Menghadapi Ujian Allah Dengan Tenang dan Redha

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah, ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.

Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah.

Setiap orang ada masalahnya tersendiri, Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama.

Allah menguji seseorang itu kerana Allah SWT mempunyai rahsianya tersendiri, sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita.

Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita, yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri, ujian juga dapat mematangkan kita.

Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah SWT kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali?

Sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita.

Allah Timpakan Ujian Supaya Kita Bersabar..

Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita.

Kita selalu tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita.

Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya.

Mungkin ada sahabat-sahabat kita atau saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita

Bukankah Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya.

Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita.

Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita.

Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya.

Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Alihkan pandangan mata ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupan.

Jika rasa kecewa, alihkan pandangan ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih, alihkan pandangan ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan?

berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita.

Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.

Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita.

Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun!

Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing.

Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita.

Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya.

Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya.855

Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!

Terjaga waktu malam, cepat-cepatlah solat tahajud. Ini kelebihannya yang perlu kita tahu

KADANG-KADANG kita terjaga daripada tidur pada waktu malam. Biarpun masa tu tak adalah rasa nak terkucil pun atau haus, tapi pelik tiba-tiba saja terjaga.

Rasanya ramai yang pernah mengalami situasi ini, bukan? Kalau kita alami lagi perkara ini, apa kata kita ambil wuduk dan tunaikan solat sunat tahajud.

Bukan selalu kita tiba-tiba terjaga pun melainkan kalau orang yang dah biasa bangun malam untuk bertahajud dan lakukan amalan sunat yang lain.

Tidak salah pun kita ambil sedikit masa kita tu untuk tunaikan solat sunat tahajud ini. Inilah satu-satunya solat sunat yang boleh dilakukan apabila terjaga daripada tidur pada waktu malam, sekalipun kita hanya tidur hanya sebentar.

Waktunya juga panjang iaitu bermula waktu Isyak hinggalah terbit fajar. Namun begitu, sebaik-baik waktu adalah satu pertiga malam yang terakhir iaitu kira-kira jam 3 pagi hingga ke fajar.

Mudah saja sebenarnya yang tunaikan solat sunat ini. Dirikanlahnya sekurang-kurangnya dua rakaat secara bersendirian atau seberapa yang mampu.

Rugi tau kalau kita tak buat. Ini kerana ada banyak kelebihan dan fadilat solat tahajud yang bukan calang-calang. Antaranya:

1. Mendapatkan pengawasan ALLAH SWT dan menampakkan kesan-kesan ketaatan pada wajah.

2. Dikasihi para ahli ibadah dan orang-orang Mukmin.

3. Percakapan individu tersebut mempunyai hikmah, benar dan bijaksana.

4. Wajahnya bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar kelak.

5. Dipermudahkan hijab ke atasnya.

6. Senang melalui titian Siratul Mustaqim umpama kilat yang menyambar.

7. Menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.

8. Jauh daripada kebinasaan.

Subhanallah, begitu besar kelebihan yang bakal diperoleh kepada mereka yang mengerjakan solat tahajud ini.

Jom apa kata kita cuba buat. Mula-mula memang payah dan rasa berat je nak buat. Lama-lama nanti kita mungkin rasa seronok nak solat tahajud ni.

Kelebihan dan kemuliaan membaca Al-Quran

Daripada Abu Umamah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Al-Quran adalah kitab suci yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu mukjizat Baginda. Turunnya Al-Quran adalah sebagai petunjuk umat manusia sehingga ke hari kiamat.

Daripada Aishah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar dan tajwid yang betul, mereka sama taraf dengan malaikat yang merupakan utusan Allah dan mereka sentiasa berbakti dan patuh kepadanya, sebaliknya bagi orang yang boleh membaca Al-Quran tapi tidak lancar dan tajwidnya pula kurang baik akan memperolehi dua pahala.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sempena bulan Ramadan ini, adalah amat baik jika kita dapat memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Seterusnya, amalan membaca Al-Quran ini hendaklah diteruskan setiap hari. Kelebihan dan kemuliaan pembaca Al-Quran ini memang banyak. Antaranya yang pasti ialah pembaca akan mendapat ketenangan hati.

Seterusnya, Al-Quran akan menjadi pembela di akhirat kepada mereka yang membacanya di dunia ini. Allah SWT juga mengangkat tinggi kedudukan orang yang membaca Al-Quran dengan cara istiqamah atau berterusan.

Sebaik-baik manusia adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan yang mengajar orang lain membaca Al-Quran. Daripada Uthman bin Affan r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.” (HR Bukhari)

Membaca Al-Quran juga akan mendapat ganjaran yang tinggi dari Allah SWT. Daripada Uqbah bin Amir r.a., Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka Baginda bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim.”

Kami menjawab: “Kami suka demikian itu.” Sabda Rasulullah: “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor, demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya.” (HR Muslim)

Marilah kita sama-sama menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup kita sehingga ke akhir hayat kita. Insya-Allah, dengan cara itu kita sentiasa berada di dalam perlindungan Allah SWT.

Tazkirah Ringkas : Bagaimana Ingin Dikasihi Allah?

Bagaimana Ingin Dikasihi Allah?

 

Menerusi tazkirah Jumaat minggu lalu, walhamdulillah kita telah mengetahui rahmat Allah begitu luas yang terkadang tidak terjangkau oleh akal fikiran kita dan tidak terhitung banyaknya.

Maka pada hari ini, izinkan saya mengajak para jemaah untuk meneroka cara-cara untuk mendapatkan rahmat atau kasih sayang Allah.  Salah satu caranya adalah  dengan berbuat baik dan berlaku ihsan serta mewujudkan sifat kasih sayang sesama manusia.

Manusia yang menyayangi saudaranya, pasti akan dikasihi Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak mengasihi, pasti tidak akan dikasihi olehNya. Pernah terdapat seorang sahabat nabi yang mempunyai sepuluh orang anak, tetapi tidak pernah sedikitpun mencium anak-anaknya, lalu nabi s.a.w bersabda:

 

“Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, maka dia juga tidak akan dikasihi oleh orang lain.”

 (Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

 

Mengasihi anak yatim juga adalah merupakan sifat yang amat dicintai oleh Allah dan nabi s.a.w. Adalah menjadi kewajipan kita untuk mengasihi dan memuliakan serta menjaga kebajikan mereka. Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

 

“Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua jari ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan)”.

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

Selain itu, berbuat baik serta berlaku ihsan kepada haiwan juga adalah merupakan suatu sifat yang perlu kita semaikan dalam diri kita. Benar, memelihara haiwan ini memang amat dianjurkan dalam Islam, tetapi pemiliknya mestilah menjaga hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada haiwan peliharaannya.

Oleh itu, jika kita ada memelihara haiwan peliharaan di rumah contohnya seperti ikan, kucing, arnab dan sebagainya, berilah makan dan minum kepada mereka dengan secukupnya, jagalah kebajikan mereka dengan baik agar haiwan tersebut dapat meneruskan kelangsungan hidupannya dengan baik.

 

Pernah disebutkan dalam hadis bahawa ada pemilik haiwan yang diseksa kerana tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada haiwan peliharaannya.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Ada seorang wanita yang diseksa kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Wanita itu lalu masuk ke dalam neraka kerana kucing tersebut dikurungnya tanpa diberikannya makan dan minum dan tidak pula dibiarkannya bebas sehingga dia dapat memakan serangga tanah.”

(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

 

Demikianlah beberapa contoh mudah tentang cara kita bersifat belas kasihan kepada seluruh makhluk Allah SWT di atas muka bumi ini. Oleh kerana itu, kita pasti akan dikasihi oleh Allah dan seluruh penduduk yang ada di langit jika memiliki sifat rahmat dan ihsan kepada seluruh makhlukNya. Mudah-mudahan ianya menjadi salah satu sebab untuk kita mendapat 99 lagi rahmatNya di Hari Akhirat kelak. Allahumma amin

.

TazKiRaH – Mencari Ketenangan Hati

Hati atau roh adalah hakikat kejadian manusia, kerana itu ia diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasai. Dari sanalah ia menentukan sikap manusia sama ada positif atau negatif.
Memang hakikat penciptaan hati oleh Allah SWT adalah suatu yang maha ajaib. Kelajuan perjalanan hati tidak terhitung dan ruang gerakannya tiada had. Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad lahir (fizikal) manusia mati. Hati berpindah ke alam Barzakh dan seterusnya ke akhirat.
Bagi orang mukmin yang suci hatinya dia dapat melihat di syurga kelak. Itulah dia hati manusia.
Ia juga disebut roh. Tempatnya ialah di dalam hati jasmani. Hati rohaniah ini umpama burung yang bersangkar di dalam hati jasmaniah.
Hati manusia berbeza dengan hati haiwan kerana hati manusia boleh menerima perintah dan larangan; ia disebut rohul amri. Manakala hati haiwan tidak bersifat demikian, ia disebut rohul hayah.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati boleh menjadi baik atau jahat apabila:
* Rasa senang apabila ia dipuji.
* Rasa menderita apabila di keji.
* Rasa riak dan megah apabila mendapat kelebihan dan kejayaan.
* Rasa ujub (hairankan diri) apabila mempunyai kemampuan.
* Rasa rendah diri (inferiority complex) apabila ia mempunyai kekurangan.
* Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa atau ada ilmu atau ada kekayaan atau ada kekayaan.
* Rasa tidak senang (hasad) apabila tengok orang lain lebih.
* Rasa dendam apabila orang menganiayainya.
* Simpati dengan orang susah.
* Rasa keluh kesah apabila dapat susah.
* Rasa terhutang budi dan terima kasih pada orang yang menolong.
* Rasa gerun apabila berhadapan dengan perkara yang menakutkan.
* Rasa jijik apabila berhadapan dengan benda kotor.
Begitulah riak-riak hati yang beralih-alih kepada berbagai-bagai riak rasa dengan sendirinya, apabila dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan itu akan kemudian akan mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa hati itu baik, baiklah tindakan manusia. Dan kalau rasa hati itu jahat maka jahatlah tindakan lahir manusia.
Hati itu Raja, Perlu dibajai dengan Taqwa
Dengan kebolehan dan kuasa yang penting, hati seolah-olah raja yang bertakhta didalam diri manusia. Dialah yang menentukan baik buruk manusia.
Akal adalah penasihatnya. Anggota-anggota lahir adalah rakyat jelatanya yang taat kepada arahannya. Nafsu dan syaitan adalah musuhnya. Demikian struktur kerja yang berlaku dalam diri manusia.
Kita mesti memahami dan beri perhatian penting pada persoalan ini, kerana baik jahatnya kita bergantung pada hati serta pengurusan kita dalam hati.
Siapa mengabaikan urusan hati, ertinya membiarkan dirinya berjalan dalam gelap. Nasibnya belum tentu selamat dunia dan akhirat. Hati boleh dididik.
Apa Kata Allah tentang hati
Firman Allah: “Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya.” (As –Syams: 9) .
Firman-Nya lagi,“Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersih diri (dengan beriman ). Dan dia ingat nama tuhannya lalu dia sembahyang.” (Al–Ala: 14–15)
Firman Allah seteruanya, “Pada hari itu, tidak berguna lagi harta.. anak-anak dan isteri atau suami. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah membawa hati yang selamat.” (Asy–Syuara: 88-89)
Di antara Sebab Jiwa Tidak Tenang
1. Banyak menzalimi orang
2. Banyak membuat dosa
3. Menghina dan menzalimi ibu atau bapa
4. Menzalimi dan menghina guru terutama guru yang menunjukkan kita ke jalan Akhirat
5. Tidak percaya wujudnya Allah Taala
6. Tidak mengharap lagi pertolongan Allah
7. Orang yang kena uji bila imannya lemah atau tidak beriman
Ketenangan itu berpusat atau berpaksi di dalam hati nurani. Ia perlu dijaga, kerana bila hilang ketenangan, hilanglah kebahagiaan. Bila hilang kebahagiaan, tidak ada lagi keindahan di dalam kehidupan sekalipun mempunyai kekayaan, duduk di dalam istana yang indah, memiliki isteri yang cantik, ada kuasa.
Bila ketenangan hati tidak ada, sentiasa keluh-kesah, apa sahaja dibuat serba tidak kena, makan rasa tidak sedap, tidur tidak lena, membuat sesuatu perkara tidak ada penumpuan lagi, selalu sahaja termenung, orang bercakap kurang diambil perhatian, sumbang di dalam pergaulan, membaca mengganggu untuk memahami, kawan-kawan ikut risau, mudah marah-marah, suka bersendiri, mudah merajuk, mudah tersinggung, tidak tahan sabar, tidak tahan tercabar, mudah jemu membuat kerja, makan minum, pakaian dan badan tidak terurus, kurang bertanggungjawab, tidak suka bercakap.
Orang yang berada di dalam tidak ketenangan, jika ketidaktenangan itu kuat dan kurang pula pelajaran selalunya tidak boleh dikontrol rasa tidak tenang itu, sama ada di waktu ramai mahupun di waktu keseorangan, sentiasa nampak muram, susah hatinya amat ketara, orang ramai perasan.
Jika dia seorang cerdik dan pandai atau ada status di dalam masyarakat mungkin setengah orang dia boleh kontrol. Di tengah ramai dia boleh sembunyikan ketidaktenangannya itu untuk menjaga wibawa atau status diri, tapi bila waktu keseorangan dia mulalah termenung. Kesusahan hatinya nampak dilihat pada atau melalui air mukanya.
Ada setengah orang mukanya cantik, orangnya periang, happy go lucky, ada kalanya susah juga dikesan. Tapi kalau dia tidak boleh kontrol, lihat muka dapat dikesan.
Maka seorang yang periang tiba-tiba jadi pendiam, hilang riang, suka bersendiri, gurauan sudah tidak ada, anak isteri mula risau, kawan-kawan susah hati.
Untuk menghilangkan rasa tidak tenang itu, keluarlah daripada menzalimi dan memohon maaf kepada orang yang kita zalimi itu. Tinggalkan membuat dosa kemudian kembali berpegang dan bersandar kepada Allah SWT. In shaa Allah ketenangan akan muncul.
Dlm konteks ini jangan keliru dengan orang yang berdiam kerana mengingati Allah.  Orang yang hatinya hanya Allah..in shaa Allah ada nur…dan segala tingkah perbuatanya akan sentiasa dilindungi-Nya.
Wallahualam. .

3 Pesanan Penting Tentang Kehidupan Dunia Ini

Bismillahirrahmanirrahim..

Dunia adalah destinasi yang kita sedang hadapi sekarang. Sebelum menjejak ke alam seterusnya iaitu barzakh, kita akan diuji di atas dunia ini terlebih dahulu.

Walau dunia bersifat sementara, namun ramai yang masih tertipu dengan keindahan dunia yang palsu dan seketika. Terperdaya dengan pangkat, harta dan wanita.

Tempat persinggahan ini sesetengah daripada kita menyangka dan menganggap ia kekal dan abadi. Mengejar dunia tanpa kesudahan dan tertinggal amal dan bakti.

Mari kita susuri 3 pesanan tentang dunia. Semoga menjadi peringatan kepada kita untuk menghadapi kehidupan dunia agar tidak tersasar daripada kebenaran.

#1 – Jangan Hanya Memikirkan Balasan Dunia Semata-Mata

“Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”Surah an Nisa’:134

Sikap manusia memang mahukan hasilnya diterima dengan segera. Lagi cepat lagi baik. Contohnya, bila bekerja mahukan gaji. Tiada upah dan gaji belum tentu kerja itu ingin dilakukannya.

Hakikatnya, kehidupan kita bukan hanya di dunia sahaja. Tetapi di akhirat nanti kita akan dihidupkan dan menerima pembalasan atas perbuatan kita di dunia.

Baik atau buruk walau sekecil zarah pun kita akan ditanya di akhirat sana oleh Allah S.W.T. Tidak tertinggal sedikit pun.

Jadi bersabarlah dalam melakukan kebaikan. Jika tidak hari ini kita menerima balasan, pasti di akhirat kita mendapat ganjaran pahala.

Begitu jugalah dengan perbuatan jahat yang dilakukan, jika di dunia perbuatan jahat terlepas dan tidak dapat dijejaki oleh pihak berkuasa, ingatlah di akhirat nanti, hukuman yang adil akan menimpa mereka.

Janji Allah itu pasti! Jadi jangan putus semangat dalam melakukan kebaikan dan jangan terjebak dengan kerja kejahatan. Segala yang dilakukan pasti akan menerima pembalasan nanti. Kita bukan ada dunia sahaja, tetapi kita juga ada akhirat di sana.

#2- Dunia Penuh Dengas Permainan Yang Sia-Sia

“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”Surah al An’am: 32

Dunia penuh dengan hiburan yang melalaikan dan sia-sia. Ramai manusia yang tertipu dengan permainan dunia.

Terleka dan hilang arah tujuan. Berhibur hingga terlupa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T.

Jika dunia ini hanya sekadar berhibur semata, alangkah ruginya kehidupan ini. Keseronokkan di dunia tidaklah menyamai dan menandingi keindahan di syurga.

Syurga itu adalah sebaik-baik ciptaan Allah untuk hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa. Ia kekal abadi.

Manakala di dunia ini adalah syurga untuk orang kafir. Dan penjara bagi orang Islam. Pilihlah mana pilihan kita. Dunia yang bersifat sementara atau akhirat yang kekal abadi selamanya?

Kita sebagai umat Islam seharusnya meletakkan dunia di tangan dan bukan di hati. Jika diletak dihati, dunia akan dijadikan tujuan hidup. Dunia akan pergi, akhirat akan menanti.

#3- Dunia Hanya Tempat Persinggahan Seketika

“Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia).”Surah Yunus : 45

Dunia dan akhirat, bandingannya sangat jauh sekali. Jarak masa dan suasana yang berbeza. Apabila direnung kembali, kehidupan kita di dunia cukuplah singkat sekali. Ibarat seperti sesaat sahaja kita hidup di dunia.

Jika kita sedar kehidupan dunia sekadar sesaat, kita tidak akan ada masa lagi untuk mengumpat, menfitnah dan membuat dosa. Kerana masa yang ada sangatlah terhad dan pendek. Gunakanlah masa kita dengan menambah amalan untuk dibawa ke sana.

Bila kita berfikiran yang dunia hanya sekadar sesaat sahaja umpamanya di akhirat, kita akan menguruskan kehidupan kita dengan sebaiknya. Pasti ada sahaja amal baik akan dilakukan pada waktu yang tersisa.

Pandanglah Dunia Dengan Mata Iman

Dunia perlulah dipandang dengan mata iman dan bukan dengan mata nafsu. Jika dipandang dengan mata nafsu, memang segala yang dimiliki rasa tidak cukup.

Harta sudah memenuhi rumah, tetapi masih belum berpuas hati. Berbeza jika memandang dengan mata iman, rasa cukup dengan apa yang ada, malah disedekahkan pula rezeki yang ada.

Bayangkanlah, dunia ini hanyalah ibarat seorang musafir yang sedang berehat di bawah pohon untuk menghilangkan lelah dari perjalanan yang jauh. Itulah dunia yang sebenar.

Selepas hilang keletihan, pemusafiran diteruskan semula. Berjalan menuju destinasi seterusnya. Iaitu alam barzakh.

Salahkah Kaya Dalam Islam?

Setelah kita mengetahui 3 pesanan di atas, mungkin ada sebilangan yang berkata pada diri sendiri;

‘Kalau macam tu, baik hidup miskin. Dunia ni bukan lama. Duit pun tak dibawa mati.’

Sebelum memberi kesimpulan, baik berfikir dengan mata hati. Cubalah pandang kekayaan itu untuk mencari keredaan Allah dan sumber pahala. Jangan memandang negatif keseluruhannya, tapi sila lihat yang positifnya.

Kekayaan kita itu perlulah disalurkan kepada jalan kebaikan. Lagi kita kaya dan berharta, lagi banyak kita boleh memperoleh pahala. Kita dapat membantu orang susah, anak-anak yatim dan sebagainya.

Jadi, kekayaan itu bukan menghalang kita daripada melupakan Allah, jika kita menggunakan kekayaan kita itu dengan cara yang dibenarkan syariat.

Sahabat Nabi S.A.W pun ada yang kaya. Adakah Nabi melarang untuk kaya bila kekayaan itu membantu pembangunan Islam? Yang penting, kekayaan itu bukan bertujuan untuk melupakan urusan akhirat.

Dunia Bukan Tujuan Utama Kita

Jadikan dunia ini untuk mencari bekalan yang akan dibawa pada hari akhirat nanti. Dunia bukan tujuan akhir kita.

Dunia yang sedang kita jejaki ini pasti akan berakhir suatu hari nanti. Bila? Itu hanya Allah sahaja yang tahu dan ia pasti akan berlaku.

Apa yang penting, kita persiapkan amalan kebaikan, perbanyakkan amalan sunat, perkara dosa mulai sekarang kita kurangkan dan tinggalkan.

Jika merasa kiamat itu masih jauh, ingatlah kematian itu dekat. Jika merasa diri masih muda, ingatlah kematian itu tidak mengenal usia.

Akhir kalam, renungkan doa Nabi S.A.W ini, Daripada Anas R.A bahawa Rasulullah berdoa;

“Ya Allah, tidak ada kehidupan (yang sebenar) kecuali kehidupan di Akhirat” Riwayat Bukhari dan Muslim

Waallahualam.

Hati bersih penentu akhlak mulia

SESUNGGUHNYA anggota tubuh yang diciptakan paling mulia dalam diri manusia ialah hati (kalbu). Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.” (Surah AnNahl, ayat 78). Allah SWT menyebut tiga perkataan ini dalam Al-Quran sebanyak 132 kali yang menggambarkan kepentingannya kepada manusia.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi, berkata ulama tafsir menegaskan tiga perkataan, iaitu pendengaran, penglihatan dan hati yang Allah sebutkan paling kerap dalam al-Quran kerana ia adalah pintu kepada segala maklumat dan ilmu yang menyentuh kehidupan manusia.

Melalui telinga Mukmin memperoleh pelbagai maklumat dan pengetahuan untuk bertindak dengan setiap ilmu yang didapati. Begitu juga dengan mata, Mukmin dapat melakukan perkara yang membawa kebaikan kepadanya dan umat lain di muka bumi ini. Tidak kurang pula dengan hati kerana kalbu memberikan Mukmin ketakwaan dan kecintaan kepada Allah SWT. Dari hati juga, Allah SWT memberikan ilham kepada Mukmin membuat penilaian dan perbezaan antara perkara baik dan buruk yang akan membezakan manusia dengan makhluk Allah yang lain seperti haiwan.

Pelihara hati

Sesungguhnya hati ibarat raja bagi anggota tubuh dan ketua dalam segala bentuk kehidupan manusia. Jika baik hati itu, maka baiklah kehidupan seseorang Mukmin tetapi jika buruk atau rosak hati itu, maka punah seluruh anggota tubuh dan kehidupan Mukmin. Memelihara hati bukan seperti memelihara anggota badan yang lain, merawat hati perlu kepada ketakwaan dan keampunan dari Allah SWT kerana hati yang selalu subur dengan mengingati Allah akan sentiasa terpelihara oleh rahmat Allah SWT.

Apakah hati kita sihat atau sebaliknya? Hati yang sihat atau sakit dapat dilihat melalui perbuatan dan kata-kata seseorang mukmin. Orang yang hatinya subur dengan kebaikan terserlah melalui akhlak yang indah dan disenangi orang sekeliling manakala Allah reda ke atasnya. Orang yang hatinya bermasalah, kotor, sakit dan tidak bersih juga diterjemah melalui perbuatan buruk, tidak beramal soleh bahkan tidak memberi kebaikan kepada dirinya dan orang sekeliling.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang turun (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang yang sebelumnya diturunkan al-kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang yang fasik.” (Surah Al-Hadid, ayat 16)

Dekatkan diri dengan Al-Quran

Jelas, bagi hati yang keras, sungguh banyak waktu yang dimiliki tetapi tidak disibukkan dengan mendekatkan diri dengan ayat-ayat Allah. Bahkan, hati tidak terdidik dengan ilmu agama sehingga menjadi keras dan menyebabkan hati menjadi hitam untuk menerima ilmu dan kebaikan. Hati yang keras akan cenderung kepada perkara yang mengundang dosa, perbuatan sia-sia dan mungkar.

Allah banyak kali mengingatkan kita dalam Al-Quran bahawa celaka dan rugilah bagi orang Mukmin yang hatinya keras untuk beramal soleh dengan amalan yang mendekatkan diri mereka dengan Allah.

Berbeza dengan Mukmin yang hatinya jernih dengan titik kebaikan, akan mudah menerima ilmu dan taat akan agama Allah. Orang yang hatinya bersih akan tersisih dari perkara yang dilarang bahkan hanya terarah kepada perbuatan yang hanya mendatangkan pahala Allah SWT.

Setiap Mukmin perlu sentiasa berusaha mencari jalan mendidik dan merawat hati kerana hati yang sentiasa dirawat dan disuburkan dengan amalan soleh mudah tunduk akan setiap perintah Allah.

Bahkan hati yang lembut akan mudah memperoleh ketenangan yang membuatkan dirinya menjadi hamba yang beramal soleh.