Guru Kena Bijak Manfaatkan Facebook

facebook-social-learning

Teknologi pendidikan dicipta untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Ia mungkin digunakan untuk meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep tertentu ataupun ianya digunakan oleh guru untuk menarik minat pelajar untuk mempelajari sesuatu topik. Bagaimanapun teknologi pendidikan khususnya teknologi maklumat sering dilihat sebagai satu bebanan untuk digunakan walaupun keberkesanannya terhadap pelbagai aspek pelajar seperti sikap dan pencapaian telah dibuktikan dalam banyak kajian lepas. Sebagai ahli akademik, saya berpendapat untuk menjadikan penggunaan teknologi pendidikan sebagai satu bantuan dan bukannya bebanan, ianya terlebih dahulu perlu dijadikan satu budaya dalam masyarakat sekolah. Apabila ianya menjadi budaya, maka ia akan menjadi kebiasaan oleh warga sekolah. Guru mungkin boleh mengambil kesempatan daripada fenomena laman sosial Facebook yang sedang melanda golongan remaja pada hari ini termasuklah pelajar sekolah. Saya yakin majoriti pelajar sekolah mempunyai akaun Facebook masing-masing. Jadi di sini, guru boleh mengemukakan sesuatu topik yang boleh dibincangkan sesama pelajar. Guru juga mungkin boleh mengemukakan soalan dan saya yakin pelajar akan teruja untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru mereka sendiri. Pendekatan berbentuk forum di atas talian ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di universiti, malah penglibatan pelajar dalam forum tersebut juga turut dikira dalam pemberian markah kursus secara keseluruhan. Jadi saya rasa tiada salahnya pendekatan sedemikian dipraktikkan di sekolah pula tambah-tambah lagi dalam era teknologi maklumat pada hari ini.

Penggunaan laman sosial Facebook ini juga mendatangkan impak yang baik dari segi pengetahuan pelajar terhadap komputer. Pelajar yang mempunyai akaun Facebook secara automatik akan sedikit sebanyak mempunyai kemahiran menggunakan komputer. Dari situ, guru boleh menggalakkan pelajar menggunakan alat bantu mengajar termasuklah perisian-perisian pembelajaran yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk belajar secara bersendirian. Justeru budaya menggunakan teknologi pendidikan ini penting dalam masyarakat sekolah agar ianya menjadi kebiasaan dan seterusnya dianggap sebagai bantuan dan bukannya bebanan. Perdana Menteri semasa Konvensyen Guru-Guru Muda 2011 baru-baru ini ada menyatakan bahawa pelajar sekolah perlu dielakkan daripada belajar secara menghafal atau rote learning. Menurut beliau, golongan guru perlu memiliki kebolehan tinggi dalam soal adaptasi dan melakukan penambahbaikan dalam tugas supaya anak murid mereka tidak menjadi bosan dalam proses pembelajaran lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini. Salah satu adaptasi yang boleh dilaksanakan ialah menggunakan teknologi maklumat. Saya berpendapat saranan perdana menteri tersebut kepada golongan pendidik muda pada hari ini sangat relevan kerana guru-guru muda hari ini dibesarkan dan dididik dalam era teknologi maklumat. Jadi adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk meneruskan kesinambungan penggunaan teknologi maklumat khususnya dalam pembelajaran dalam kalangan pelajar. Tambahan pula merekalah penggerak transformasi pendidikan negara yang memberi penekanan kepada penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Abdul Halim Abdullah
Ruangan Surat, Berita Harian
23.07.2011 (Sabtu)

Speak Your Mind

*