E-majalah JOHO-MATHS mengetengahkan pembelajaran matematik melalui pendekatan yang dekat dengan kehidupan, identiti dan persekitaran masyarakat Johor. E-majalah ini dibangunkan bagi menunjukkan bahawa konsep matematik bukan sahaja dipelajari secara formal di dalam bilik darjah, malah boleh diterokai melalui pelbagai unsur yang terdapat dalam kehidupan seharian, budaya dan warisan tempatan. Melalui penyampaian yang menarik dan kontekstual, pembaca dibawa untuk melihat bagaimana pelbagai konsep matematik dapat dikenal pasti, diterangkan dan diaplikasikan menerusi contoh-contoh yang berkaitan dengan Johor. Pendekatan ini menjadikan matematik lebih mudah difahami kerana konsep yang dipelajari dihubungkan dengan objek, situasi dan pengalaman yang lebih dekat dengan pembaca. Selain memperkukuh pemahaman terhadap konsep matematik, e-majalah ini turut memperlihatkan potensi pendekatan kontekstual dalam menjadikan pembelajaran matematik lebih bermakna dan menyeronokkan. Pada masa yang sama, penerbitan ini diharapkan dapat membuka perspektif pembaca bahawa matematik sebenarnya wujud di sekeliling kita dan boleh diterokai daripada pelbagai sudut kehidupan.
E-majalah ini merupakan salah satu hasil Projek Sarjana Muda (PSM) yang dibangunkan oleh Raihanah Maisarah binti Roslan di bawah penyeliaan saya.
Sila layari: https://heyzine.com/flip-book/9658762288.html































