Kegemilangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia Dalam QS World University Rankings 2020

Baru-baru ini, QS World University Rankings 2020 telah diumumkan. Ia merupakan satu penilaian tahunan yang memberi pengiktirafan pada universiti-universiti terbaik di seluruh dunia. Berbanding tahun-tahun sebelum ini, ranking 2020 ini dilihat terbaik buat institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Berdasarkan laporan ranking 2020 tersebut, sebanyak 20 buah universiti Malaysia berjaya disenaraikan antara 1000 universiti terbaik di dunia, berbanding 13 universiti Malaysia yang berada dalam senarai 1000 universiti terbaik pada tahun 2019. Bilangan ini merupakan yang tertinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, iaitu hanya lapan universiti tersenarai dalam ranking 2016, dan sembilan universiti dalam ranking 2017 dan 2018. Universiti Malaya (UM) merupakan universiti terbaik di negara kita ketika ini apabila terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 100 universiti terbaik di dunia dengan berada di kedudukan 70, meningkat dari kedudukan ke-87 tahun lalu. Ini turut menjadikan Universiti Malaya berada di kedudukan ke-18 terbaik di Asia. Dengan kedudukan ini, UM berjaya mengatasi banyak universiti ternama yang lain di Asia seperti Korea University dan Yonsei University di Korea Selatan dan Osaka University di Jepun. Manakala di peringkat dunia, UM berjaya mengatasi University of Birmingham, University of Nottingham dan Durham University di United Kingdom, Boston University dan The Ohio State University di Amerika Syarikat, University of Zurich dan University of Geneva di Switzerland, KU Leuven di Belgium, The University of Auckland di New Zealand dan banyak lagi. Empat universiti penyelidikan yang lain terus mengukuhkan kedudukan sebagai lima universiti terbaik di Malaysia dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-159 berbanding kedudukan 202 pada tahun lalu, diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kedudukan ke-160 berbanding kedudukan 184, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-165 berbanding 207 pada tahun lalu dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-217 berbanding 228 pada tahun lalu.

Sumber: Jabatan Pendidikan Tinggi