Archives for February 5, 2023

Don’t Suudzon, Let’s Husnuzon!

Pesanan buat kakak dan adik:


Anak orang tengok TV,
Anak kita tak tengok TV,
Jangan sesekali cakap,
Eh, kenapa anak dia tengok TV,
TV tak bagus untuk anak-anak,
Kita mungkin beranggapan,
TV tak bagus untuk anak kita,
Tapi mungkin bagus untuk anak mereka.

Anak kita makan nasi dan sayur,
Anak orang makan burger,
Jangan sesekali cakap,
Eh, kenapa anak dia makan makanan tak berkhasiat,
Bukan ke makan sayur lagi sihat,
Kita tak tahu dari awal cerita,
Jadi jangan mudah jatuhkan hukum,
Mungkin itulah kali pertama anak orang itu makan burger.

Anak kita tak main ipad,
Anak orang khusyuk di depan ipad,
Jangan sesekali katakan,
Bukan ke ipad beri kesan negatif,
Kita beranggapan anak kita bagus tak main ipad,
Mungkin anak orang belajar sambil bermain guna ipad.

Tengok anak orang merayau malam-malam,
Anak kita mengulangkaji pelajaran,
Jangan sesekali cakap,
Eh, mak ayah dia tak kawal anak mereka ke,
Kita tak tahu kesusahan mereka,
Mungkin mereka anak orang susah,
Yang baru selesai menjual bungkusan kacang kuda.

Anak orang melancong ke luar negara,
Anak kita duduk di rumah sahaja,
Gembiralah untuk mereka,
Semoga rezeki kita juga akan ada.

Kisah rumah tangga artis menjadi sensasi,
Dijaja berita sana dan sini,
Ada orang pertahankan hak isteri,
Ada juga yang pertahankan hak suami,
Caci-mencaci bertubi-tubi,
Kita menghakimi membuta tuli,
Fitnah ditaburi tanpa bukti,
Alangkah baiknya kita berdiam diri,
Biar yang arif membuat konklusi.

Jangan suudzon kepada semua hambaNya,
Jangan menghukum pada zahirnya,
Jauhi perasaan curiga,
Jangan buat hati orang terluka,
Kalau ianya benar sekalipun,
Kita tak dapat pahala,
Sebaliknya kalau salah,
Kita yang menanggung dosa.

Janganlah anggap diri cukup bagus,
Semuanya kita betul seratus peratus,
Kelak rezeki terputus,
Semuanya jadi tidak terurus.

Cara kita dan cara orang lain berbeza,
Baik pada kita mungkin tak baik untuk mereka,
Berkesan pada mereka mungkin tak berkesan pada kita,
Hidup kita dan hidup orang lain perjalanannya tak sama,
Kita hanya tahu dari segi luaran,
Kita hanya tahu permukaan,
Kita tak tahu apa yang ada di dasar lautan,
Jadi jangan mudah menghakimi,
Dari apa yang kita perhati,
Jangan saling mendengki,
Jangan saling membenci,
Sebaliknya berusaha perbaiki diri,
Husnuzon dan bersihkan hati.

Ikhlas,
Babah