Kelebihan dan kemuliaan membaca Al-Quran

Daripada Abu Umamah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Al-Quran, sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (Hadis riwayat Muslim)

Al-Quran adalah kitab suci yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu mukjizat Baginda. Turunnya Al-Quran adalah sebagai petunjuk umat manusia sehingga ke hari kiamat.

Daripada Aishah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang yang boleh membaca Al-Quran dengan lancar dan tajwid yang betul, mereka sama taraf dengan malaikat yang merupakan utusan Allah dan mereka sentiasa berbakti dan patuh kepadanya, sebaliknya bagi orang yang boleh membaca Al-Quran tapi tidak lancar dan tajwidnya pula kurang baik akan memperolehi dua pahala.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sempena bulan Ramadan ini, adalah amat baik jika kita dapat memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Seterusnya, amalan membaca Al-Quran ini hendaklah diteruskan setiap hari. Kelebihan dan kemuliaan pembaca Al-Quran ini memang banyak. Antaranya yang pasti ialah pembaca akan mendapat ketenangan hati.

Seterusnya, Al-Quran akan menjadi pembela di akhirat kepada mereka yang membacanya di dunia ini. Allah SWT juga mengangkat tinggi kedudukan orang yang membaca Al-Quran dengan cara istiqamah atau berterusan.

Sebaik-baik manusia adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan yang mengajar orang lain membaca Al-Quran. Daripada Uthman bin Affan r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.” (HR Bukhari)

Membaca Al-Quran juga akan mendapat ganjaran yang tinggi dari Allah SWT. Daripada Uqbah bin Amir r.a., Rasulullah S.A.W keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka Baginda bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim.”

Kami menjawab: “Kami suka demikian itu.” Sabda Rasulullah: “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor, demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya.” (HR Muslim)

Marilah kita sama-sama menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup kita sehingga ke akhir hayat kita. Insya-Allah, dengan cara itu kita sentiasa berada di dalam perlindungan Allah SWT.

Speak Your Mind

*