[PART 1] Melawat Abu Dhabi: Ibu Kota Mewah United Arab Emirates (UAE)

gambar: koleksi peribadi

Peribahasa melayu ada mengatakan, sambil menyelam minum air. Jadi, alang-alang sudah berada di bumi United Arab Emirates (UAE), penulis mengambil kesempatan untuk meluangkan masa sehari untuk melawat ibu negara UAE iaitu Abu Dhabi. Sejujurnya, masyarakat dunia pasti lebih mengenali Dubai berbanding kota kedua UAE tersebut. Walau bagaimanapun, Abu Dhabi turut memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Penulis mengambil perkhidmatan pemandu kereta dari hotel tempat penginapan penulis di Dubai untuk ke Abu Dhabi. Perjalanan dari Dubai ke Abu Dhabi mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Kedua-dua bandar tersebut dihubungkan oleh lebuh raya yang lurus dan selesa. Sepanjang perjalanan melalui lebuh raya berkenaan, penulis disajikan dengan pemandangan kawasan-kawasan perindustrian dan padang pasir. Teknologi tol di lebuhraya-lebuhraya di UAE sangat moden dan terkehadapan. Berlainan dengan sistem tol di Malaysia yang mempunyai pondok tol di permulaan dan pengakhiran sesuatu destinasi, sistem tol di UAE dipanggil Salik (bermaksud “yang jelas dan bergerak”). Ia berasaskan teknologi RFID (Radio-frequency identification), yang mana bayaran akan ditolak secara automatik apabila kenderaan melalui pintu-pintu tol tertentu. Sedikit maklumat mengenai Abu Dhabi, selain berfungsi sebagai ibu negara UAE iaitu pusat pentadbiran negara, Abu Dhabi mempunyai banyak kawasan perindustrian minyak yang merupakan nadi kekayaan UAE. Abu Dhabi merupakan emirat yang terbesar dari tujuh emirat yang membentuk UAE. Enam emirat yang lain termasuklah Ajman, Dubai, Fujairah, Ras al-Khaimah, Sharjah dan Umm al-Quwain. Keluasan Emirat Abu Dhabi lebih kurang dalam 67.340 kilometer persegi, iaitu meliputi 80% dari jumlah keluasan negara UAE. Walau bagaimanapun hanya 30% dari keluasan tersebut dihuni, manakala selebihnya merangkumi kawasan padang pasir. Dari segi populasi, ia merupakan kotaraya kedua terpadat di UAE selepas Dubai. Perbezaan antara Dubai dan Abu Dhabi dari perspektif penulis ialah; i) Dubai memiliki ramai ekspatriat (merujuk kepada mana-mana orang atau golongan yang hidup di negara-negara lain untuk menyumbang kebolehannya), manakala penulis lebih mudah menjumpai penduduk tempatan di Abu Dhabi, ii) Dubai sangat sesak dengan manusia, tetapi keadaan lebih tenang di Abu Dhabi, iii) Dubai mempunyai sistem pengangkutan metro, tetapi tiada perkhidmatan sedemikian di Abu Dhabi, iv) penulis dapat melihat kawasan perumahan rakyat UAE seperti rumah teres, banglo dan sebagainya di Abu Dhabi, tetapi di Dubai penulis hanya dapat melihat apartment dan kondominium, v) Abu Dhabi masih mengekalkan ciri tradisional, manakala Dubai pesat sebagai pusat perdagangan, vi) Abu Dhabi merupakan pusat pentadbiran dan kawasan utama perindustrian minyak, manakala Dubai lebih kepada pusat komersialisasi dan pelancongan, vii) Dubai mempunyai lebih banyak bangunan pencakar langit berbanding Abu Dhabi. Menurut Cable News Network (CNN), Abu Dhabi merupakan antara kotaraya terkaya di dunia. Seperti Emirates yang merupakan syarikat penerbangan rasmi Dubai, Abu Dhabi turut memiliki syarikat penerbangannya sendiri iaitu Etihad. Berdasarkan Skytrax (sebuah syarikat perunding yang menjalankan kajian syarikat penerbangan dan lapangan terbang), Etihad merupakan satu daripada sembilan syarikat penerbangan yang bertaraf lima bintang. Dan tahukah anda, terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang berkerja sebagai juruterbang untuk syarikat penerbangan tersebut.

gambar: koleksi peribadi

Di Abu Dhabi, penulis melawat beberapa tempat yang terkenal yang saya kenalpasti melalui pembacaan di internet. Antaranya Masjid Sheikh Zayed yang merupakan masjid terbesar di UAE. Menariknya reka bentuk dan pembinaan Masjid Sheikh Zayed menggunakan kepakaran dan bahan-bahan dari banyak negara termasuk dari negara kita. Secara jujurnya, masjid ini merupakan antara masjid paling cantik yang pernah penulis kunjungi selama ini. Penulis tiba di masjid berkenaan lebih kurang dalam pukul 10 pagi. Kelihatan pengunjung dari pelbagai negara turut mengunjungi masjid yang merupakan struktur ikonik Abu Dhabi. Pengunjung wanita dimestikan menutup aurat dengan memakai jubah yang disediakan dan menutup rambut mereka. Masjid tersebut siap dibina pada 20 Disember 2007 dan menelan kos sebanyak 2 billion dirhams (bersamaan dengan RM2.5 billion atau US$545 juta). Selain menikmati keindahan masjid berkenaan dari luar, pengunjung juga dibenarkan melawat dewan sembahyang masjid berkenaan. Penulis sangat kagum dengan seni bina indah dan unik masjid daripada bahagian kubah, menara masjid sehinggalah ke tempat mengambil wudhuk. Tahukah anda, permaidani terbesar di dunia yang berukuran 5630 m² telah dihasilkan untuk dimuatkan di lantai dewan sembahyang masjid berkenaan. Penulis meluangkan masa lebih kurang satu jam di masjid berkenaan sebelum singgah di sebuah kedai cenderamata yang terletak di luar masjid untuk membeli sedikit ole-ole sebagai tanda kenang-kenangan.

gambar: koleksi peribadi

Bersambung…

Speak Your Mind

*