E-Majalah Jejak Matematik di Pulau Mutiara

E-Majalah Matematik: Jejak Matematik di Pulau Mutiara membawa pembaca meneroka bagaimana konsep Matematik dapat ditemukan dalam warisan, seni bina, mercu tanda serta kehidupan seharian masyarakat Pulau Pinang. Melalui konteks tempatan Pulau Pinang, pembaca diperkenalkan kepada pelbagai konsep Matematik seperti nisbah, kadar dan perkadaran, transformasi isometri, pelan dan dongakan serta nisbah trigonometri. Konsep-konsep ini dikaitkan dengan tempat dan warisan yang dekat dengan identiti Pulau Pinang seperti George Town, Jambatan Pulau Pinang, Masjid Kapitan Keling, Menara Jam Queen Victoria, rumah kedai warisan, Bukit Bendera dan Fort Cornwallis.

E-majalah ini bukan sekadar memperkenalkan keistimewaan Pulau Pinang sebagai Pulau Mutiara, tetapi menunjukkan bahawa Matematik tidak hanya dipelajari melalui formula dan pengiraan di dalam bilik darjah. Matematik boleh ditemukan pada bentuk dan struktur bangunan warisan, corak jubin dan ukiran, pergerakan dan pantulan motif, pelan sesebuah bangunan, pengiraan jarak dan kadar, serta pengukuran ketinggian sesuatu objek. Pendekatan ini diharapkan dapat membantu murid melihat Matematik daripada perspektif yang lebih dekat dengan kehidupan sebenar. Apabila konsep Matematik dikaitkan dengan lokasi, objek dan warisan yang dikenali, pembelajaran boleh menjadi lebih kontekstual, visual dan bermakna, di samping memperkenalkan serta memupuk penghargaan terhadap keunikan warisan dan budaya Pulau Pinang.

E-majalah ini turut dilengkapi dengan nota ringkas, contoh mudah, pengetahuan am, aplikasi Matematik dalam kehidupan seharian, tip pembelajaran dan aktiviti interaktif, sekali gus menjadikannya bukan sahaja bahan bacaan, tetapi juga sumber sokongan untuk membantu murid memahami dan mengaplikasikan konsep Matematik.

E-majalah ini merupakan salah satu hasil Projek Sarjana Muda (PSM) yang dibangunkan oleh Nur Nadzliyatul Dania binti Khirul Annuar di bawah penyeliaan saya.

Sila layari: https://anyflip.com/tntch/lyvp/