Archives for February 15, 2023

[Bahagian 4] Meneroka Kota Istimewa Jogjakarta, Indonesia

Sambungan dari: https://people.utm.my/halim/bahagian-3-meneroka-kota-istimewa-jogjakarta-indonesia/

Pada keesokan harinya, penulis berkunjung ke Borobudur yang merupakan kuil Buddha Mahayana abad ke-9 yang terletak di Daerah Magelang, tidak jauh dari kota Jogjakarta. Perjalanan dari tempat penginapan penulis ke candi Borobudur mengambil masa lebih kurang satu jam. Sebaik sahaja penulis keluar dari bas, ramai penjual jalanan berkerumun ke arah pengunjung membuatkan penulis rasa kurang selesa dengan keadaan tersebut. Walau bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam kompleks candi berkenaan. Nama Borobudur diambil dari bahasa Sanskrit iaitu ‘bara’ yang bermaksud ‘kompleks kuil’ atau biara dan kata ‘budur’ berasal dari kata ‘beduhur’ yang bermaksud ‘di atas’. Jadi maksud Borobudur adalah kuil yang berada di atas bukit. Candi Borobudur dibina sekitar 750 masihi oleh kerajaan Syailendra yang diasaskan oleh Raja Mataram dengan Samaratungga yang pada waktu itu adalah seorang Buddha. Ia adalah kuil Buddha terbesar di dunia. Candi ini terdiri daripada sembilan platform yang disusun, iaitu enam berbentuk segi empat sama dan tiga berbentuk bulatan, dengan kubah tengah di atasnya. Ia dihiasi dengan 2,672 panel dan 504 patung Buddha. Candi Borobudur mempunyai 72 stupa berbentuk loceng, stupa terbesar terletak di bahagian atas kuil sementara yang lain mengelilingi stupa ke bawah. Reka bentuk candi mengikuti senibina Buddha Jawa, yang menggabungkan budaya asli Indonesia terhadap penyembahan nenek moyang dan konsep Buddha untuk mencapai Nirvana. Kuil ini dibina dengan gaya Mandala yang mencerminkan alam semesta dalam kepercayaan Buddha itu sendiri. Jika Candi Borobudur dilihat dari luar ke dalamnya, ia dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu di luar terdapat dunia semulajadi yang dibahagikan kepada tiga zon dan di tengahnya terdapat sebuah alam Nirvana. Di zon pertama ialah Kamadhatu, yang bermaksud dunia semulajadi yang dilihat dan sedang dialami oleh manusia sekarang. Di zon kedua ialah Rupadhatu, yang bermaksud sifat peralihan, di mana manusia telah dibebaskan dari urusan dunia. Untuk zon ketiga adalah Arupadhatu yang bermaksud alam tertinggi, rumah Tuhan. Borobudur adalah kuil Buddha terbesar di dunia, dan seangkatan dengan Bagan di Myanmar dan Angkor Wat di Kemboja sebagai salah satu tapak arkeologi yang besar di Asia Tenggara. Borobudur popular dalam kalangan para Buddha di Indonesia merayakan Hari Wesak di monumen tersebut. Borobudur juga merupakan tarikan pelancong yang paling banyak dikunjungi di Indonesia. Penulis mengambil masa lebih kurang dua jam menikmati keindahan seni bina candi tersebut.

Penulis di Candi Borobudur

Bersambung…