Ucapan Saya Untuk Penutup Program Innovate Johor (IJ) 2022

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Ybhg Professor, Prof Madya, Dr, Tuan, Puan yang saya hormati sekalian,

Hari ini 22hb Mac 2022 merupakan hari terakhir program Innovate Johor 2022 yang mana ia telah berlangsung selama tiga hari bermula 20hb Mac 2022 yang lalu.

Innovate Johor (IJ) merupakan kesinambungan daripada acara tahunan yang dianjurkan oleh entiti-entiti di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovais (JTNCPI). Ia bertujuan untuk mengabungkan pelbagai aktiviti berkaitan inovasi dan penyelidikan. Antara aktiviti utama untuk edisi tahun 2022 ialah Pertandingan inovasi INATEX 2021, pameran produk syarikat hiliran, Showcase Lab Services, Simposium AIM4STAR, Icon Talk & Sharing session dan sesi ulasan buku. Objektif program ini ialah untuk memberikan platform kepada penyelidik mempamerkan hasil penyelidikan mereka dan memberikan peluang kepada pihak UTM mengenalpasti inovasi yang boleh diketengahkan untuk tujuan komersial. Walau bagaimanapun, berikutan keadaan sekarang yang tidak mengizikan program ini dilaksanakan secara fizikal, jadi program ini diadakan secara dalam talian secara keseluruhannya.

Program ini diadakan sempena sambutan 50 tahun UTM yang jatuh pada tahun ini. Tema Innovate Johor pada tahun ini ialah Aspirasi Komuniti Memacu Inovasi Varsiti. INATEX Merupakan pameran dan pertandingan rekacipta penyelidikan bagi penyelidik dalaman di UTM sebelum dipertandingkan di peringkat lebih tinggi dan dikomersilkan. Pameran Produk Syarikat Hiliran merupakan program pameran maya yang telah mengetengahkan lebih banyak produk-produk sedia komersial yang telah dihasilkan melalui penyelidikan berimpak oleh para penyelidik di UTM. Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada umum berkenaan produk-produk sedia komersial hasil penyelidikan UTM termasuk yang telah dilesenkan kepada syarikat-syarikat hiliran UTM (spin-off). Business Matching and Industry Engagement Session merupakan aktiviti membina hubungan antara UTM, penyelidik dan pihak industri. Ia merupakan kolaborasi strategik bersama industri melalui projek penyelidikan dengan sumbangan dana peruntukan dari kedua-dua pihak. Penyelidik yang memohon telah berkolaborasi dengan pihak industri. Jumlah geran padanan dari universiti bagi program ini tidak melebihi RM20,000.00. Projek perlu berada di TRL 1-3 atau 4–6. Pembentangan telah dibuat bagi permohonan yang disenarai pendek. Sebanyak 3 projek telah dipilih untuk menerima geran padanan bagi program ini dan penerima telah diumumkan semalam. Penerima geran padanan ini telah diumumkan semalam semasa majlis perasmian Innovate Johor yang telah disempurnakan oleh Ybhg Datuk Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Showcase Lab Services pula merupakan virtual video 360° bagi makmal yang dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi. Video korporat berimpak untuk mempromosikan makmal dan perkhidmatan professional dipamerkan. Lawatan makmal dilaksanakan secara virtual kerana medium ini mudah diakses dan menjadi pilihan utama serta dapat menjangkau lebih banyak pelawat (viewer). Video korporat berimpak yang interaktif dan informatif berkaitan bidang penyelidikan yang berbeza, prosedur terkini, kewujudan kemudahan dan peralatan yang berteknologi tinggi dapat menjadi medium promosi dan maklumat yang berkesan.

Simposium AIM4STAR pula telah mengenengahkan penyelidik-penyelidik yang telah menjalankan projek komuniti berimpak tinggi sesuai dengan tema ”Universiti Untuk Masyarakat”. Program ini turut membawa barisan NGO/ Industri yang telah bekerjasama dengan UTM dalam usaha memperkasakan masyarakat. Icon Talk & Sharing Session pula merupakan sesi bersama tokoh yang berpengaruh dan memberi impak kepada industri. Ia juga merupakan sesi perkongsian bersama pakar dalam penyelidikan dan pengkomersilan. Sesi ulasan buku melibatkan buku yang bertajuk” Libat Sama Komuniti untuk Kesejahteraan Masyarakat” yang disunting oleh Prof. Madya Dr. Johari Surif dan Prof. Dr. Rosli Hainin. Buku ini dipilih kerana banyak mengetengahkan isu-isu dan cabaran untuk mengekalkan kelestarian keusahawanan industri kecil dan sederhana, keperluan latihan yang komprehensif, pengenalan teknologi dan teknik terbaharu untuk meningkatkan hasil pertanian dan penternakan, pembangunan pendidikan dan modal insan bahkan teknologi komunikasi dalam pembangunan infrastruktur.

Akhir kata, saya mewakili Ahli Jawatankuasa Pelaksana Innovate Johor 2022 mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyertai program Innovate Johor khususnya dalam aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan. Semoga semua aktiviti yang dilaksanakan sempena Innovate Johor 2022 ini memberi manfaat dan menambahkan pengetahuan kepada semua. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua AJK pelaksana yang telah menjayakan program Innovate Johor pada tahun ini. InshaAllah semoga kita bertemu lagi pada masa akan datang. Saya akhiri ucapan saya dengan wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sekian, terima kasih

Speak Your Mind

*