[PART 2] Perkara Yang Boleh Dipelajari Dari Temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-1-perkara-yang-boleh-dipelajari-dari-temasya-sukan-sea-2017-kuala-lumpur/

gambar: https://kualalumpur2017.com.my/

Perkara kedua yang boleh dibincangkan ialah kekecewaan peminat Malaysia terhadap kekalahan Malaysia di tangan Thailand pada perlawanan akhir bola sepak. Banyak pihak juga yang menyalahkan penjaga gol yang dikatakan punca kekalahan tersebut. Kita harus ingat, bukan sahaja dalam permainan bola sepak, malah dalam acara-acara sukan yang lain, atlet-atlet Malaysia telah memberikan usaha dan kudrat yang terbaik demi mengharumkan nama negara. Bukan itu sahaja, mereka mengorbankan masa dan tenaga dalam melakukan persiapan sebelum berlangsungnya Sukan SEA ini. Selain itu, pemanah negara Khairul Anuar Mohamad turut menjadi mangsa kecaman apabila gagal memungut pingat emas dalam acara recurve individu lelaki biarpun sudah berjaya menyertai sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara yang sama. Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa keadaan badannya yang tidak sihat sepanjang penyertaan pada temasya Sukan SEA. Walau bagaimanapun, demi mengharumkan nama negara dan sokongan padu daripada rakan sepasukan dan jurulatih, beliau tetap meneruskan perjuangan. Begitu juga dengan atlet ekuestrian negara, Quzandria Nur Mahamad Fathil menyertai senarai itu di temasya Sukan SEA 2017 dalam keadaan berbadan dua. Menurutnya, hasil kerja keras dan menganggap keadaannya yang berbadan dua bukan halangan, beliau akhirnya memenangi emas acara dressage. Izzah Amzan pula masih mampu menyumbangkan satu pingat emas dalam acara gimrama apparatus bola meskipun dibelenggu kecederaan belakang, bahu dan lutut. Perenang sensasi negara, Welson Sim yang memenangi acara 200 meter gaya bebas dalam keadaan penuh dramatik menyatakan bahawa 50 meter terakhir sebelum menamatkan renangan adalah sangat seksa dan paling diingati dalam kariernya sebagai seorang perenang. Justeru sebagai peminat sukan tanahair, kita seharusnya menghargai usaha dan pengorbanan mereka. Mengenai kegagalan mereka khususnya di temasya di Kuala Lumpur ini, biarlah pihak yang sepatutnya mengambil langkah dan inisiatif yang sewajarnya. Sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai semangat kesukanan yang tinggi, sokongan kita kepada atlet negara perlu berterusan. Bak ungkapan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia “Kita Menang Sama-Sama, Kita Kalah Pun Sama-Sama”. Selain itu, sukan terus menjadi platform kepada perpaduan yang lebih utuh dalam kalangan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, peringkat umur malah perbezaan ideologi politik bersatu memberi sokongan kepada atlet kebangsaan. Malah perpaduan rakyat Malaysia yang jitu dapat dilihat dalam kontinjen Malaysia dalam pelbagai sukan seperti bola jaring, bola sepak, terjun dan banyak lagi yang terdiri daripada atlet pelbagai kaum di Malaysia. Hal ini diakui oleh Timbalan Perdana Menteri yang menyatakan bahawa semangat cintakan negara dan patriotisme tanpa rasa prejudis terhadap mana-mana kaum jelas dipamer menerusi kejayaan Malaysia pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ini. Sesungguhnya Malaysia layak dijadikan contoh sebagai negara yang mempunyai perpaduan dalam kalangan rakyatnya yang pelbagai.

Tanpa keluarga, tanpa ibu bapa siapalah kita. Banyak momen yang kita saksikan sepanjang berlangsungnya temasya Sukan SEA KL ini yang mampu menyentuh perasaan kita. Salah satunya ialah video yang tular menunjukkan seorang pemain ragbi Malaysia yang naik ke bahagian penonton untuk mencari kedua ibu bapanya dan memeluk mereka selepas pasukan ragbi Malaysia berjaya memenangi pingat emas. Pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang bergegas meninggalkan gelanggang selepas dikalungi pingat emas, terus ke Hospital Sungai Buloh untuk menziarahi adiknya yang tidak sedarkan diri akibat kemalangan jalan raya. Petinju muay negara, Ain Kamaruddin menghadiahkan pingat emas yang dimenanginya kepada arwah bapanya yang baru meninggal dunia minggu lalu. Pelumba basikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut menghadiahkan pingat emas yang dimenanginya kepada bapanya yang kini terlantar di hospital. Aksi The Pocket Rocketman Malaysia, Azizulhasni Awang yang memeluk isteri dan anak-anaknya sejurus memenangi pingat ke-111 buat Malaysia turut menjadi perhatian peminat sukan tempatan. Justeru dapat disimpulkan bahawa sokongan ibu bapa dan keluarga merupakan salah satu faktor utama kejayaan seseorang atlet. Tidak keterlaluan untuk diperkatakan bahawa keluarga merupakan motivasi utama seseorang atlet untuk mencapai kejayaan.

Bersambung….

Speak Your Mind

*