Hikmah Di Sebalik Kejadian Jerebu Dalam Konteks Pendidikan

13-langkah-hadapi-jerebu-1-672x372

Masalah jerebu sekali lagi menjadi topik yang hangat diperkatakan ketika ini. Masalah ini dilihat semakin kritikal pada tahun ini berikutan ianya mengambil masa yang agak lama untuk dipulihkan dan banyak sekolah yang melibatkan jutaan pelajar terpaksa menangguhkan sesi persekolahan atas faktor kesihatan. Bilangan pesakit yang melibatkan penyakit akibat jerebu juga dikatakan semakin meningkat. Banyak pihak menuding jari ke atas negara jiran yang dilihat kurang proaktif dalam menangani masalah tersebut serta banyak syarikat yang terlibat dalam pembakaran hutan turut dikecam. Bagaimanapun senario ini mungkin tidak diambil peduli oleh sebilangan mangsa yang terjejas iaitu pelajar sekolah. Namun, apa yang boleh diambil kesempatan oleh kita khususnya guru ialah apa yang boleh dipelajari daripada masalah jerebu ini. Kita sedia maklum antara ciri pembelajaran abad ke-21 ialah pembelajaran boleh dilaksanakan melalui pelbagai aktiviti dan pelbagai kaedah berdasarkan kecenderungan, minat dan bersesuaian dengan murid. Jadi guru mungkin boleh mengambil kesempatan dengan isu yang kini menjadi topik hangat untuk memperkenalkan konsep-konsep yang mungkin baru kepada pelajar. Banyak konsep baru yang boleh dipelajari pelajar mengenai jerebu ini yang boleh diintegrasikan dalam mata pelajaran-mata pelajaran tertentu. Dalam matapelajaran Geografi umpamanya, apakah yang menyebabkan punca jerebu, mengapakah pembakaran hutan perlu dilakukan oleh pihak-pihak tertentu, mengapa pembakaran senang merebak dalam kawasan tanah gambut berbanding dengan jenis-jenis tanah yang lain boleh dibincangkan. Apabila kita meminta pelajar berfikir, ianya secara tidak langsung lari dari kebiasaan amalan pembelajaran yang banyak berpusatkan kepada guru. Dalam media sosial mahupun media bercetak, murid banyak didedahkan dengan istilah titik kepanasan. Konsep titik kepanasan boleh diterangkan dan bagaimana pihak tertentu terutamanya Jabatan Alam Sekitar dapat menentukan kawasan-kawasan yang mempunyai titik kepanasan. Sepanjang berlakunya masalah jerebu ini juga pelajar sering didedahkan dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU). Persoalannya bagaimanakah bacaan IPU dapat dihasilkan dan apakah yang diambilkira dalam pengiraan IPU tersebut. Perkara ini juga boleh diterangkan kepada pelajar agar pelajar tidak hanya mengetahui angka-angka IPU tersebut tanpa memahami maksud di sebaliknya. Begitu juga kriteria-kriteria pemilihan kawasan-kawasan tertentu yang dipilih untuk mengambil bacaan tersebut boleh dibincangkan bersama pelajar. Selain itu, dalam mata pelajaran Geografi juga, konsep tiupan taufan yang mengeruhkan lagi keadaan jerebu serta tiupan angin monsun yang diharapkan akan membawa jerebu dari negara kita. Dalam mata pelajaran Sains, bagaimana jerebu terhasil boleh dibincangkan seperti pergerakan debu, habuk, asap dan lain-lain zarah yang memasuki zarah-zarah udara sehingga mencemar kejelasan langit. Begitu juga dengan kejadian jerebu kuning yang kononnya dikatakan berlaku di negara kita. Tindakbalas kimia yang bercampur dengan pencemaran udara yang sedia ada barangkali boleh dijelaskan dalam mata pelajaran Sains. Guru juga barangkali sering ditanya pelajar mengenai kenapa sekolah perlu ditutup akibat jerebu. Jadi guru perlu melengkapkan sedikit sebanyak pengetahuan mengenai jerebu terutamanya apabila menerangkan terutamanya kepada murid-murid di sekolah rendah. Begitu juga dengan tujuan pemakaian topeng dan banyak minum air dalam keadaan berjerebu dari aspek kesihatan juga boleh dijelaskan oleh guru. Pemupukan sikap bertanggungjawab dan bertimbangrasa juga boleh dipupuk melalui mata pelajaran sivik dan moral. Contohnya larangan membuang putung rokok, pembakaran terbuka dan sebagainya dalam cuaca kering yang boleh memburukkan lagi keadaan berjerebu. Dalam konteks pendidikan Islam pula, sikap bersabar dalam menerima musibah boleh dipupuk di samping amalan solat hajat untuk memohon agar masalah jerebu ini segera diatasi.

Dr. Abdul Halim Abdullah, Berita Harian, 2 November 2015

Untitled