Archives for May 2020

Kisah Sehari Sebelum Hari Raya (Bangga Menjadi Warga UTM)

Sumber gambar: https://johoristimewa.wordpress.com/2017/07/06/bukit-gambir-toll-plaza/

Al kisah di susur keluar Bukit Gambir lebuhraya PLUS. Sejurus melepasi plaza tol, sudah kelihatan khemah barisan hadapan (PDRM dan ATM). Tapi saya tenang sahaja sebab tak buat salah kan? Setibanya giliran saya, cermin tingkap kereta diturunkan dan tangan diangkat..

Saya: Assalamualaikum tuan. Selamat hari raya (ingatkan dah boleh lepas 😅)

Polis: Wa’alaikumsalam. Encik dari mana nak ke mana?

Saya: Saya dari JB nak ke Sagil.

Polis: Boleh tunjuk IC encik?

Saya pun mengeluarkan kad pengenalan dari dompet dan lantas memberikannya kepada pihak polis tersebut.

Polis: eh ni alamat Negeri Sembilan ni. Betul ke encik ni dari JB? Sila parking ke tepi encik. Lepas tu mohon hadir ke khemah kami.

Saya lantas memarkirkan kereta di bahu jalan bagi memberi laluan kepada barisan kereta di belakang.

Polis: nama encik Abdul Halim Bin Abdullah kan? (sambil menunjukkan tab yang memaparkan maklumat saya)

Saya terkejut kerana dengan sekelip mata maklumat saya terpapar pada tab tersebut sedangkan kad pengenalan saya masih berada pada saya. Barangkali polis berkenaan memasukkan no. plat kereta saya ke dalam sistem mereka semasa saya hendak memarkirkan kereta di bahu jalan.

Saya : ya tuan.

Polis: maklumat dalam sistem ini menunjukkan alamat encik di Negeri Sembilan. Encik boleh dikenakan kompaun RM1000 ni sebab merentas negeri.

Saya: jangan tuan. Saya memang dari Johor Bahru. Kalau diikutkan hati memang saya nak balik Negeri Sembilan, tapi disebabkan rentas negeri tak dibenarkan, saya balik kampung nenek di Sagil.

Panjang lebar saya cuba menerangkan. Tapi tetap tenang sebab tak buat salah apa yang perlu ditakutkan.

Polis: apa bukti encik dari Johor Bahru?

Ah sudah…dalam hati apa bukti yang aku nak beri. Kalau ikutkan hati hendak sahaja saya buka sistem Touch n Go untuk buktikan sejarah perjalanan saya. Tapi username dengan password tak ingat pula. Saya cuba mencari sebarang dokumen dalam dompet untuk dijadikan bukti. Akhirnya saya terjumpa kad staf saya.

Saya: saya kerja di UTM tuan. Ini kad staf saya. (Sambil menghulurkan kad tersebut)

Polis: oh, encik lecturer ya di UTM Skudai.

Saya: ya tuan (sambil tersenyum sipu-sipu)

Polis: ok encik. Persediaan macam ni lah kita mahukan kalau ditanya pihak polis ketika ditahan. Terima kasih atas kerjasama yang diberikan. Selamat hari raya.

Saya: terima kasih tuan.

Jadi, kesimpulan yang saya nak buat di sini ialah saya bangga menjadi sebahagian dari warga UTM.

[Bahagian Akhir] Inovasi Universiti Bantu Negara Berdepan Pandemik

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-inovasi-universiti-bantu-negara-berdepan-pandemik/

Sumber gambar: https://www.mioir.manchester.ac.uk/research/themes/innovation-management/

Selain itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menggunakan teknologi pengesanan lokasi, bagi memantau keselamatan pelajar dan stafnya sepanjang tempoh PKP. Inisiatif yang sama dilaksanakan oleh UMK yang telah membangunkan sistem yang dinamakan ‘Smart Tracking’ untuk meningkatkan pengawasan dan memudahkan komunikasi dan pemantauan langsung staf dan pelajar. UKM dengan kerjasama UTM dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF) pula telah menghasilkan prototaip robot yang diberi nama Makcik Kiah 19 (MCK19) yang berperanan menggantikan petugas mengedarkan sajian makanan bagi pesakit yang dikuarantin. Selain itu, UTM menawarkan khidmat kepakaran untuk menjalankan kajian secara menyeluruh berkaitan wabak Covid-19 yang dikatakan berisiko ‘dipindahkan’ melalui air sisa dalam sistem pembentungan.

Natijahnya warga institusi pendidikan tinggi perlu berganding bahu antara satu sama lain serta memerah seluruh kecerdikan dan kreativiti untuk melakar kejayaan dalam pelbagai bidang yang dapat memberikan impak besar kepada masyarakat khususnya dalam memerangi penularan pandemik Covid-19 ini. Penggemblengan semua sumber dan kepakaran secara cekap dan optimum serta bersinergi mampu membantu pihak kerajaan dalam menghadapi cabaran getir ini.

Tamat

[Bahagian 2] Inovasi Universiti Bantu Negara Berdepan Pandemik

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-inovasi-universiti-bantu-negara-berdepan-pandemik/

Sumber gambar:https://getwideideas.com/idea-management-lessons-to-generate-ideas/

PPPM PT juga menggariskan enam atribut pelajar dan graduan yang perlu dihasilkan oleh IPT dan salah satunya ialah kemahiran berfikir iaitu menghayati pendapat yang pelbagai, berfikir secara kritikal dan inovatif, dan berkemahiran menyelesai masalah serta berciri keusahawanan. Sehubungan itu, sejumlah penuntut Universiti Malaya (UM) telah bekerjasama menghasilkan perisai muka untuk kegunaan petugas hospital. Dengan batasan pergerakan dan dengan bantuan beberapa NGO, akhirnya mereka dapat menghasilkan pelindung muka di bawah inisiatif ‘Face Shield Heroes (FSH)’. Sekumpulan alumni, pelajar dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) turut bekerjama menghasilkan pelindung muka kepada klinik, hospital dan pusat kuarantin berdekatan yang memerlukannya. Selain itu, face shield turut dihasilkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang dinamakan di bawah projek ‘Personal Protective Equiment COVID-19’ (PPE COVID-19) untuk diagihkan kepada pihak yang terlibat dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini. Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula menghasilkan pelindung muka dengan menggunakan filamen, kertas A4 lutsinar dan peralatan lain bagi kegunaan petugas khususnya di Pantai Timur. Jadi kita dapat lihat peranan IPT yang giat menghasilkan face shield di IPT masing-masing bagi kegunaan petugas baris hadapan seperti polis, tentera dan petugas perubatan di klinik dan hospital berdekatan dengan IPT masing-masing.

Selain face shiled, pihak IPT juga menggunakan kepakaran yang ada dengan menghasilkan hand sanitizer yang semakin sukar didapati di pasaran. Sekumpulan pensyarah UTM umpamanya menyediakan sanitizer menggunakan isopropyl alcohol 99% AR grade, aloe vera, essential oil dan air dan diedarkan di sekitar kampus Johor Bahru. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula menghasilkan cecair pembasmi kuman menggunakan 70 peratus bahan aktif yang berasaskan alkohol, dengan ramuan tambahan seperti gel aloevera dan dihasilkan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Di  UPM, produk sanitasi tangan untuk mencegah penyebaran virus Covid-19 dengan menggunakan formulasi gel lidah buaya dihasilkan, manakala di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hand sanitizer dihasilkan dengan menggunakan 99 peratus alkohol, kemudian dicairkan menjadi 70 peratus. Universiti Sains Malaysia (USM) pula menghasilkan pembersih tangan yang menggunakan limau purut sebagai wangian dan mengandungi sekurang-kurangnya 65 peratus alkohol untuk membunuh virus dan bakteria pada permukaan kulit. UMK menghasilkan sendiri cecair pembasmi kuman yang dinamakan UMK Care Hand Sanitizer (HS) bagi kegunaan komuniti yang memerlukan. Universiti Teknologi MARA (UiTM) juga dikatakan akan menghasilkan cecair pembasmi kuman untuk dimanfaatkan oleh warga kampusnya.

Bersambung…

 

[Bahagian 1] Inovasi Universiti Bantu Negara Berdepan Pandemik

Sumber gambar: https://www.entrepreneur.com/article/347669

Inovasi merujuk kepada penghasilan, asimilasi, dan eksploitasi sesuatu yang baru ditambah nilai dalam bidang ekonomi dan sosial, dan pembaharuan dan penambahbaikan penghasilan produk dan perkhidmatan. Inovasi merupakan proses dan produk, dan ia melibatkan perubahan dalam sesuatu yang sedia ada, terutamanya dengan memperkenalkan kaedah, idea, atau produk baru. Inovasi merupakan salah satu komponen dan budaya yang menjadi amalan dalam ekosistem institusi pendidikan tinggi (IPT) bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. Hal ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia untuk mengangkat agenda “Universiti Untuk Masyarakat” iaitu universiti menjalankan inovasi yang mana hasil inovasi merupakan jawapan terhadap pelbagai masalah yang dihadapi masyarakat pada hari ini khususnya menangani masalah pandemik Covid-19. Hal ini selari dengan gagasan yang dibawa oleh mantan-mantan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia sebelum ini serta YAB Menteri Pengajian Tinggi pada hari ini yang menitikberatkan “translational research and innovation” iaitu penyelidikan dan inovasi yang menghasilkan impak tinggi kepada pelbagai pihak khususnya masyarakat yang memerlukan. Inovatif merujuk pendekatan strategik dalam berhadapan dengan transformasi yang lebih dinamik untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin mencabar. Dalam konteks semasa iaitu mengekang penularan pandemik Covid-19 ini, banyak IPT yang membantu kerajaan dengan menggunakan kepakaran yang ada dan inovasi yang telah dihasilkan.

Hampir setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada sahaja inisiatif yang dilaksanakan oleh IPT dalam berganding bahu membantu kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menangani pandemik ini. Hal ini selari dengan apa yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) (PPPM (PT)) yang menyatakan terdapat sepuluh lonjakan dalam PPPM (PT) dan salah satu daripadanya ialah  ekosistem inovasi. Ia bermatlamat untuk memudahkan pembangunan ekosistem inovasi dalam bidang keutamaan negara khususnya pada masa kini, mengatasi masalah yang sedang dihadapi oleh negara kita.  IPT digalakkan meningkatkan peranan masing-masing sebagai penyedia penyelesaian masalah kepada masalah Covid-19 kini. Kebanyakan IPT membantu barisan hadapan dengan menyediakan pelindung muka atau face shield kepada mereka. Face Shield yang dihasilkan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh KKM terlebih dahulu. Face shiled ini dihasilkan dengan menggunakan kepakaran dan fasiliti yang terdapat di IPT masing-masing. Antaranya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menghasilkan ‘UTM Face Shield’ untuk kegunaan kakitangan KKM di Hospital Permai, sembilan hospital swasta di Johor dan petugas universiti seperti pengawal, staf pusat kesihatan dan sebagainya. Staf dan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) juga mencipta pelindung muka tiga dimensi (3D) bagi membantu petugas di kampus, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat. Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula menghasilkan UTeMShield dan PlexiBox yang berupaya melindungi para perubatan di poliklinik serta hospital sekitar Melaka. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif menghasilkan pelindung muka dan pelindung plastik pakai buang kepada petugas hospital di Hospital Tunku Jaafar dan Hospital Ampang Jaya. Jabatan Keselamatan universiti berkenaan yang bertugas di pintu masuk universiti juga menerima tempias bantuan berkenaan. Selain itu, bekerja dari rumah atau work from home (WFH) memberi peluang kepada dua orang pensyarah dan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan face shield di rumah masing-masing bagi memenuhi keperluan petugas perubatan di beberapa buah hospital di sekitar Lembah Klang.

Bersambung…

UTM Open Day