De Quervain Tenosynovitis

Saya selepas menjalani pembedahan

Pada 13 September 2022 yang lalu, saya telah menjalani pembedahan kecil untuk mengatasi masalah kesakitan yang dinamakan De Quervain Tenosynovitis! Saya mula mengalami kesakitan pada pergelangan tangan kiri sebelum Raya Haji yang lalu. Disebabkan semakin hari semakin sakit, saya ke Pusat Kesihatan Universiti untuk merungkai apakah punca kesakitan tersebut. Doktor buat X-ray. Alhamdulillah, tiada tulang yang patah atau retak. Sememangnya itu saya jangka kerana saya tidak pernah jatuh, tergelincir atau sebagainya yang boleh menyebabkan kecederaan pada tulang pergelangan tangan saya. Doktor kata kesakitan ini akan pulih dengan sendirinya dengan menyapu ubat sapu yang diberikan. Walau bagaimanapun, kesakitan pergelangan tangan saya tidak juga pulih, malah semakin hari semakin sakit sehingga bisanya terasa sepanjang tangan kiri saya.

Seminggu sebelum pembedahan, saya luangkan masa untuk berjumpa dengan doktor pakar tulang (Ortopedik). Tiada ujian darah atau ujian air kencing. Doktor cuma minta saya buat sedikit ujian pergerakan tangan dan jari untuk sahkan nama kesakitan tersebut. Ya, akhirnya De Quervain Tenosynovitis keluar dari mulut doktor berkenaan. Menurut doktor tersebut, biasanya atlit yang mengalami kesakitan tersebut. Tetapi apabila beliau bertanyakan adakah sesuatu yang berat yang saya selalu angkat secara kerap dan berterusan? Hahaha.. rasa bersalah nak jawab. No No… I love you my daughters. Babah sesekali takkan salahkan kakak dan adik. Beliau mencadangkan dua pilihan. Cadangan pertama yang mungkin ambil sedikit masa untuk pulih dengan kos yang rendah; fisioterapi dan ubat sapu (again?). Dengar sahaja fisioterapi, saya terus fobia. Bukan sebab sakit atau apa, tapi sesi secara berkala menyebabkan saya agak keberatan. Tambahan pula, saya pernah menjalani fisioterapi sebelum ini tapi masa tu rumah saya berdekatan dengan hospital dan saya masih bujang. Tapi cukuplah sekali menjalani fisioterapi yang mengambil masa berbulan-bulan. Cadangan kedua ialah minor surgery. Pembedahan dilakukan untuk mengurangkan tekanan pada tendon yang berjalan di sepanjang sisi pergelangan tangan dekat ibu jari. Pembedahan membuka tisu di bahagian bengkak tendon. Ini membolehkan tendon bergerak bebas tanpa kesakitan.

Doktor kata disebabkan kesakitan saya ini dah lama iaitu lebih dari tiga bulan, mungkin saya boleh fikirkan cadangan kedua ini yang lebih cepat hilangkan kesakitan tetapi kosnya sedikit tinggi. Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju untuk cadangan kedua tetapi meminta pertimbangan untuk mencari tarikh yang sesuai. Banyak komitmen kerja yang telah saya persetujui lebih awal lebih-lebih lagi dengan pelajar master dan Phd yang sanggup datang ke UTM sempena cuti sekolah dan tugasan hakiki sehingga tengahari tadi. Akhirnya saya memilih tarikh 12 September 2022 petang untuk mendaftar masuk wad. Tujuan utama saya memilih cadangan kedua ialah memikirkan tanggungjawab saya sebagai seorang bapa. Saya sentiasa berdoa agar anak-anak saya membesar dengan sihat dan Alhamdulillah sehingga hari ini perkembangan mereka sangat positif. Sangat aktif dan manja. Selaras dengan itu, saya perlu bersedia untuk bersama mereka, mendukung mereka, membawa mereka turun dan naik tangga, basuh poo poo mereka dan sebagainya yang banyak menggunakan tangan. Jadi biarlah babah sakit sementara untuk kebaikan jangka masa yang panjang. InshaAllah