sebagai pemeriksa luar program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Matematik Pendidikan Rendah di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Pendidikan Teknik di Nilai, Negeri Sembilan. Pemeriksaan ini merupakan tugas saya yang ketiga sebagai pemeriksa di IPG iaitu kali pertama pada Oktober 2018 di IPGK Pulau Pinang, dan kali kedua pada 17 dan 18 Januari 2019 untuk program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) Matematik Pendidikan Rendah di IPGK Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang. Pengalaman dan pendedahan baru kepada saya dan inshaAllah saya telah buat yang terbaik dalam menggalas tanggungjawab ini. Terima kasih kepada pihak IPGM atas kepercayaan yang diberikan dan terima kasih warga IPGK Pulau Pinang, IPGK Tengku Ampuan Fazan dan IPGK Pendidikan Teknik atas kerjasama dan layanan yang amat baik sekali.
[Part 1] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol
Alhamdulillah, pada bulan April 2018 yang lalu, buat pertama kalinya dalam hidup saya menjejakkan kaki di bumi Eropah. Negara di benua Eropah pertama yang saya kunjungi ialah Sepanyol. Sebelum membuat keputusan untuk membentangkan kertas kerja persidangan di sana, saya banyak membaca blog di internet dan bertanya kepada rakan-rakan yang telah sampai di sana sebelum ini. Antara isu yang menjadi perhatian saya ialah isu penyelok saku (pickpocket) yang digembar-gemburkan berleluasa di Madrid. Kegiatan ini dikatakan banyak berlaku di dalam metro, kawasan tarikan pelancong dan sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa percanggahan pandangan daripada pelbagai pihak yang menegaskan bahawa Madrid sangat selamat kepada pelancong. Malah menurut beberapa blog yang memberi rating keselamatan bandar-bandar pelancongan di seluruh dunia, rate “very safe” kepada pelancong solo yang ingin melancong ke Madrid. Isu-isu penyeluk saku mahupun pencuri jalanan ini boleh berlaku di mana-mana, hatta dalam negara kita sendiri. Bak kata orang beringat sebelum kena. Sebagai langkah keselamatan, saya sendiri telah membeli beberapa pasang t-shirt yang mempunyai kocek berzip di hadapan. Saya letakkan wang dan passport dalam kocek tersebut dan pakai jaket di luar. Alhamdulillah saya berasa selamat sepanjang berjalan kaki meneroka bandaraya tersebut. Saya menginap di salah sebuah hotel yang terletak di kawasan Puerta del Sol yang merupakan kawasan dataran di tengah-tengah kota Madrid. Ia dikenali sebagai tempat yang paling sesak di kota tersebut. Mula-mula menjejakkan kaki di situ, terdetik sedikit kekesalan dalam hati kerana silap memilih tempat penginapan memandangkan hotel tersebut betul-betul terletak di laluan yang sesak dengan lautan manusia. Lama-kelamaan perasaan tersebut hilang melihatkan keunikan bangunan dan kepelbagaian ragam manusia di situ. Puerta del Sol berasal sebagai salah satu pintu tembok kota yang mengelilingi Madrid pada abad ke-15. Kawasan ini merupakan pusat (KM 0) kepada rangkaian jalan-jalan di Sepanyol. Ini boleh dilihat pada plak di lantai dataran tersebut yang, menandakan titik KM.0. Dataran itu juga terletaknya jam terkenal yang locengnya berbunyi menandakan permulaan tahun baru. Disebabkan penerbangan saya dari Dubai ke Madrid mengalami sedikit masalah teknikal dan jadual penerbangan terpaksa dilewatkan, saya tiba di bumi Madrid lewat petang. Justeru, saya meluangkan baki hari pertama dengan hanya berjalan-jalan di sekitar Puerta del Sol. Di sini juga terletaknya Real Casa de Correos yang merupakan bangunan pejabat pos yang dibangunkan pada kurun ke-18 dan patung Charles III, iaitu seorang raja yang memerintah Sepanyol pada tahun 1759 sehingga 1788.
Saya memulakan hari kedua dengan mengunjungi salah sebuah stadium yang terkenal di dunia iaitu Stadium Santiago Bernabeu yang merupakan stadium rasmi kelab bola sepak terkenal Real Madrid. Saya ke sana dengan menggunakan perkhidmatan Uber yang sememangnya menjadi pilihan pelancong yang berkunjung ke Madrid. Berdasarkan pengalaman saya di sana, perkhidmatan Uber di Madrid sangat efisien. Pemandunya berpakaian kemas, iaitu berkemeja dan berjaket tidak ubah seperti pemandu profesional. Disebabkan keterbatasan dalam berbahasa inggeris, saya tidak banyak berborak dengan mereka. Cuma sekali, pemandu Uber bertanya “where are you from” (mungkin ini soalan biasa yang ditanyakan kepada semua pelanggan), saya membalas Malaysia. Oh ya, Malaysia di Spain dieja sebagai Malasia (tanpa huruf Y). Kalau sebut sahaja berasal dari Malasia (Malaysia), mereka akan kaitkan dengan menara berkembar. Saya tiba agak awal di stadium tersebut. Jadi masa diluangkan dengan berjalan di sekitar stadium yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan di situ. Stadium mula dibuka untuk lawatan kepada pelancong tepat jam 10.30 pagi. Untuk sesi lawatan pengunjung dibahagikan kepada tiga pakej, iaitu pertama, mereka yang hanya ingin melihat stadium dari tingkat atas, kedua, melawat tempat pameran yang memaparkan sejarah kelab, pencapaian kelab, trofi yang pernah dimenangi, detik-detik gol kemenangan yang disiarkan melalui skrin-skrin di laluan pameran, dan sebagainya tanpa juru pandu lawatan yang bertindak memberi penerangan di setiap tempat pameran, dan pakej yang ketiga sama dengan yang ketiga tetapi diiringi juru pandu lawatan. Real Madrid sememangnya merupakan kelab bola sepak kebanggaan mereka. Tanyalah sahaja pemandu Uber, makcik housekeeper, juruwang pasaraya dan receptionist hotel, semuanya akan bersemangat berbicara tentang pasukan Real Madrid. Sedikit fakta mengenai kelab Real Madrid, ia pertama kali muncul sebagai Kelab Bola Sepak Madrid pada tahun 1902. Raja Sepanyol kemudiannya menganugerahkan gelaran tertinggi iaitu memberikan Madrid dengan gelaran ‘Real’ pada tahun 1920. Sepanjang tahun 2000-an, pemain-pemain terkenal seperti Zidane, Iker Casillas yang dikatakan penjaga gol terbaik dalam sejarah kelab dan negara Spain, Ronaldo dan Beckham menyertai pasukan tersebut. Stadium Santiago Bernabéu telah mencapai rating 5 bintang sebagai stadium elit yang diklasifikasikan oleh Union of European Football Associations (UEFA). Stadium ini juga merupakan stadium bola sepak kedua terbesar di Sepanyol, selepas Barcelona’s Camp Nou di Barcelona.
Bersambung……
TOP 10 Kenangan Manis Sebagai Ahli Akademik Sepanjang Tahun 2018
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera semua,
Tahun 2018 kini sampai ke penghujungnya.Alhamdulillah.. saya bersyukur dengan segala yang telah dilalui sepanjang tahun ini khususnya sebagai ahli akademik di UTM. Mungkin ada kalanya perancangan kita tidak menjadi, tetapi sesungguhnya Allah s.w.t adalah sebaik-baik perancang. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t yang menentukan segala-galanya. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.
Di sini saya kongsikan Top 10 kenangan manis sebagai ahli akademik sepanjang tahun 2018 sebagai motivasi kepada saya untuk lebih berusaha dan berjaya pada tahun-tahun akan datang.
Penulisan Dalam Media Cetak
Alhamdulillah. Dalam tahun 2018 ini sempat saya coretkan sebuah artikel dalam sebuah surat khabar arus perdana. Artikel ini kemudiannya dikongsikan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Kementerian Pendidikan dan turut dikongsikan dalam Majalah Mentari, iaitu majalah rasmi Jabatan Penerangan Malaysia.
Dua Buah Buku di Fasa Terakhir Penerbitan
Alhamdulillah, dua buah buku saya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berada dalam fasa terakhir sebelum diterbit dan dipasarkan. Cover page juga sudah ditunjukkan kepada saya sebagai penulis dan inshaAllah berada di pasaran pada awal tahun 2019.
Menjejakkan Kaki di Bumi Sepanyol
Alhamdulillah. Buat pertama kali dalam hidup, saya menjejakkan kaki di Eropah, dan negara Eropah tersebut ialah Spain. Saya ke sana untuk membentangkan kertas kerja persidangan di IEEE Global Engineering Education Conference (EDUCON2018). Selain menerbitkan sebuah kertas kerja prosiding terindeks Scopus dari persidangan tersebut, saya juga sempat menerbitkan sebuah travelog yang disiarkan dalam majalah BACKPACKERZ.
Headline Majalah Dewan Siswa
Selain menghasilkan tiga buah travelog tahun ini yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa dan majalah BACKPACKERZ, sebuah artikel saya yang lebih bersifat akademik juga dijadikan headline (tajuk utama di muka hadapan) dalam Dewan Siswa edisi Oktober 2018. Alhamdulillah, sebuah lagi artikel saya juga diterbitkan dalam Dewan Masyarakat edisi Mac 2018.
Berbesar Hati dengan Sedikit Sumbangan Terhadap UTM
Alhamdulillah. Saya juga amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada team Buku Perutusan Tahun Baru YBhg. Datuk Naib Canselor UTM dan penceramah dua siri Sesi Menyelami, Menghayati dan Mencipta Realiti sempena pelancaran Pelan Global UTM Fasa III (2018-2020). Pengalaman ini pastinya sesuatu yang tidak mungkin dapat saya lupakan sepanjang bergelar ahli akademik di UTM.
Penceramah Bengkel dan Pengucap Utama di Persidangan Antarabangsa 2018
Kata orang ‘sharing is caring’. Alhamdulillah, sepanjang tahun 2018 ini, saya sempat menjadi penceramah bengkel di tiga buah persidangan antarabangsa iaitu di persidangan 1st International Conference On Creative and Innovative Technology in Education (i-CITE 2018) Johor Bahru, di 6th South East Asia Design Research Conference (SEA-DR) 6th SEA-DR 2018 di Banda Aceh, Indonesia, dan di 5th International Education Postgraduate Seminar 2018 (5th IEPS 2018). Selain itu, saya juga amat berbesar hati dilantik sebagai keynote speaker di 2nd International Conference on Mathematics and Mathematics Education (ICM2E) yang berlangsung di Universitas Negeri Padang, Indonesia.
Anugerah Penulis Jurnal Berindeks
Alhamdulillah dengan izinNya sekali lagi saya dapat menjejakkan kaki di Citra Karisma:Majlis Anugerah Kecemerlangan & Penghargaan UTM 2018. Kali ini saya telah menerima Anugerah Penulis Dalam Jurnal Berindeks. Secara peribadi, ini merupakan kali ketiga saya berada di Citra Karisma. Kali pertama pada tahun 2010, dan kali kedua pada tahun 2016 yang mana dalam kedua-dua majlis tersebut, saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).
Artikel Terbaru Dalam Jurnal Terindeks Scopus
Alhamdulillah, artikel dalam jurnal terindeks Scopus saya yang terbaru baru diterbitkan bulan November 2018. Artikel ini amat istimewa sekali. Mengapa? Kerana di sebalik artikel-artikel bersifat neurosains iaitu kajian ilmiah dari sistem saraf dan sebahagian daripada cabang biologi, terselit sebuah naskah ilmiah saya yang saya rasakan betapa kerdilnya dikelilingi artikel-artikel lain yang maha hebat. Artikel ini diterbitkan oleh sebuah jurnal bersifat akses terbuka iaitu NeuroQuantology. Ia merupakan jurnal multidisiplin yang merentasi bidang neurosains termasuklah domain sains kognitif yang berkaitan dengan artikel saya ini iaitu kandungannya yang menyentuh aspek metakognitif pelajar.
Sesi Pembelajaran Bersama Mahasiswa
Setiap semester, saya sememangnya sangat looking forward untuk menyampaikan kuliah. Saya selalu mengingatkan pelajar-pelajar saya bahawa
Kuliah is not only about passing the exam at the end of the semester,
It’s about going through the hurdles together,
learning from each other,
and keeping the memories forever.

Sedang rancak menyampaikan kuliah petang tadi, tup-tup bekalan elektrik terputus. Maka nya kuliah diteruskan di koridor luar bilik kuliah. Ini baru dinamakan proses pembelajaran boleh berlaku di mana-mana.
Dari aspek penyeliaan, Alhamdulillah seorang pelajar sarjana saya menerima anugerah Best Postgraduate Student untuk program Sarjana Pendidikan (Matematik) sempena majlis konvokesyen UTM yang ke-61 pada bulan November 2018. Selain itu, pelajar Phd saya (sebagai penyelia bersama yang keempat) berjaya menamatkan pengajian Phd pada tahun 2018 ini.

Pelajar Phd saya, Elizabeth dari Nigeria. Setiap kali saya menyelia beliau, anaknya akan dibawa sekali. Daripada dalam kandungan, bersalin di Johor Bahru dan kini anaknya berusia setahun setengah. Suami dan anak lelakinya berada di Nigeria. Saya respek dengan keazaman beliau!
Terpilih Mengikuti International Scholar Exchange Fellowship (ISEF) 2018-2019
Ini merupakan saat paling manis dalam kerjaya saya sepanjang tahun 2018 ini. Saya terpilih untuk menjalankan kajian selama 6 bulan di Korea Selatan untuk program International Scholar Exchange Fellowship (ISEF) 2018-2019. ISEF merupakan sebuah program yang ditawarkan oleh Korea Foundation for Advanced Studies (KFAS). KFAS merupakan sebuah organisasi bebas yang bersifat non-profit yang ditubuhkan pada tahun 1974. InshaAllah, semoga tahun 2019 akan mencatatkan kenangan manis yang pastinya akan saya coretkan sepanjang berada di bumi kimchi nanti. Doakan ya 🙂
Kedudukan 100 Kotaraya Dunia Yang Menjadi Tumpuan Pelancong Pada Tahun 2018
Saya tertarik dengan satu laporan rasmi bertajuk Top 100 City Destinations 2018 yang mengemukakan 100 bandaraya di dunia yang menjadi destinasi pelancong pada tahun 2017 dan jangkaan bilangan pelancong dari seluruh dunia pada tahun 2018. Laporan ini turut dikongsikan dan dibincangkan oleh rangkaian berita terkenal seperti CNN dan BBC. Menariknya, berdasarkan laporan tersebut,
1. Kuala Lumpur merupakan bandaraya ke-9 paling kerap dilawati oleh pelancong dari seluruh dunia. Kedudukan ini mengatasi banyak kotaraya terkenal yang lain seperti Tokyo, Sydney, Seoul, Amsterdam, Los Angeles, Milan dan banyak lagi.
2. Selain Kuala Lumpur, dua buah kotaraya Malaysia yang termasuk dalam kedudukan 100 tersebut ialah Johor Bahru di tangga ke-37 dan Pulau Pinang ke-66. Saya sedikit surprise dengan kedudukan Johor Bahru yang mengatasi banyak kotaraya terkenal lain seperti Melbourne, Madrid, Moscow, Lisbon dan banyak lagi. Persoalannya ialah adakah Johor Bahru ini benar-benar menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia ataupun statistik ini turut mengambilkira kemasukan rakyat Singapura yang sememangnya kerap datang ke JB. Tapi kedudukan ini tidak mustahil juga kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dihubungkan dengan banyak penerbangan terus ke Thailand, China, Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan.
3. Kedudukan lima teratas kotaraya yang menerima bilangan pelancong termasuklah Hong Kong di tempat teratas, diikuti Bangkok, London, Singapura dan Macau. Kotaraya cinta dunia iaitu Paris di kedudukan keenam, diikuti Dubai di tangga ke-7 dan New York di tangga ke-8 sebelum Kuala Lumpur di tangga ke-9.
4. Menariknya, selain Bangkok yang menduduki tangga kedua, banyak bandaraya lain di Thailand berada di kelompok 100 tersebut iaitu Phuket (tangga 11), Pattaya (tangga 25), Chiang Mai (tangga 64) dan Krabi (tangga 100). Kenapa ya ramai pelancong suka datang ke Thailand? Fikir positif ya.. mungkin sebab Thailand banyak kawasan pantai yang cantik dan kawasan pergunungan yang menarik.
5. Mekah merupakan kotaraya ke-21 paling kerap dikunjungi oleh penduduk dunia. Tapi pelik juga kenapa Madinah tak termasuk dalam kelompok 100 tersebut. Bukan apa, kalau diikutkan logik, jemaah haji dan umrah akan mengunjungi kedua-dua kota suci tersebut. Manakala di Korea Selatan pula, hanya dua buah bandar yang berada dalam senarai iaitu Seoul di tangga ke-24 dan Jeju di tangga ke-87.
6. Bandaraya paling kerap dikunjungi di Indonesia ialah bukan Jakarta, tetapi Denpasar iaitu ibu kota pulau peranginan terkenal di Indonesia iaitu Bali. Denpasar menduduki tangga ke-33, diikuti Jakarta di tangga ke-60. Paling mengejutkan ialah kotaraya ketiga di Indonesia yang termasuk dalam kelompok 100 tersebut ialah Batam yang berada di kedudukan 97.
7. Kebanyakan bandaraya yang berada dalam kelompok 100 tersebut, malah jika juga diperkecilkan kepada kelompok 30, terletak di negara-negara Asia. Barangkali ada betulnya kata-kata seorang sahabat saya dari United Kingdom. Katanya, kalau orang Asia mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke negara-negara Eropah atau negara-negara barat, orang-orang barat pula mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke negara-negara Asia.
Maklumat lanjut mengenai laporan ini boleh dicapai melalui laman web berikut: