[PART 1] Mengutip Pengalaman di Bandar Pesisir Pantai Vietnam; Nha Trang dan Ibukota Wilayah Phu Yen Vietnam; Tuy Hoa City

Pengenalan

Penulis baru-baru ini berkesempatan menjelajah bandar Nha Trang di Vietnam sempena menghadiri majlis menandatangani surat kerjasama antara institusi tempat penulis bekerja dengan salah sebuah institusi pengajian tinggi di sana. Nama Nha Trang barangkali tidaklah sepopular nama Ho Chi Minh City mahupun Hanoi di Vietnam. Tetapi bandar peranginan tersebut turut mempunyai keunikannya yang tersendiri. Penulis mengambil penerbangan terus dari Johor Bahru (JB) ke Ho Chi Minh City (HCMC) sebelum mengambil penerbangan domestik ke Nha Trang. Penerbangan dari JB ke HCM mengambil masa selama dua jam, manakala penerbangan dari Ho Chi Minh City ke Nha Trang mengambil masa selama satu jam. Sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Nha Trang, penulis disajikan dengan pemandangan indah lautan luas yang membiru dan pasir yang putih di kawasan bandar peranginan tersebut. Nha Trang merupakan ibu kota provinsi Khanh Hoa, dan terletak di pesisir pantai di bahagian tengah selatan Vietnam. Nha Trang sememangnya terkenal dengan kawasan pantainya yang cantik dan memukau di samping menjadi tumpuan para penyelam. Malah penulis difahamkan bahawa pada tahun 2008, Nha Trang menjadi tuan rumah untuk pertandingan Ratu Cantik Dunia. Manakala pada tahun 2016, ia menjadi tuan rumah untuk Sukan Pantai Asia. Perjalanan dari lapangan terbang ke pusat bandar mengambil masa lebih kurang setengah jam. Sepanjang perjalanan, penulis melalui jalan pinggir pantai dan lautan biru. Destinasi pertama yang dikunjungi penulis ialah restoran makanan laut. Sesuai dengan kedudukannya di tepi laut, makanan laut yang dihidangkan pelbagai dan segar. Pelbagai jenis ikan segar dan makanan laut yang dihidangkan dalam bentuk berkuah kerana rakyat Vietnam sememangnya gemarkan makanan berasaskan kuah.

gambar: koleksi peribadi

Kompleks Candi Po Nagar Cham

Setelah menjamu selera, penulis kemudiannya ke satu destinasi yang dikatakan wajib untuk dikunjungi di Nha Trang iaitu kompleks candi Po Nagar Cham. Kompleks candi Po Nagar Cham telah dibina antara abad ke-8 dan ke-11 oleh orang Cham yang suatu ketika dahulu pernah memerintah bahagian tengah Vietnam. Orang-orang Cham pada asalnya beragama Hindu dan berbahasa Sanskrit. Mereka berkemahiran dalam reka bentuk arca dan seni bina dan meninggalkan warisan artifak dan penempatan candi di Vietnam. Bagaimanapun, pada abad ke-14, kerajaan Champa telah jatuh ke tangan penyerang Viet, yang keturunannya merupakan orang Vietnam pada hari ini. Kebanyakan orang Cham yang kini merupakan etnik minoriti, telah memeluk agama Islam. Bagaimanapun mereka masih menyembah dewa mereka di Menara Po Nagar Cham semasa perayaan agama tahunan Thap Ba, yang diadakan pada akhir bulan April dan awal bulan Mei. Menara Po Nagar Cham adalah struktur bata berbentuk segi empat sama merah dengan bingkai sokongan dan bumbung penalaan. Terdapat sepuluh bangunan, masing-masing didedikasikan kepada dewa yang berbeza. Bagaimanapun kini hanya empat bangunan sahaja yang tinggal. Bangunan tertinggi, pada ketinggian 25 meter iaitu Po Nagar Kalan, adalah struktur yang paling mengagumkan. Penulis mengambil masa hampir satu jam menikmati keindahan bangunan peninggalan sejarah tersebut. Malah di kawasan tinggi di situ, penulis dapat melihat keindahan pusat bandar Nha Trang yang diserikan dengan keindahan laut yang memukau serta sungai dan sampan yang berwarna-warni. Penulis sempat membeli cenderahati di kedai-kedai yang terletak berdekatan dengan kawasan candi tersebut.

gambar: koleksi peribadi

Sambungan travelog ini di post berikutnya ……..

Speak Your Mind

*