Archives for June 2020

[Bahagian Akhir] Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dan Tragedi “Budak Gua” Thailand

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-2-pendidikan-sains-teknologi-kejuruteraan-dan-matematik-stem-dan-tragedi-budak-gua-thailand/

https://www.express.co.uk/news/world/985843/thailand-cave-rescue-latest-thai-soccer-team-mental-health-news-rescuers-divers-mission

Dari aspek Matematik pula, perkara paling penting ialah berkaitan masa untuk mencari dan menyelamat. Para penyelamat bertarung dengan masa, kerana bagi mereka, semakin panjang tempoh yang diambil untuk mencari dan menyelamat, semakin tipis peluang untuk menjumpai mangsa dengan selamat. Begitu juga dengan kedalaman gua yang dikatakan sedalam 800-1000 meter dari permukaan dan 4 km dari pintu masuk gua berkenaan. Pihak berkuasa Thailand membuat anggaran bahawa mangsa perlu berada dalam gua berkenaan selama empat bulan iaitu dengan mengambilkira berakhirnya musim tengkujuh dan sehingga air banjir surut. Hal ini membolehkan mangsa berjalan untuk keluar memandangkan kesemua mereka tidak pandai berenang. Walau bagaimanapun, kematian salah seorang penyelam berpengalaman Thailand yang disebabkan kekurangan udara semasa berada di dalam air dan ditambah pula dengan tahap gas oksigen yang semakin menurun kepada 15% dan semakin menurun yang mana kadar normal ialah 21% memaksa usaha mengeluarkan mangsa dipercepatkan. Sehubungan itu, banyak elemen dari komponen Matematik yang boleh dibincangkan di dalam bilik darjah dari insiden ini. Dari aspek Teknologi, ia sememangnya tidak boleh dipertikaikan penggunaannya dalam misi tersebut. Banyak elemen dari komponen Teknologi yang boleh dijadikan bahan perbincangan. Antaranya, bagaimana teknologi digunakan dalam operasi besar-besaran untuk mengepam air dari gua, dan teknologi yang digunakan untuk menyekat semua aliran yang membawa air dari luar masuk ke dalam gua. Pihak berkuasa Thailand juga membina empangan untuk mengalihkan air banjir dari gua. Persoalan lain ialah mengapa teknologi dan kelengkapan yang dimiliki oleh pasukan tentera laut untuk menyelam di lautan berbeza dengan menyelam di dalam gua.

 

Dari aspek Kejuruteraan, kita dapat lihat bagaimana syarikat kejuruteraan terkenal Tesla dan SpaceX yang diterajui oleh Elon Musk, mencadangkan syarikatnya akan membina “kapal selam kecil ” untuk menyelamatkan kanak-kanak yang masih terperangkap dalam kompleks gua Tham Luang yang ditenggelami air. Walau bagaimanapun, persoalan mengapa pihak penyelamat menegaskan bahawa alat tersebut tidak praktikal untuk misi ini boleh diutarakan. Pada masa yang sama, kren dan peralatan penggerudian telah dihantar ke gunung, tetapi usaha menghasilkan 100 lubang bersaiz ‘serombong asap’ yang cukup besar untuk mengeluarkan mangsa merupakan usaha yang rumit dan boleh mengambil masa yang lama. Ia juga boleh menyebabkan bahagian-bahagian gua menghempap mangsa semasa usaha penggerudian dilakukan. Semasa proses mengeluarkan mangsa dijalankan oleh para penyelamat, mereka menggunakan tali yang dilekatkan pada dinding gua untuk membantu memandu setiap mangsa melalui ruang-ruang yang banjir sepenuhnya. Tangki oksigen tambahan akan ditinggalkan di sepanjang laluan dan kayu yang bercahaya juga dapat memandu memudahkan laluan misi mengeluarkan mangsa. Sehubungan itu, strategi-strategi menyelamat yang dilakukan ini boleh dibincangkan bersama dengan pelajar untuk mewujudkan rasa ingin tahu mereka dan seterusnya menanam rasa minat mereka terhadap bidang STEM.

 

Dengan mengutarakan persoalan-persoalan dalam konteks insiden “Budak Gua” Thailand, yang dapat membangkitkan rasa ingin tahu yang mendalam kemudiannya membawa kepada penerokaan ilmu dan maklumat lanjut bagi mendapatkan jawapan terhadap persoalan-persoalan tersebut, pendekatan pembelajaran berasaskan Inkuiri ini secara langsung telah dilaksanakan. Pendekatan ini dinyatakan secara eksplisit dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sebagai salah satu pendekatan yang perlu ditekankan dalam menjayakan KSSM. Pendekatan inkuiri ini juga selari dengan pendekatan STEM yang turut ditekankan dalam KSSM supaya pelajar bukan sahaja menerima ilmu pengetahuan melaluinya, tetapi juga kemahiran dan nilai terhadap bidang STEM itu sendiri.

Tamat

[Bahagian 2] Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dan Tragedi “Budak Gua” Thailand

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-pendidikan-sains-teknologi-kejuruteraan-dan-matematik-stem-dan-tragedi-budak-gua-thailand/

Sumber gambar: https://www.pnbank.com.au/power-of-and/2018/thai-cave-rescue-mission/

Insiden ini menarik untuk dibincangkan di dalam bilik darjah kerana kita dapat melihat bagaimana komponen Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memainkan peranan di sepanjang misi mencari dan menyelamat (SAR) berlangsung. Bermula dengan proses mencari dan menyelamat, penemuan mangsa yang terperangkap, proses mengeluarkan mangsa dan akhirnya kesemua 13 mangsa berjaya dikeluarkan, kita boleh lihat bagaimana aspek STEM ini memainkan peranan dalam menjayakan misi merbahaya tersebut. Kita sedia maklum, pendidikan STEM telah diperkenalkan dalam sistem pendidikan di negara kita yang mana ia merujuk kepada pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan pengaplikasian pengetahuan, kemahiran dan nilai STEM untuk menyelesaikan masalah dalam konteks kehidupan harian, alam sekitar dan masyarakat tempatan serta global. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, pendidikan STEM di Malaysia sebagaimana dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dilaksanakan dalam tiga fasa dan ketika ini, fasa kedua sedang dilaksanakan yang mana matlamat utama fasa dua ini adalah untuk menarik minat dan kesedaran komuniti terhadap STEM. Nilai-nilai murni, sikap positif terhadap bidang STEM serta menghargai kepentingan dan keindahannya perlu dipupuk dan diamalkan di bangku sekolah.

Berbalik kepada insiden mangsa yang terperangkap dalam gua dan jauh di dalam gunung, dari aspek Sains, kita boleh lihat bagaimana air hujan membentuk struktur dalaman gua yang begitu kompleks. Kemudian, setelah beberapa hari misi mencari dan menyelamat tidak menunjukkan hasil yang positif, pasukan penyelamat masih yakin kesemua 13 mangsa masih hidup berdasarkan kesan cap jari di tanah yang kering di dalam gua berkenaan, dan persoalan bagaimana kesan cap jari dapat membantu menentukan kedudukan mangsa dan meramal sama ada mangsa masih hidup atau sebaliknya. Persoalan-persoalan Sains lain yang boleh diutarakan ialah bagaimana kanak-kanak dan remaja berusia lingkungan 11 hingga 16 tahun yang terperangkap selama sembilan hari jauh ke dalam bahagian gua, iaitu kira-kira 4km dari pintu masuk boleh terus bertahan tanpa makanan tetapi dengan hanya meminum air hujan dan dehidrasi tidak berlaku. Malah rata-rata berat badan mangsa dilaporkan hanya susut 2kg. Adakah disebabkan mereka adalah pemain bola sepak, maka sistem imunisasi mereka tinggi dan bagaimana untuk meningkatkan sistem imunisasi dalam diri seseorang. Kanak-kanak berkenaan juga diberi makan gel protein tinggi dan makanan yang mudah dihadam pada awal penemuan mereka, dan mengapa mereka tidak diberikan terus makanan biasa juga merupakan soalan-soalan yang dapat mencambah pemikiran mereka. Seperti yang kita sedia ketahui, mangsa menghabiskan sebahagian besar tempoh sembilan hari dalam gua berkenaan dalam keadaan gelap gelita, dan mengapa mereka terpaksa memakai cermin mata hitam apabila mula-mula dibawa keluar. Kanak-kanak tersebut juga dilaporkan mendengar bunyi kicauan burung dan kanak-kanak bermain di atas dari tempat mereka terperangkap. Walau bagaimanapun pakar berpendapat pengamatan ini sebenarnya merupakan halusinasi, dan bagaimana halusinasi boleh berlaku dalam keadaan akal fikiran yang tertekan dan hilang keupayaan untuk membezakan antara malam dan siang antara persoalan menarik yang boleh diajukan kepada pelajar. Aspek kesihatan juga merupakan sebahagian dari komponen Sains yang mana antara topik perbincangan yang boleh dibahaskan ialah mengapa mangsa itu diberi ubat anti-anxiety untuk memudahkan proses pengalihan mereka dari gua itu yang membuatkan mereka tidak teruja dan tidak tertekan, dan mengapa mangsa yang berjaya diselamatkan telah dipisahkan secara berasingan di hospital dari orang luar untuk suatu tempoh tertentu.

Bersambung…

 

 

[Bahagian 1] Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Dan Tragedi “Budak Gua” Thailand

Sumber gambar: https://www.usatoday.com/story/news/2018/07/03/thai-cave-rescue-illustrated-look/755782002/

Pada pertengahan tahun 2018, dunia dikejutkan dengan insiden sekumpulan kanak-kanak lelaki yang terperangkap jauh dalam kompleks gua selama lebih dua minggu bersama jurulatih pasukan bola sepak mereka di wilayah Chiang Rai yang terletak di bahagian utara Thailand dan bersempadan dengan Myanmar. Kes ini menjadi fenomena dan mendapat liputan meluas bukan sahaja di negara Thailand sendiri, malah di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Mengimbas kembali kronologi kejadian tersebut, kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 11 hingga 16 tahun berserta jurulatih mereka berusia 25 tahun telah memasuki gua yang dikenali sebagai Tham Luang pada 23 Jun 2018 selepas tamat latihan bola sepak untuk menyambut ulangtahun kelahiran salah seorang ahli pasukan tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua mangsa tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam dan pasukan penyelamat dikerah ke kawasan gua berkenaan berikutan laporan yang dibuat oleh pihak keluarga. Pasukan penyelamat menjumpai basikal dan kasut yang diletakkan berhampiran pintu masuk gua. Pasukan polis kemudiannya menemui kesan tapak tangan dan kaki yang dipercayai milik kanak-kanak berkenaan. Empat hari kemudian, para penyelam dipaksa keluar dari gua kerana air banjir yang deras memenuhi ruang dalam gua dan hal ini sekaligus merencatkan proses mencari dan menyelamat. Misi mencari diteruskan dengan penglibatan pasukan tentera Amerika yang bergabung dengan tiga pakar menyelam British yang mula memasuki gua tersebut. Setelah beberapa kali operasi ditangguhkan dan disambung akibat aliran deras air bah, dengan setiap inci bahagian gua diterokai, serta beratus-ratus tangki udara dan bekalan lain dibawa masuk, tanggal 2 Julai 2018, iaitu selepas sepuluh hari kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang, keajaiban berlaku. Kesemua mangsa bersama jurulatih mereka dijumpai selamat oleh penyelam Britain. Berita tersebut menggembirakan bukan sahaja rakyat Thailand, tetapi juga penduduk dunia yang mengikuti operasi tersebut dari awal. Walau bagaimanapun pihak penyelamat menghadapi tugas getir dan mencabar dalam mengeluarkan kesemua mangsa dengan selamat. Setelah mengambilkira pelbagai faktor, misi menyelamat akhirnya berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap pada 10 Julai 2018, iaitu bermula dengan empat mangsa dikeluarkan masing-masing pada 8 Julai 2018 dan 9 Julai 2018, dan baki lima mangsa pada 10 Julai 2018 dengan jurulatih mereka yang berusia 25 tahun merupakan mangsa terakhir dikeluarkan dari gua berkenaan.

Sumber gambar: https://www.usatoday.com/story/news/2018/07/03/thai-cave-rescue-illustrated-look/755782002/

Bersambung…