[PART 2] Mengutip Pengalaman di Bandar Pesisir Pantai Vietnam; Nha Trang dan Ibukota Wilayah Phu Yen Vietnam; Tuy Hoa City

gambar: koleksi peribadi

The National Oceanographic Museum of Vietnam

Tahukah anda, statistik menunjukkan bahawa dunia mempunyai 2,000 spesies karang dan hidupan laut. Menariknya di Nha Trang sahaja, 1,500 spesies tersebut boleh ditemui. Jadi tidak hairanlah mengapa The National Oceanographic Museum of Vietnam dibangunkan di Nha Trang yang menjadi destinasi penulis seterusnya. Muzium tersebut menawarkan pameran menarik mengenai kehidupan laut, termasuk lebih dari 20,000 spesimen hidupan laut yang dipelihara. Dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1922, institut ini juga membiayai projek penyelidikan dan komuniti yang berterusan, seperti program pembiakan, pemeliharaan dan penghasilan semula terumbu karang. Apa yang menarik perhatian penulis semasa berada di muzium berkenaan ialah pameran rangka ikan paus humpback yang digali di Provinsi Ha Nam pada tahun 1994. Spesimen ini berukuran panjang 18 meter dan berat 18,000kg. Buat pertama kali juga penulis berkesempatan melihat rangka dugong yang digali di Con Dao pada tahun 1997. Pengunjung juga boleh menikmati beberapa pameran berkaitan penyelidikan institut berkenaan mengikut tema-tema tertentu. Antaranya bilik-bilik yang menggambarkan bencana alam dan budaya penangkapan ikan di Vietnam. Penulis tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan maklumat mengenai bahan pameran kerana setiap tangki kaca pameran dilabel dengan nama, asal dan ciri dalam bahasa Vietnam dan Bahasa Inggeris. Bayaran masuk ke muzium berkenaan amat berpatutan iaitu VND 30,000 (kira-kira RM5.70) untuk orang dewasa dan VND 12,000 (kira-kira RM2.30) untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Setelah hampir dua jam meluangkan masa di muzium berkenaan, penulis kemudiannya menikmati keindahan kawasan pantai di Nha Trang sambil menyaksikan matahari terbenam. Penulis dapat melihat kebanyakan pelancong adalah rakyat Rusia. Hal ini turut diakui oleh teman penulis yang berasal dari situ. Malah, syarikat penerbangan komersial dari negara Rusia seperti Azur Air, Nordwind Airlines, Royal Flight dan Pegas Fly turut menjadikan Nha Trang sebagai salah satu destinasi mereka. Dan berita baik juga buat rakyat Malaysia kerana syarikat penerbangan tambang murah AirAsia bakal memulakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Nha Trang bermula pada14 September 2017. Terdapat banyak hotel, restoran dan kedai minuman di sepanjang pantai berkenaan. Namun, perkara unik yang pertama kali penulis lihat ialah restoran-restoran yang menawarkan menu istimewa iaitu buaya bakar golek. Menurut teman, juadah berkenaan sangat terkenal dalam kalangan pelancong asing dan tempatan kerana ia dikatakan dapat menyembuhkan penyakit asma.

The National Oceanographic Museum of Vietnam

gambar: koleksi peribadi

 

Meneruskan Perjalanan ke Ibukota Wilayah Phu Yen Vietnam; Tuy Hoa City

Pada sebelah malam, penulis bergerak menuju ke Tuy Hoa City di mana terletaknya institusi pengajian tinggi yang merupakan tujuan utama penulis berkunjung ke sana bagi menadatangani surat kerjasama. Tuy Hoa merupakan ibukota Provinsi Phu Yen yang terletak di selatan-tengah Vietnam. Bandar ini terletak di pertengahan antara Nha Trang dan Qui Nhon. Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam setengah melalui pengangkutan darat. Majlis tersebut berlangsung di sebelah pagi di kampus universiti, sementara di sebelah petang, penulis dibawa berjalan-jalan ke tempat-tempat menarik sekitar Tuy Hoa City. Antara tempat bersejarah yang dilawati ialah candi Champa di puncak Gunung Nhaa. Sebagaimana candi di Nha Trang, menara di situ juga dibina oleh orang Cham di lembah Sungai Ba yang dibina sekitar abad ke-12. Bagaimanapun, banyak bahagian menara tersebut rosak teruk selepas peperangan. Justeru, kerajaan wilayah Phu Yen telah mengambil inisiatif untuk memulih dan melakukan pengubahsuaian terhadap monumen peninggalan sejarah tersebut sehinggalah ia diiktiraf oleh kini Kementerian Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam sebagai monumen senibina dan seni negara. Berada di tempat ini, penulis dapat menikmati pemandangan penuh bandar Tuy Hoa. Selepas puas menikmati keindahan peninggalan sejarah tersebut, penulis kemudiannya dibawa keyang merupakan kawasan pantai yang bersambung dengan lajur batuan berbentuk seragam yang terletak di sepanjang pantai di An Ninh Dong Commune, Daerah Tuy An, Provinsi Phu Yen. Terumbu-terumbu karang tersebut berbentuk heksagon dan pentagon. Menurut pakar, terumbu karang unik ini mungkin terbentuk dari batu-batu yang meletup ketika gunung berapi. Kemudian, ketika bertemu dengan air laut, batu-batuan ini menjadi beku dan retak dalam pelbagai arah, dan ini membentuk pola dan susunan yang sangat menarik. Penulis sungguh kagum melihat ciptaan Tuhan yang sangat unik, dan tidak keterlaluan untuk penulis katakan itulah kali pertama penulis melihat keindahan terumbu karang tepian laut sepanjang hidup penulis. Setelah hampir satu jam meluangkan masa menikmati dan bergambar berlatarbelakangkan keindahan tersebut, penulis pulang ke hotel untuk berehat sebelum kembali ke Ho Chi Minh City keesokan harinya.

Penulis di Da Dia Reef

Sambungan travelog ini di post berikutnya ……..

Speak Your Mind

*