[PART 2] Melawat Abu Dhabi: Ibu Kota Mewah United Arab Emirates (UAE)

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-1-melawat-abu-dhabi-ibu-kota-mewah-united-arab-emirates-uae/

gambar: koleksi peribadi

Destinasi kedua penulis di Abu Dhabi ialah Emirates Palace. Emirates Palace merupakan hotel mewah yang memperlihatkan Abu Dhabi sebagai kotaraya termahal di dunia. Hotel ini terbuka kepada pengunjung untuk menikmati keindahan dan kemewahan di dalam bangunannya. Hotel ini terdiri daripada 394 kediaman iaitu 302 buah bilik dan 92 buah suite. Kebanyakan suite dilengkapi dalam emas dan marmar. Selepas puas menikmati keindahan seni bina dalaman hotel berkenaan, penulis menuju ke kawasan hadapan hotel untuk menikmati panorama kotaraya Abu Dhabi dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang unik dan menarik. Penulis kemudian menikmati makan tengahari di Marina Mall iaitu satu lagi lokasi terbaik untuk menikmati keindahan panorama Abu Dhabi. Di kawasan ini terdapat kapal-kapal layar mewah penduduk Abu Dhabi yang berlabuh di kawasan perairan yang terletak tidak jauh dari Marina Mall. Di Marina Mall ini juga terletaknya Ferris Wheel yang juga dikenali sebagai Marina Eye menyediakan perspektif baru yang menarik dan menyajikan pemandangan yang hebat kota Abu Dhabi. Penulis kemudiannya bersiar-siar di dalam Marina Mall yang dikatakan antara pusat membeli belah terkenal dan sering dikunjungi di ibu kota UAE itu. Destinasi terakhir penulis di Abu Dhabi ialah Ferrari World yang merupakan sebuah taman tema yang terletak di Pulau Yas. Menariknya tentang Pulau Yas ini, ia merupakan sebuah pulau buatan manusia di Abu Dhabi. Pulau ini diwujudkan dengan tujuan untuk menjadikan pulau itu sebagai pusat riadah, membeli-belah dan hiburan. Pulau Yas juga di mana terletaknya Litar Yas Marina, yang telah menjadi tuan rumah perlumbaan Formula One Etihad Airways Abu Dhabi Grand Prix sejak 2009. Ferrari World merupakan taman tema yang bertemakan jenama Ferrari pertama di dunia. Malah, roller coaster terlaju di dunia iaitu Formula Rossa juga terletak di taman tema ini. Taman tema ini pernah dianugerahkan sebagai Pusat Pelancongan Terunggul di Timur Tengah di World Travel Awards pada tahun 2015. Penulis tidak memasuki taman tema berkenaan dan hanya bersiar-siar di kawasan perkarangan taman tersebut sebelum meluangkan masa mencuci mata di pusat membeli belah yang terletak bersebelahan. Hampir satu jam di situ, penulis bergerak pulang ke Dubai. Walaupun hanya meluangkan satu hari berkunjung ke kota Abu Dhabi, ianya cukup meninggalkan pengalaman manis buat penulis untuk dikenang buat selama-lamanya.

gambar: koleksi peribadi

gambar: koleksi peribadi

Speak Your Mind

*