Resepi Begedil Ayam Sedap

Bahan-Bahan:

  • 500 gram (4-5 biji) ubi kentang, kupas kulit dan potong setebal 1/2 inci
  • 150 gram daging ayam kisar
  • 1 biji bawang besar, didadu kecil
  • 1 pokok daun sup, hiris halus
  • 3 sudu besar bawang goreng
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada putih
  • 1 biji cili merah, cincang kasar (kalau nak sedikit pedas)
  • garam secukup rasa
  • 1 biji telur ayam
  • Minyak untuk menggoreng

Cara Penyediaan:

Cara untuk masak ayam:

Panaskan 2 sudu besar minyak masak dan goreng bawang besar sehingga lembut.

Masukkan ayam kisar dan goreng sehingga ayam masak.  Perasakan dengan sedikit garam.

Cara untuk masak begedil:

Dalam kuali yang lain, panaskan minyak masak (anggaran 1 mangkuk). Goreng kentang sehingga kekuningan dan lembut. Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk besar.

Ketika kentang masih panas, hancurkan kentang dengan cara melenyek kentang sehingga halus menggunakan potato masher atau garfu.

Masukkan bawang goreng, daun sup, ayam (yang dimasak tadi) dan serbuk lada putih. Perasakan dengan garam secukup rasa.

Ambil sedikit adunan dan buat bulat.   Kemudian leperkan sedikit dan susun di atas pinggan atau dulang.

Panaskan minyak.  Pecahkan telur dan kacau dengan garfu supaya sebati. Celup begedil di dalam telur dan goreng di dalam minyak yang panas sehingga kekuningan.  Tunggu sehingga bahagian bawah begedil keras sedikit baru dialihkan untuk mengelak begedil dari hancur.

Sumber : iResepi

Resepi Nasi Lemak Ayam Rendang

Bahan-Bahan:

  • 3 cawan beras
  • 3 1/2 cawan santan
  • 3 ulas bawang merah (hiris halus)
  • 2 cm halia (hiris halus)
  • garam secukup rasa
  • 2 helai daun pandan (dicarik dan simpul)
  • 2 batang kecil kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang

Cara Penyediaan:

Cuci beras hingga bersih dan toskan airnya.  Dalam periuk masukkan beras, santan, kayu manis, daun pandan dan bahan hiris halus (halia dan bawang merah) serta garam.  Kacau rata dan masak di atas api.

Kaedah rice cooker: Tekan butang dan tunggu sehingga masak.  Kacau dan tutup kembali periuk.

Kaedah masak atas api: Tanak sehingga mendidih dan sedikit kering.  Kemudian perlahankan api dan tutup tudung periuk.

Hidang bersama sambal, timun, kacang goreng, telur rebus dan ikan bilis goreng.

Sumber : iResepi

Resepi Rendang Ayam Sedap

Bahan-Bahan:

  • 1 ekor ayam (saiz besar)
  • 1 senduk cili kisar
  • 1 mangkuk besar santan pekat
  • 1/2 mangkuk kecil ais asam jawa
  • 3 sudu besar kerisik
  • 2 helai daun kunyit
  • 2 helai daun limau purut
  • garam dan gula secukup rasa
  • 1 mangkuk besar minyak, untuk menumis

Bahan-bahan untuk rempah tumis:

  • 2 batang kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 5 biji buah pelaga

Bahan-bahan untuk kisar halus:

  • 1 biji bawang besar
  • 8 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 3 ketul kunyit hidup
  • 2 inci lengkuas
  • 2 batang serai

Cara Penyediaan:

Bersihkan ayam dan toskan.

Panaskan minyak dan tumis bahan rempah tumis, bahan kisar halus dan cili kisar.  Kacau perlahan dan masak sehingga pecah minyak dan garing.  Warna bahan tumisan akan bertukar menjadi sedikit gelap.

Masukkan pula ayam dan biarkan masak selama 5-10 minit.  Air ayam akan keluar sedikit semasa proses ini.

Masukkan santan pekat dan air asam jawa.  Kacau perlahan-lahan di atas api sederhana sehingga kuah menjadi pekat.

Masukkan kerisik, daun kunyit dan daun limau purut.  Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

Tabur dengan hirisan daun kunyit sebagai hiasan.

 

sumber : iResipi