Archives for July 11, 2023

[FAKTA 3] Tujuh Fakta Menarik Daripada Kajian TIMSS 2019 Subjek Matematik Dalam Kalangan Murid Gred 8 (Tingkatan Dua) Malaysia

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/fakta-2-tujuh-fakta-menarik-daripada-kajian-timss-2019-subjek-matematik-dalam-kalangan-murid-gred-8-tingkatan-dua-malaysia/

Fakta Ketiga

Untuk komponen ketiga iaitu ‘Murid Menghargai Matematik’, murid diminta menjawab item berikut; (1) Saya berpendapat belajar matematik dapat membantu dalam kehidupan seharian, (2) Saya perlukan Matematik untuk belajar mata pelajaran lain, (3) Saya perlu berjaya dalam matematik untuk memasuki ke universiti pilihan saya, (4) Saya perlu berjaya dalam matematik untuk mendapatkan pekerjaan yang diinginkan, (5) Saya inginkan pekerjaan yang melibatkan penggunaan matematik, (6) Penting belajar matematik untuk maju, (7) Matematik memberikan lebih peluang pekerjaan kepada saya apabila dewasa, (8) ibu bapa saya berpandangan bahawa adalah penting untuk berjaya dalam matematik; dan (9) adalah penting untuk berjaya dalam matematik. TIMSS mengkategorikan dapatan kepada tiga iaitu ‘sangat menghargai matematik’, ‘menghargai matematik’, dan ‘tidak menghargai matematik’. Laporan TIMSS menyusun ranking negara berdasarkan dari peratusan ‘sangat menghargai matematik’ yang paling tinggi kepada yang paling rendah. Jadual 3.0 berikut menunjukkan dapatan lima buah negara terpilih termasuk Malaysia untuk komponen ‘murid menghargai matematik’. Dapatan TIMSS 2019 menunjukkan bahawa murid yang ‘sangat menghargai matematik’ mencatatkan pencapaian yang lebih tinggi daripada murid yang ‘tidak menghargai matematik. Pola ini adalah sama di semua negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia. Menariknya, dari segi kedudukan, Malaysia berada di atas negara-negara seperti Chinese Taipei, Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong yang menghuni empat tangga tercorot. Namun, murid negara-negara tersebut yang berada dalam kelompok ‘tidak menghargai matematik’ memperolehi purata skor jauh mengatasi purata skor murid Malaysia yang berada dalam kelompok ‘sangat menghargai matematik’.

Bersambung…