Tag Archives: Kerja

Selamat Hari Pekerja, Kisah Mubarak ini mungkin sesuai

Al-Mubarak (tabi’in) bekerja sebagai penjaga kebun delima

Suatu hari tuannya datang ke kebun bersama seorang tetamu

Tuan Kebun memanggil pekerjanya
“Wahai Mubarak, Ambilkan saya sebiji delima yang manis”

Mubarak berlalu pergi, mengambilnya di pohon. Dia membawakan sebiji buah delima.

Tuan Kebun membelah dan menjamahnya, masam!

Majikannya kecewa “saya meminta delima yang manis, tapi kamu bawa delima yang masam, ambillkan yang manis”

Sekali lagi Mubarak berlalu pergi, kali ini dia memetik dari pohon yang lain pula

Apabila dibelah dan dijamah oleh majikannya, ternyata delima yang satu lagi itupun masam juga.

Begitulah berulang, sampai tiga kali.

Majikannya pun dengan penuh hairan bertanya kepada Mubarak, “Kamu tidak tahu yang mana delima manis, dan yang mana delima masam?, sedangkan kamu bukannya baru bekerja di sini, kamu telah menjaga dan mengawasi kebun ini bertahun-tahun lamanya, kamulah yang melaksanakan segala-galanya untuk kebun ini”
 
“Tidak, saya tidak dapat mengenalpasti buah yang manakah manis dan buah yang manakah masam.” jawab al-Mubarak
 
 ”Bagaimana mungkin perkara ini boleh berlaku?”
 
“Sebab selama saya berkerja dengan tuan menguruskan kebun  ini,  saya tidak pernah  merasa walau sebiji pun buah Delima di Kebun ini, bagaimana mungkin saya hendak tahu yang mana manis dan yang mana masam”
 
“Mengapa pula kamu tidak makan?”
 
“Sebab Selama saya berkerja di sini, tuan hanya beri izin untuk saya menguruskan kebun ini, dan tidak pernah saya diberi izin dari tuan untuk makan walau sebiji buah pun dari kebun ini.” ¹
 
Kagum tuan kebun mendengarnya. Apabila tersingkap kejujuran hambanya itu, dia bertambah hormat kepada Mubarak.

 

Tuan kebun mempunyai seorang anak gadis, yang sudah beberapa kali dilamar orang.
 
Dia bertanya kepada Mubarak, “Wahai Mubarak, pada pandangan kamu, siapa yang patut mengahwini anak perempuan saya?”
 
Jawab Mubarak, “Orang jahiliyah berkahwin berdasarkan keturunan, orang Yahudi berdasarkan harta, orang Nasrani berdasarkan paras rupa, manakala umat Islam memilih berdasarkan agama.”
 
Tuan kebun kagum dengan kebijaksanaan Mubarak. Apabila pulang, dia menceritakan hal itu kepada isterinya, dan berkata, “Saya tidak nampak orang lain lagi yang patut menjadi suami anakanda kita, melainkan Mubarak.”
 
Demikian bermula kisah ibu dan ayah kepada Abdullah bin al-Mubarak, yang akhirnya beliau menjadi seorang yang alim, ahli hadith, ahli fiqh, kaya-raya, zuhud, halus budi pekertinya, dermawan dan seorang pejuang fi sabilillah.²
 
Sources : 
¹ Khutbah Jumaat, “Sempena Hari Pekerja,” Masjid
Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur,
11 Mei 2012.


² Iqbal Zain al-Jauhari,
Al-Rizq Asbabuhu wa Mafatihuhu, halaman 27-28

Go back

Your message has been sent

Warning
Warning.