Further info, kindly visit https://icstem.upsi.edu.my/
Archives for July 2023
Happy 2nd Birthday to Our Little Princesses
Duhai puteri-puteri babah,
Dua tahun yang lalu, dikau hadir ke dunia,
Satu anugerah, yang nilainya tidak terperi,
Senyummu manis, mengusir duka ketika lara,
Penyejuk hati, kasih sayang padamu yang abadi.
Dengan kecil tapak kaki yang meninggalkan jejak,
Teruslah menyusuri dunia dengan semangat membara,
Sentuhan lembut, kasih babah ibu akan terus tersemat,
Mengiringi langkahmu, tiada kenal jemu.
Dalam dakapan kasih, babah hadiahkan doa,
Cemerlang dan bijak, membesar semoga,
Teruslah berseri, dalam setiap usaha,
Selamat hari lahir, duhai puteri-puteri babah ibu yang tercinta.
Babah
I am Indeed a Proud Supervisor
Senarai Jurnal Q1 dan Q2 (Web of Science) Dalam Bidang Pendidikan
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengumumkan larangan penggunaan dana kerajaan untuk menerbitkan artikel dalam jurnal-jurnal terbitan penerbit berikut:
1. Hindawi
2. Frontier
3. MDPI
Pekeliling adalah seperti berikut:
Sehubungan itu, saya sertakan di sini senarai jurnal Q1 dan Q2 Web of Science (WOS) dalam bidang Pendidikan untuk rujukan bersama.
http://people.utm.my/halim/wp-content/uploads/sites/748/2023/07/Q1-Q4-Web-of-Science.pdf
Semoga bermanfaat.
Terima kasih
[FAKTA 3] Tujuh Fakta Menarik Daripada Kajian TIMSS 2019 Subjek Matematik Dalam Kalangan Murid Gred 8 (Tingkatan Dua) Malaysia
Fakta Ketiga
Untuk komponen ketiga iaitu ‘Murid Menghargai Matematik’, murid diminta menjawab item berikut; (1) Saya berpendapat belajar matematik dapat membantu dalam kehidupan seharian, (2) Saya perlukan Matematik untuk belajar mata pelajaran lain, (3) Saya perlu berjaya dalam matematik untuk memasuki ke universiti pilihan saya, (4) Saya perlu berjaya dalam matematik untuk mendapatkan pekerjaan yang diinginkan, (5) Saya inginkan pekerjaan yang melibatkan penggunaan matematik, (6) Penting belajar matematik untuk maju, (7) Matematik memberikan lebih peluang pekerjaan kepada saya apabila dewasa, (8) ibu bapa saya berpandangan bahawa adalah penting untuk berjaya dalam matematik; dan (9) adalah penting untuk berjaya dalam matematik. TIMSS mengkategorikan dapatan kepada tiga iaitu ‘sangat menghargai matematik’, ‘menghargai matematik’, dan ‘tidak menghargai matematik’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan ‘sangat menghargai matematik’ yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 3.0 berikut menunjukkan dapatan lima buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘murid menghargai matematik’. Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang ‘sangat menghargai matematik’ mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi daripada murid yang ‘tidak menghargai matematik. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Menariknya, dari segi kedudukan, Malaysia berada di atas negara-negara seperti Chinese Taipei, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong yang menghuni empat tangga tercorot. Namun, murid negara-negara tersebut yang berada dalam kelompok ‘tidak menghargai matematik’ memperolehi purata skor jauh mengatasi purata skor murid Malaysia yang berada dalam kelompok ‘sangat menghargai matematik’.
Bersambung…
27 Jun 2023 Dalam Kenangan
Hari yang sangat panjang
Malam semalam saya langsung tidak terlelap walaupun sesaat,
Ayah nak pegang erat jari saya, saya turuti
Ayah minta saya lap mukanya, saya turuti
Ayah hendak minum air, saya turuti
Namun, ayah hendak mandi, saya terpaksa akur, mustahil untuk dibawa ke tandas dengan wayar yang berselirat.
Malam tadi, saya sengaja ingin berdua bersama ayah,
Ketika di rumah, ayah lebih selesa dengan anaknya,
Kalau saya nak tolong, ayah kata biar Farha yang buat,
Tapi apabila saya keluar bekerja, ayah kerap bertanya kepada isteri, di mana Halim.
Terkadang sedikit terasa, tidak sudikah ayah kalau saya bantu,
Namun, akhirnya isteri bersuara, katanya ayah segan,
Dia hanya pesara kerajaan gred bawahan di Jabatan Pengairan dan Saliran,
Sedangkan menantunya kononnya memegang jawatan di agensi awam,
Allahu, ayah..saya ini hanya anak, darjat seorang ayah itu tetap berada di tahap tertinggi sampai bila-bila, di dunia mahupun di akhirat..
Malam tadi, saya rasa puas bersama ayah,
Sengaja saya minta isteri menjaga anak-anak di rumah,
Namun, siangnya saya bertukar giliran dengan isteri untuk menjaga ayah,
Hinggalah jam 1 tengahari isteri maklumkan ayah sudah pergi buat selama-lamanya.
Menjadi satu-satunya menantu tunggal untuk ayah banyak mengajar saya bahawa perkahwinan itu bukan hanya hubungan anak dengan anak,
Namun lebih dari itu,
Perkahwinan mengajar erti pengorbanan, tanggungjawab sebagai anak dan menantu, malah pengetahuan lain yang lebih dari itu.
Terima kasih ayah atas pengajaran itu.
Hari ini ayah menghembuskan nafas terakhir,
Muka ayah tenang,
Urusan yang sangat lancar, sangat dipermudahkan,
Dari dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan akhirnya disemadikan,
Tenanglah ayah di alam sana,
Sebagai menantu, sebagaimana almarhumah ibu mentua, nama ayah akan saya titipkan dalam doa-doa saya selepas ini.
Selamat jalan ayah ke negeri abadi.
Al-Fatihah buat ayah mentuaku,
Bachok bin Khakjai
1950 – 2023
Buat rakan-rakan yang menitipkan ucapan dan doa, terima kasih saya ucapkan. Tidak terbalas satu per satu mesej yang dihantar. Allah jua yang membalas niat ikhlas kalian.