7 Punca Sakit Lutut Menjadi Masalah Utama

Masalah sakit lutut atau ‘Knee Osteoarthritis (OA)’ sangat sinonim dengan warga emas atau mereka yang semakin meningkat usia tua. Kajian menunjukkan, seramai 240 juta masyarakat dunia mengalami sakit radang sendi atau ‘Osteoarthritis (OA).

Tahukah anda bahawa masalah ini merupakan penyebab utama kepada kemerosotan keupayaan fizikal. Bukan sahaja ia mengganggu rutin harian, tetapi masalah ini juga lama-kelamaan akan mempengaruhi emosi individu tersebut.

Apa itu Osteoarthritis (OA) Lutut?

Osteoarthritis (OA) Lutut adalah masalah keradangan yang berlaku pada bahagian sendi lutut. Ia berpunca daripada proses penipisan lapisan tulang rawan (cartilage) yang berlaku secara beransur-ansur dan mengakibatkan keradangan. Ia juga dipanggil sebagai proses ‘wear and tear’.

Fungsi utama lapisan rawan ini adalah untuk menyerap daya hentakan. Apabila seseorang mengalami OA pada lutut, pergerakan lutut akan terbatas di mana seseorang itu akan mengalami kesukaran untuk membengkok lutut sepenuhnya. Keadaan ini juga akan menyebabkan kesakitan dan mengehadkan aktiviti harian individu terbabit. Bagi golongan yang berumur, kondisi ini akan bertambah teruk disebabkan oleh pengurangan penghasilan cecair pelincir di dalam sendi.

Masalah OA pada lutut kebiasaannya terjadi pada mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas. Ada juga yang mengalaminya pada usia yang lebih awal, lebih-lebih lagi jika mereka sebelum ini pernah mengalami kecederaan pada lutut.

TAHAP-TAHAP OSTEOARTHRITIS (OA) LUTUT

Apakah punca berlakunya Ostoarthritis (OA) Lutut?

1. Umur: Semakin meningkat usia tua, proses penyembuhan rawan pada tulang untuk sembuh akan semakin perlahan.

2. Berat badan: Semakin tinggi berat badan seseorang, semakin tinggi tekanan yang akan dikenakan pada sendi lutut.

Setiap1 pound berat badan, ini menyebabkan penambahan sebanyak 3 hingga 4 pound bebanan yang akan dikenakan pada lutut.

3. Keturunan: Ini termasuk faktor genetik yang menyebabkan seseorang itu lebih cenderung untuk mengalami osteoarthritis lutut. Ia juga mungkin disebabkan oleh faktor bentuk tulang atau postur kedudukan lutut yang diwarisi dalam keluarga.

4. Jantina: Wanita yang berusia 50 tahun dan ke atas lebih berisiko tinggi untuk mengalami osteoarthritis lutut berbanding lelaki.

5. Kecederaan lutut: Kebiasaannya mereka yang pernah mengalami kecederaan yang berulang kali pada lutut akan cenderung untuk mengalami osteoarthritis lutut. Contohnya, mereka yang terlibat dengan pekerjaan rutin yang banyak melibatkan mencangkung, melutut dan mengangkat barang yang berat (55 pounds dan ke atas), aktiviti ini menyebabkan tekanan yang konsisten diberikan pada sendi lutut.

6. Atlet: Atlet yang terlibat dalam sukan seperti bola sepak, tenis, atau berjalan jarak jauh berisiko tinggi untuk mengalami osteoarthritis lutut. Digalakkan untuk atlet sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kecederaan ketika latihan dan bersukan. Walau bagaimanapun, sangat penting untuk seseorang itu sentiasa konsisten dalam mengamalkan senaman yang mempunyai intensiti yang sederhana bagi menguatkan otot dan untuk mengurangkan risiko osteoartritis.

Otot yang lemah pada sekitar lutut akan meningkatkan risiko seseorang itu untuk mengalami osteoarthritis.

7. Penyakit-penyakit lain: Mereka yang mempunyai penyakit ‘rheumatoid arthritis’, dan mereka yang mengalami gangguan metabolik tertentu, seperti berlebihan iron atau hormon tumbesaran dalam badan berisiko untuk mengalami osteoarthritis lutut.

Apakah gejala dan simptom Osteoarthritis (OA) Lutut?

  • Sakit pada lutut semakin meningkat apabila seseorang terlalu aktif, dan lega apabila berehat.
  • Rasa ketat dan keras pada sendi lutut terutamanya apabila bangun pagi dan duduk dalam keadaan yang lama.
  • Bengkak pada lutut disebabkan oleh berlakunya keradangan dalaman pada sendi lutut.
  • Pergerakan lutut yang terbatas menyebabkan fungsi fizikal yang kurang berkualiti dan tidak optimum.
  • Bunyi ‘klik’ dan menyakitkan apabila melakukan pergerakan lutut. Ini disebabkan oleh geseran yang berlaku antara permukaan tulang pada sendi lutut.

Bagaimana cara merawat Osteoarthritis (OA) Lutut?

1. Kurangkan berat badan.

2. Sentiasa melakukan senaman: Untuk meningkatkan mobiliti dan pergerakan serta menguatkan otot.

3. Ubat-ubatan: Ubat tahan sakit dan ubat anti radang seperti acetaminophen (Tylenol), ibuprofen (Advil, Motrin), atau naproxen sodium (Aleve).

4. Rawatan suntikan steroid pada sendi lutut.

5. Memakai ‘knee guard’ atau ‘braces’ pada lutut terutamanya apabila melakukan aktiviti yang melibatkan banyak pergerakan atau dalam keadaan yang lama. Ia berfungsi untuk memberikan sokongan pada sendi lutut.

6. Rawatan fisioterapi: Antara rawatan yang akan diberikan termasuklah rawatan teknik manual yang berfungsi untuk melembutkan otot-otot yang tegang dan juga mengurangkan ketat pada sendi lutut. Senaman juga akan diajar bagi tujuan meregangkan dan menguatkan semula otot yang terlibat.

7. Pembedahan: Pembedahan yang dinamakan sebagai ‘total knee replacement’ akan dilakukan sebagai langkah rawatan terakhir.

Rawatan apakah yang dijalankan oleh Fisioterapi ke atas Osteoarthritis (OA) Lutut?

1. Manual teknik: Antara rawatan yang akan diberikan termasuklah rawatan teknik manual yang berfungsi untuk melembutkan otot-otot yang tegang dan juga mengurangkan ketat pada sendi lutut.

2. Modaliti untuk mengurangkan sakit: Rawatan haba atau sejuk digunakan bagi mengurangkan sakit pada sendi. Stimulasi electrical dengan mesin TENS atau Interferrential dapat mengurangkan sakit dan meningkatkan pengaliran darah yang lancar

3. Senaman: Senaman juga harus dilakukan bagi tujuan meregangkan dan menguatkan semula otot yang terlibat.

4. Latihan keseimbangan: Latihan keseimbangan badan juga penting di dalam meningkatkan stabiliti badan dengan mengekalkan postur yang baik. Latihan ini perlu ditekankan di kalangan golongan warga emas disebabkan keseimbangan badan yang semakin berkurang dengan penuaan.

5. Penjagaan sendi: Fleksibiliti, kekuatan dan deria rasa sendi perlu dikekalkan secara optimum bagi memastikan lutut bebas daripada implikasi trauma, beban dan hentakan yang berlebihan.

6. Nasihat kepada pesakit:

  • Golongan yang berumur dinasihatkan untuk berjalan dengan bantuan tongkat bagi mengurangkan bebanan ke atas sendi dan elak daripada terjatuh.
  • Aktiviti menaiki tangga dan mendaki bukit perlu dikurangkan dan dielakkan supaya kondisi sendi tidak menjadi semakin teruk.

Segera rujuk doktor atau pakar 

Dinasihatkan untuk segara berjumpa dengan pakar dan dapatkan rawatan jika anda mengalami tanda dan gejala seperti yang disebutkan.

Speak Your Mind

*