Archives for September 2022

Terima Kasih Research Management Centre (RMC) UTM

Salam jumaat semua

Hari ini (30/9/2022) merupakan hari terakhir saya sebagai Timbalan Pengarah RMC UTM. Pertama sekali saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan atasan UTM yang memberi peluang kepada saya untuk menyandang jawatan ini. Sepanjang tiga tahun berkhidmat, pastinya ada kekurangan dan kelemahan dari saya. Saya mohon ampun dan maaf. Halalkan segala apa yang saya termakan, terminum, tergunapakai dan sebagainya sepanjang saya di RMC. Terima kasih saya ucapkan kepada semua warga RMC dan warga UTM atas segala kerjasama dan bantuan yang telah diberikan. InshaAllah pengalaman dan kenangan manis sepanjang tiga tahun ini akan saya ingat sampai bila-bila.

Semasa saya berkhidmat di RMC juga saya mendirikan rumahtangga, memperolehi zuriat iaitu sepasang anak kembar perempuan dan membesarkan mereka sehinggalah kini mereka sudah berusia 14 bulan. Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan RMC yang terdahulu dan sekarang yang memahami keadaan saya untuk menguruskan rawatan anak-anak di HSA dan klinik kesihatan.

Terima kasih sekali lagi warga RMC dan UTM. Semoga UTM yang kita kasihi ini akan terus cemerlang kerana tuhan untuk manusia.

Tuan puteri pergi ke Rasah,

Pulang semula sebelah pagi,

Kita bertemu akhirnya berpisah,

Diizin Tuhan bersua lagi.

De Quervain Tenosynovitis

Saya selepas menjalani pembedahan

Pada 13 September 2022 yang lalu, saya telah menjalani pembedahan kecil untuk mengatasi masalah kesakitan yang dinamakan De Quervain Tenosynovitis! Saya mula mengalami kesakitan pada pergelangan tangan kiri sebelum Raya Haji yang lalu. Disebabkan semakin hari semakin sakit, saya ke Pusat Kesihatan Universiti untuk merungkai apakah punca kesakitan tersebut. Doktor buat X-ray. Alhamdulillah, tiada tulang yang patah atau retak. Sememangnya itu saya jangka kerana saya tidak pernah jatuh, tergelincir atau sebagainya yang boleh menyebabkan kecederaan pada tulang pergelangan tangan saya. Doktor kata kesakitan ini akan pulih dengan sendirinya dengan menyapu ubat sapu yang diberikan. Walau bagaimanapun, kesakitan pergelangan tangan saya tidak juga pulih, malah semakin hari semakin sakit sehingga bisanya terasa sepanjang tangan kiri saya.

Seminggu sebelum pembedahan, saya luangkan masa untuk berjumpa dengan doktor pakar tulang (Ortopedik). Tiada ujian darah atau ujian air kencing. Doktor cuma minta saya buat sedikit ujian pergerakan tangan dan jari untuk sahkan nama kesakitan tersebut. Ya, akhirnya De Quervain Tenosynovitis keluar dari mulut doktor berkenaan. Menurut doktor tersebut, biasanya atlit yang mengalami kesakitan tersebut. Tetapi apabila beliau bertanyakan adakah sesuatu yang berat yang saya selalu angkat secara kerap dan berterusan? Hahaha.. rasa bersalah nak jawab. No No… I love you my daughters. Babah sesekali takkan salahkan kakak dan adik. Beliau mencadangkan dua pilihan. Cadangan pertama yang mungkin ambil sedikit masa untuk pulih dengan kos yang rendah; fisioterapi dan ubat sapu (again?). Dengar sahaja fisioterapi, saya terus fobia. Bukan sebab sakit atau apa, tapi sesi secara berkala menyebabkan saya agak keberatan. Tambahan pula, saya pernah menjalani fisioterapi sebelum ini tapi masa tu rumah saya berdekatan dengan hospital dan saya masih bujang. Tapi cukuplah sekali menjalani fisioterapi yang mengambil masa berbulan-bulan. Cadangan kedua ialah minor surgery. Pembedahan dilakukan untuk mengurangkan tekanan pada tendon yang berjalan di sepanjang sisi pergelangan tangan dekat ibu jari. Pembedahan membuka tisu di bahagian bengkak tendon. Ini membolehkan tendon bergerak bebas tanpa kesakitan.

Doktor kata disebabkan kesakitan saya ini dah lama iaitu lebih dari tiga bulan, mungkin saya boleh fikirkan cadangan kedua ini yang lebih cepat hilangkan kesakitan tetapi kosnya sedikit tinggi. Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju untuk cadangan kedua tetapi meminta pertimbangan untuk mencari tarikh yang sesuai. Banyak komitmen kerja yang telah saya persetujui lebih awal lebih-lebih lagi dengan pelajar master dan Phd yang sanggup datang ke UTM sempena cuti sekolah dan tugasan hakiki sehingga tengahari tadi. Akhirnya saya memilih tarikh 12 September 2022 petang untuk mendaftar masuk wad. Tujuan utama saya memilih cadangan kedua ialah memikirkan tanggungjawab saya sebagai seorang bapa. Saya sentiasa berdoa agar anak-anak saya membesar dengan sihat dan Alhamdulillah sehingga hari ini perkembangan mereka sangat positif. Sangat aktif dan manja. Selaras dengan itu, saya perlu bersedia untuk bersama mereka, mendukung mereka, membawa mereka turun dan naik tangga, basuh poo poo mereka dan sebagainya yang banyak menggunakan tangan. Jadi biarlah babah sakit sementara untuk kebaikan jangka masa yang panjang. InshaAllah

Kenapa Bayi Suka Bau Ibu Sebelum Tidur

Anak-anak babah dengan baju kelawarnya

Rutin babah setiap petang ke malam, sejak mereka sampai rumah dalam pukul 6, babah ambil mereka berdua dari carseat mereka masuk ke dalam rumah. Kalau sempat, babah bawa mereka naik motor pusing keliling taman. Kemudian babah biarkan mereka bermain di mini playground mereka di ruang tamu. Sambil tu, babah panaskan makanan diorang. Selepas makanan dah suam² dan siap sedia untuk dimakan, babah letak mereka di kerusi makan bayi. Babah suap kedua-duanya. Kalau makanan tak cukup, babah kupas buah-buahan seperti kiwi dan plum. Bagi mereka makan sampai mereka kenyang. Kemudian, babah dukung mereka berdua mendaki tangga ke bilik atas. Layan mereka mandi dalam besin sampai mereka puas dan menangis-nangis taknak keluar bilik air. Lepas tu pakaikan pampers dan baju tidur. Kadang-kadang belum sempat pakaikan pampers, terbuang air kecil pula. Banjir kat lantai. Babah kena lap sebelum ibu bising. Kemudian babah pasang Didi & Friends. Babah solat maghrib depan mereka sebab nak mereka belajar solat. Mereka main-main atas sejadah sampai babah baca seberapa banyak surah pendek yang babah hafal sampai mereka beredar untuk babah sujud. Masa babah duduk antara dua sujud mereka duduk pula kat paha babah. Selepas solat, babah panaskan susu ibu yang disimpan dalam peti ais. Kemudian bagi mereka pegang sendiri botol susu tapi biasanya nak manja dengan babah suruh babah pegang botol susu untuk mereka. Sebelum isyak, kena main dengan mereka. Main pondok-pondok, main doktor-doktor ataupun main cak-cak belakang langsir. Kadang-kadang babah bacakan buku cerita dengan penuh ekspresi. Lepas dah puas main, terpoo-poo pulak. Babah kena cebokkan mereka. Sebelum solat isyak, kalau mereka lapar, babah bagi mereka snek. Sekarang ni mereka selesema. Babah kena bergelut dengan mereka untuk sedut lendir dalam hidung mereka sebelum tidur supaya mereka tidur lena sepanjang malam. Sebelum tidur juga, disebabkan masing² dah ada 6 batang gigi, babah kena gosokkan gigi mereka.
TAPI….. kenapa masa nak tidur, taknak dengan babah. Ibu juga yang mereka cari. Dengan babah taknak langsung. Babah rasa tipah tertipu. Okaylah babah is merajuk.


P/S: babah gurau je. Apa² pun itulah pengorbanan ibu dan babah. Babah dah tak boleh jogging seperti masa bujang dulu. Tapi inshaAllah babah akan cari masa untuk bersenam. Rutin babah dari petang ke malam tu setakat ni tak memberi kesan sangat terhadap berat badan dan perut babah. Kalau nak tahu kenapa bayi suka bau ibu sebelum tidur, boleh baca di pautan berikut: https://www.majalahpama.my/tak-lena-tidur-kena-ada-bau-mama-sebab-itulah-banyak-baby-suka-mengempeng/

[Bahagian 3] Meneroka Kota Istimewa Jogjakarta, Indonesia

Sambungan dari: https://people.utm.my/halim/bahagian-2-meneroka-kota-istimewa-jogjakarta-indonesia/

Penulis di Candi Prambanan

Candi Prambanan dikatakan antara salah sebuah kompleks candi yang tercantik di dunia. Prambanan adalah sebuah kompleks candi Hindu abad ke-9 di Daerah Istimewa Jogjakarta, Indonesia, yang didedikasikan untuk Trimurti, iaitu ekspresi Tuhan sebagai Pencipta (Brahma), Penyelamat (Vishnu) dan Pengubah (Shiva). Kompleks candi ini terletak kira-kira 17 kilometer timur laut kota Jogjakarta di sempadan antara Provinsi Jawa Tengah dan JogJakarta. Kompleks candi yang juga merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO, adalah tapak kuil Hindu terbesar di Indonesia dan yang kedua terbesar di Asia Tenggara. Walau bagaimanapun, disebabkan faktor masa yang sudah petang dengan harga tiket untuk pelawat antarabangsa yang agak mahal, penulis mengambil keputusan tidak memasuki kawasan kompleks tersebut. Sebaliknya, penulis hanya bergambar di kawasan luar kompleks sebagai kenang-kenangan. Penulis kemudiannya menyambung perjalanan ke satu tempat yang sering menjadi tumpuan pelancong asing dan tempatan di Jogjakarta iaitu Tebing Breksi yang dirasmikan pada 30 Mei 2015. Ia terletak di Kecamatan Prambanan, Kabupaten Sleman, Daerah Istimewa Jogjakarta. Lokasi ini berasal dari bekas tapak perlombongan. Berdasarkan kajian, Tebing Breksi adalah endapan abu gunung berapi dari Gunung Berapi Kidul. Tempat ini asalnya merupakan tapak perlombongan yang merupakan sumber pendapatan penduduk setempat. Walau bagaimanapun, kini ia menjadi tempat pelancongan dan dikunjungi oleh pelancong tempatan dan asing. Walaupun ia merupakan bekas kuari, ia telah menjadi salah satu tarikan pelancong di Jogjakarta terutamanya kerana terdapat pelbagai ukiran di setiap dinding tebing yang dilakukan oleh seniman arca dari seluruh Jogja dan sekitarnya. Jika pengunjung berada di puncak Tebing Breksi Sleman, terdapat banyak pemandangan lain kota Jogjakarta yang dapat dilihat. Beberapa pemandangan yang dapat dilihat termasuk Candi Barong, Kota Jogjakarta, Gunung Merapi, Candi Prambanan dan Kuil Sojiwan. Tempat ini telah dirasmikan sebagai salah satu prasasti yang merupakan salah satu lokasi warisan budaya di kota Jogjakarta. Kebiasaannya para pelancong mengambil masa untuk berhenti di sini kerana lokasinya yang berdekatan dengan Candi Ijo. Untuk sampai ke ini, pengunjung akan mengikut arah ke Candi Prambanan terlebih dahulu. Jarak dari Candi Prambanan ke Tebing Breksi hanya lebih kurang tiga kilometer.

Bersambung…