Archives for August 2022

Saya, Penyelidik Yang Tersepit

Office saya di rumah

Usai waktu bekerja petang tadi, saya ke sebuah pasaraya untuk membeli barang dapur dan keperluan anak-anak. Setelah mengambil barang-barang yang diperlukan, saya beratur di kaunter ekspress sebab takdalah banyak sangat barang yang saya beli yang dimasukkan ke dalam troli. Walaupun tak banyak barang sangat, jumlah semua barang yang dibeli mencecah ratusan ringgit juga. Mungkin harga barang sekarang semakin hari semakin meningkat. Mungkin juga silap saya yang main ambil sahaja barang tanpa lihat harga terlebih dahulu. Biasalah bapa kan, hendak yang terbaik untuk anak-anak. Setelah melihat resit, baru saya tahu, buah prune satu pek yang ada 4 biji harganya RM25. Saya ambil dua pek.Malam ini saya sambung menulis artikel jurnal. Memang malam hujung minggu biasanya saya luangkan untuk menulis iaitu satu perkara yang saya minat. Sebelum itu, saya pergi ke laman web sebuah jurnal yang saya bercadang untuk menghantar artikel yang ditulis ke situ. Termenung seketika di hadapan skrin laptop melihat harga pemprosesan penerbitan artikel. Lalu saya pergi ke laman web jurnal lain. Alamak, lagi mahal. Dalam hati, lebih baik bawa anak-anak pergi bercuti ke Langkawi naik kapal terbang. Yurannya boleh beli motosikal baru. Tak perlu saya susah payah ambil motor pak mertua dari Benut ke Pulai Perdana tempoh hari. Ada yang kata kenapa tak hantar artikel ke jurnal yang tidak berbayar? Baiklah, mari kita lihat kebaikan dan kelemahan menerbitkan artikel dalam jurnal berbayar dan tidak berbayar.

Kebaikan jurnal berbayar

1. Proses penilaian yang cepat dan seterusnya penulisan kita dapat dikongsi dan diterbitkan dengan kadar segera.

2. Akses terbuka. Ini bermaksud pembaca tidak perlu membayar untuk mendapatkan artikel tersebut. Jadi kebarangkalian artikel kita untuk disitasi (cited) amat tinggi dan cepat meningkatkan bilangan sitasi seseorang penyelidik dan institusi berkenaan. Ini seterusnya dapat meningkatkan kedudukan universiti dalam ranking dunia kerana salah satu indikator yang diambilkira ialah sitasi per fakulti. Itu belum kira lagi untuk audit Myra (universiti penyelidikan), penilaian tahunan dan kenaikan pangkat.

3. Hasil kajian tidak outdated untuk dikongsikan dengan ahli akademik yang lain. Berbanding artikel jurnal tidak berbayar yang mengambil masa bertahun-tahun untuk diterbitkan, hasil dapatan kajian kita mungkin tidak lagi relevan ketika artikel diterbitkan.

Kelemahan jurnal berbayar

1. Yuran penerbitan yang sangat mahal. Ini adalah kelemahan utama. Kalau dapat geran penyelidikan beratus-ratus ribu dan dibenarkan untuk menerbitkan artikel dalam jurnal berbayar tanpa had, mungkin tiada masalah. Tapi bagi penyelidik yang tiada geran penyelidikan atau jumlah geran yang terhad, hal ini akan menjadi masalah kepada mereka.

2. Kualiti dipertikaikan. Model akses terbuka memberi insentif kepada jurnal untuk menerbitkan lebih banyak artikel. Jurnal perlu menampung kos dan apabila sebahagian besar hasil mereka datang daripada yuran penerbitan, mereka mungkin digalakkan untuk menerbitkan lebih banyak artikel, dengan kesan negatif terhadap kualiti keseluruhan. Jadi kualiti artikel yang diterbitkan diragui.

3. Apabila terdapat ramai penulis dalam artikel jurnal tersebut, maka adalah pihak yang menuduh terdapat “penunggang gratis” tanpa usul periksa terlebih dahulu. Untuk menghasilkan artikel yang hebat dan berkualiti bukanlah perkara yang mudah. Ia melibatkan kerjasama pelbagai penyelidik dengan pelbagai kepakaran. Bersangka baik. Apabila seseorang penyelidik tahu yuran penerbitan jurnal tinggi, pasti mereka perlukan bantuan bukan sahaja dari segi kewangan malah kepakaran dalam menerbitkan sesebuah artikel.

Kebaikan jurnal tidak berbayar

1. Apabila kita menerbitkan jurnal tidak berbayar, kita dikatakan penulis hebat kerana dapat melepasi syarat dan harapan ketat yang dikenakan. Malah saya difahamkan top 1% jurnal di dunia ini kebanyakannya tidak berbayar. Tapi bukan mudah untuk artikel kita diterima.

2. Penyelidik tidak dikenakan sebarang yuran untuk penerbitan.

Kekurangan jurnal tidak berbayar

1. Mengambil masa yang lama untuk artikel kita diterima dan diterbitkan. Untuk sesebuah artikel itu diterbitkan, ianya perlu melalui beberapa proses. Proses penilaian oleh pakar memakan masa yang lama. Boleh mengambil masa berbulan-bulan malah bertahun. Untung kalau diterima, kalau ditolak selepas setahun menunggu, bagaimana?. Kalau diterima, kita perlu bersabar pula untuk menunggu giliran artikel tersebut untuk diterbitkan.

2. Dikhuatiri hasil dapatan kajian kita yang dikongsikan dalam artikel tersebut tidak lagi relevan ketika ia diterbitkan disebabkan proses yang panjang.

3. Pembaca perlu membayar untuk mendapatkan artikel tersebut. Itulah sumber pendapatan penerbit tersebut iaitu melalui langganan pembaca terhadap sesebuah artikel. Jadi visibility (keternampakan) hasil penyelidikan yang diterbitkan dalam artikel tersebut terhad dan memberi kesan kepada sitasi (citation).

Pendirian saya?

Saya tidak menyebelahi kedua-dua jenis jurnal. Sekiranya saya mempunyai geran penyelidikan dan mempunyai bajet yang mencukupi, saya lebih cenderung untuk menerbitkan artikel di jurnal berbayar. Tapi saya akan lebih selective. Contohnya, saya akan kaji jurnal berkenaan, kualiti artikel-artikel yang pernah diterbitkan dan laporan Journal Citation Report (JCR). Menerbitkan artikel di Akses Terbuka tidak bermaksud artikel kita tidak direview, artikel kita tidak berimpak atau kita menerbitkan artikel dalam jurnal predatory. Malah banyak jurnal berbayar pada masa kini dikategorikan dalam Q1 dan Q2 berdasarkan JCR. Kalau saya tiada bajet tetapi masih menaruh harapan untuk artikel diterbitkan segera kerana dikhuatiri hasil penyelidikan dikatakan outdated, saya akan berbincang dengan rakan-rakan untuk sama-sama menyumbang kepada penghasilan sesebuah artikel yang berkualiti. Sebaliknya, sekiranya saya tiada bajet dan jumlah geran penyelidikan yang terhad, saya akan memilih untuk menghantar ke jurnal-jurnal yang tidak berbayar. Walau bagaimanapun, saya perlu bersabar dengan sebarang keputusan kerana sebagai penyelidik, kita tidak dibenarkan sama sekali menghantar satu artikel ke banyak jurnal pada masa yang sama. Cuma dikhuatiri, kita masih pakai kereta Perodua, tetapi orang lain dah pakai kereta Ferrari. Ini memberi kesan kepada banyak perkara dan pelbagai pihak. Walau apa pun, itulah realitinya kehidupan sebagai seorang penyelidik.

PELUANG MENDAFTAR SEBAGAI PELAJAR PHD (PENDIDIKAN MATEMATIK)

PELUANG MENDAFTAR SEBAGAI PELAJAR PHD (PENDIDIKAN MATEMATIK)

Saya sedang mencari calon berpotensi untuk menjadi pelajar PhD di bawah penyeliaan saya secara sepenuh masa (full time) dalam bidang Pendidikan Matematik di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru.

-Projek ini merupakan projek di bawah geran penyelidikan FRGS untuk 3 tahun bermula September 2022 sehingga Ogos 2025

-Tajuk projek: KERANGKA KURIKULUM MATEMATIK BERASASKAN STEM DARI PERSPEKTIF SOSIO BUDAYA MURID ORANG ASLI SEKOLAH RENDAH DI MALAYSIA

-Lokasi: UTM Johor Bahru

-Syarat calon

1. Warganegara Malaysia

2. Mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana Muda dengan PNGK>3.00 dan Ijazah Sarjana dengan PNGK>3.00 dalam bidang pendidikan/pendidikan matematik/bidang berkaitan

3. Perlu mendaftar di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM bagi peringkat pengajian Doktor Falsafah secara sepenuh masa

4. Mempunyai minat yang mendalam dalam bidang pendidikan matematik

5. Mempunyai minat yang mendalam dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang pendidikan matematik

6. Tidak terikat dengan mana-mana pekerjaan lain

7. Boleh bekerja secara independent

8. Boleh travel ke pelbagai destinasi terutama untuk temubual pakar di Jabatan Kemajuan Orang Asli, pakar di Pusat STEM Negara, guru di sekolah Orang Asli dan komuniti perkampungan Orang Asli (kos perjalanan ditanggung)

9. Perlu komited dan bersungguh-sungguh untuk menamatkan pengajian dalam tempoh tiga tahun

-Calon yang berjaya akan diberi elaun bulanan sebanyak RM2500 sebulan selama tiga tahunKepada calon yang berminat mohon emelkan CV yang lengkap ke:

p-halim@utm.my

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Bin Abdullah

Sekolah Pendidikan,Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

[Bahagian 2] Meneroka Kota Istimewa Jogjakarta, Indonesia

Sambungan dari: https://people.utm.my/halim/bahagian-1-meneroka-kota-istimewa-jogjakarta-indonesia/

Penulis di Hutan Rekreasi Kalibiru

Pada hari kedua, penulis berkunjung ke Hutan Rekreasi Kalibiru. Ia merupakan kawasan hutan simpan yang terletak betul-betul di atas bukit-bukit di Kulon Progo, Jogjakarta. Ia dikelilingi oleh hutan Progo yang indah dan menghijau. Struktur tanahnya beralun dan terletak 450 meter di atas paras laut. Kawasan hutan simpan ini dikendalikan oleh penduduk kampung, di mana beberapa kawasan digunakan sebagai tempat pelancongan, yang bertujuan untuk memelihara kawasan hutan dan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan penduduk kampung di situ. Keindahan alam Kalibiru di Jogjakarta hanya diperoleh apabila pengunjung berada di tempat yang lebih tinggi dan berhampiran lereng bukit. Sehubungan itu, apabila berkunjung ke Kalibiru, menjadi kemestian kepada pengunjung untuk memanjat ke dek pemandangan di atas pokok yang disediakan. Dek ini merupakan tarikan utama kepada pengunjung. Dek ini memberikan pandangan semulajadi dari ketinggian yang menakjubkan. Kecantikan semulajadi lebih terserlah di kawasan berkenaan pada waktu matahari terbit dan matahari terbenam. Di samping itu, pengunjung boleh mengambil gambar dengan gaya tersendiri di atas ketinggian dengan latar belakang alam semulajadi menggunakan khidmat jurugambar professional di situ. Pengunjung perlu membayar Rp 10,000 untuk mengambil setiap gambar yang telah diambil. Walau bagaimanapun, pengunjung boleh melihat terlebih dahulu gambar-gambar yang diambil sebelum membuat keputusan untuk membeli gambar-gambar yang menjadi pilihan. Berdasarkan pengalaman penulis, kebanyakan atau hampir semua gambar yang diambil amat cantik dan menarik sehingga sukar untuk penulis membuat keputusan untuk memilih gambar yang terbaik. Akhirnya, penulis membeli semua gambar yang telah diambil. Selain itu, tempat pelancongan ini mempunyai kemudahan yang cukup lengkap kerana ia diurus dengan baik oleh penduduk setempat. Terdapat juga banyak gerai makanan sebagai tempat untuk mengisi perut sebelum atau selepas menikmati keindahan kawasan Kalibiru. Selepas hampir tiga meluangkan masa di Kalibiru, penulis meneruskan perjalanan ke kompleks Candi Prambanan. Perjalanan dari Kalibiru ke kompleks tersebut mengambil masa hampir dua jam.

Bersambung…