Lawatan ke Sekolah Alam Bintaro

Pada 13 hingga 16 April 2016, saya bersama-sama rakan dan pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, UTM telah pergi ke Jakarta Indonesia untuk satu Kolokium di Universitas Muhammadiyah Jakarta. Salah satu agenda yang disusun adalah lawatan ke Sekolah Alam Bintaro.

Uniknya sekolah ini adalah pelajar di bimbing bagi membina potensi masing-masing menjurus kepada minat dan kerjaya yang bersesuaian. Suasana sekolah juga sangat unik, dipenuhi pokok-pokok hijau, kelas dibuat daripada buluh tanpa penggunaan penyegar udara dan kawasan permainan yang luas untuk kategori pelajar yang bersesuaian.

Di saat anak-anak kita sibuk mahukan PS4 dan handpone untuk permainan atas talian, kanak-kanak di sekolah ini leka dengan pelbagai aktiviti dan program hingga majoriti gemar untuk terus berada di sekolah walaupun telah tamat waktu kelas.

Konsep sekolah ini lebih menekankan akhlak terlebih dahulu barulah dilihat keupayaan logik dan akademik masing-masing. Dari tadika lagi, mereka diajar supaya dekat dengan alam sekitar melalui aktiviti bercucuk tanam dan membela haiwan.

Pelajar juga dibina kemahiran kepimpinan menerusi program-program perkhemahan dalam pelbagai peringkat.

Sekolah ini menggunakan konsep “learning is fun” dan menilai prestasi pelajar menggunakan rubrik Talent Mapping . Malah, ibu bapa yang menghantar anak-anak di sini memberikan komitmen yang sangat tinggi dengan menyokong dari segi tenaga dan wang ringgit untuk setiap program yang dirancang.

Hingga kini, telah ada lebih 100 buah sekolah Alam di seluruh Indonesia. Walaupun diuruskan oleh pihak yang berbeza, semua sekolah merujuk kepada nilai Dasar yang sama.

Melihat kepada semangat guru-guru sekolah ini melayani setiap pelajar adalah sangat menarik hati saya. Walaupun saya sedar akan kesukaran menguruskan dan merealisasikan sekolah seperti ini di Malaysia kerana keperluan ruang yang besar untuk menampung pelbagai aktiviti, namun konsepnya sangat menarik dan boleh diadaptasi.

Terima kasih Sekolah Alam Bintaro kerana sudi menerima lawatan terutamanya Ibu Eli yang sudi menjawab pelbagai soalan daripada kami. Belajar sepanjang hayat.