[PART 1] Perkara Yang Boleh Dipelajari Dari Temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur

gambar: https://kualalumpur2017.com.my/

Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2017 secara rasminya telah melabuhkan tirai dan edisi kali ini menyaksikan Malaysia mencatatkan pencapaian yang cemerlang sebagai juara keseluruhan, jauh meninggalkan negara-negara Asia Tenggara yang lain. Lebih membanggakan, pungutan pingat emas sebanyak 145 merupakan pencapaian terbaik negara dalam sejarah penglibatan Malaysia dalam sukan terbesar Asia Tenggara ini. Kali terakhir Malaysia menjadi juara keseluruhan adalah pada tahun 2001 iaitu kira-kira 16 tahun yang lalu. Tambah manis lagi, kejayaan ini merupakan hadiah buat rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-60 pada tahun ini. Di sebalik kejayaan ini, banyak perkara yang boleh kita pelajari sepanjang berlangsungnya temasya dwi tahunan tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini. Malaysia selaku tuan rumah membuat persiapan yang amat rapi dalam penganjuran kali ini. Persiapan rapi ini dijelmakan melalui upacara pembukaan Sukan SEA yang diadakan dengan penuh gilang gemilang dan berkelas dunia. Malah banyak pihak sama ada dalam mahupun di luar negara yang memuji upacara tersebut yang dikatakan terbaik sepanjang penganjuran sukan tersebut. Begitu juga acara-acara sukan yang berlangsung dengan lancar sepanjang 12 hari di pelbagai venue seperti Stadium Nasional Bukit Jalil, Velodrom Nasional, Pusat Akuatik Nasional dan banyak lagi yang berkelas dunia. Begitu juga dengan Majlis Penutupan Rasmi Sukan SEA 2017 juga tidak kurangnya hebatnya. Walau bagaimanapun, Kuala Lumpur selaku tuan rumah tidak terlepas dengan beberapa isu yang melanda temasya tersebut dilangsungkan. Namun, kesilapan tersebut berjaya diatasi oleh kerajaan Malaysia dengan penuh rasional. Seawal semasa upacara pembukaan Sukan SEA lagi, kewibawaan tuan rumah diuji berikutan isu bendera Indonesia di dalam sebuah buku cenderahati Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Lantas, Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin telah memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Indonesia atas kesilapan yang berlaku berhubung isu tersebut. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memohon maaf di atas perkara yang tidak disengajakan tersebut. Atas usaha tersebut, Presiden Jokowi turut menasihatkan agar rakyat Indonesia tidak memperbesarkan isu itu. Kemudian, beberapa hari selepas gelanggang sukan SEA dibuka secara rasmi, kita dikejutkan dengan berita dua buah bas yang membawa atlet dari Thailand, Filipina dan Myanmar terlibat dalam kemalangan di tol Sungai Besi. Lantas, beberapa tindakan susulan telah dijalankan seperti mengadakan mesyuarat tergempar bersama pengurus pasukan, menangguhkan jadual perlawanan dan sebagainya. Semua isu ini ditangani oleh penganjur dengan sebaiknya. Hal ini menunjukkan kematangan dan keseriusan kerajaan Malaysia selaku tuan rumah dalam mengatasi isu-isu yang tidak dijangka ini. Dengan penganjuran yang dikatakan terbaik sepanjang sejarah Sukan SEA 2017 ini, tidak mustahil untuk penulis katakan Malaysia sudah bersedia untuk menganjurkan sukan yang berskala lebih besar seperti Sukan Asia dan sebagainya.

Bersambung….

 

Speak Your Mind

*