Archives for November 8, 2026

Tiga Pentas, Seribu Makna

Ada ketikanya, perjalanan sebagai seorang pendidik membawa kita ke pentas untuk menerima penghargaan. Ada ketikanya pula, kita berdiri di pentas yang sama dengan penuh harapan, namun pulang tanpa membawa kemenangan yang diimpikan. Kedua-duanya mempunyai makna tersendiri. Kedua-duanya mengajar saya tentang erti kesyukuran, kesabaran dan keikhlasan

Penghujung Oktober hingga awal November 2026 memberikan saya pengalaman yang cukup bermakna. Dalam tempoh yang singkat, saya melalui tiga peristiwa penting, iaitu New Academia Learning Innovation (NALI) 2026, Majlis Kecemerlangan Akademia UTM 2026 dan Global Educator Award (GEA) 2026. Ketiga-tiganya meninggalkan kenangan yang berbeza, namun berkongsi satu pengajaran yang sama tentang makna sebenar kejayaan dalam dunia pendidikan. Perjalanan ini bermula dengan NALI 2026. Alhamdulillah, saya menerima Anugerah NALI 2026 menerusi projek bertajuk “Menulis dengan Integriti dan Teliti: AI Minimum, Data Sebenar Maksimum”. Penghargaan ini amat bermakna kerana projek tersebut lahir daripada amalan pentaksiran yang saya laksanakan dalam pengajaran, khususnya usaha membimbing pelajar menggunakan kecerdasan buatan secara beretika, berfikir secara kritis dan mengutamakan penggunaan data sebenar dalam penulisan akademik.

Namun, perkara yang lebih menggembirakan saya sepanjang NALI 2026 ialah peluang menyaksikan pelajar sarjana dan PhD di bawah seliaan saya turut mengetengahkan hasil penyelidikan masing-masing. Saya berkesempatan mengunjungi reruai pameran mereka, melihat hasil kerja yang dipersembahkan dan berkongsi kegembiraan atas pencapaian yang diraih.

Nurain Nadhirah Mohamad menerima Anugerah Perak menerusi projek “Awang-Matik: Empowering Orang Asli Jakun Learners Through Culturally Responsive Ethnomathematics”. Ahmad Adib Rosdi bersama Angela Ee Si Jie dan Afiq Naqiuddin Kamaruddin turut menerima Anugerah Perak melalui projek yang mengintegrasikan etnomatematik berasaskan batik Terengganu, tanglung tradisional Cina dan rumah limas dalam pembelajaran geometri sekolah menengah rendah. Begitu juga dengan Bahiah Baharudin yang turut memenangi Anugerah Perak.

Nurul Syahidah Shamsuddin pula menerima Anugerah Gangsa menerusi projek “Smart Grid”, manakala Bahiah binti Baharudin turut memperoleh Anugerah Perak bagi inovasi pembelajaran matematik yang dipersembahkan. Melihat mereka berdiri dengan penuh keyakinan di hadapan hasil penyelidikan sendiri memberikan kepuasan yang sukar diungkapkan. Saya mengetahui bahawa di sebalik setiap poster, bahan inovasi dan pembentangan tersebut, terdapat masa, usaha, kesabaran dan pelbagai cabaran yang telah mereka lalui. Kepada semua pelajar saya yang menyertai NALI 2026, tahniah! Anda semua sudah menjadi pemenang di hati saya. Saya berharap pengalaman ini akan terus memberikan keyakinan kepada kalian untuk melangkah lebih jauh dalam dunia penyelidikan dan pendidikan.

Keesokan harinya, pada 30 Oktober 2026, saya sekali lagi diberikan sebab untuk bersyukur apabila menerima Anugerah Pengajaran (Kategori Sains Sosial) sempena Majlis Kecemerlangan Akademia UTM 2026. Penghargaan ini cukup dekat dengan hati saya kerana mengajar merupakan sebahagian besar daripada kehidupan saya sebagai ahli akademik. Di sebalik kesibukan menyelia penyelidikan, menyemak tesis, menyelaras program ODL, menulis dan menjalankan pelbagai tanggungjawab lain, saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam pengajaran. Saya percaya bahawa seorang pendidik juga perlu sentiasa belajar, menilai kelemahan diri dan memperbaiki amalan pengajarannya. Apa yang dilaksanakan pada hari ini mungkin perlu ditambah baik pada masa hadapan, terutamanya apabila perkembangan teknologi dan keperluan pelajar sentiasa berubah. Justeru, menerima penghargaan dalam bidang pengajaran memberikan saya dorongan untuk terus memperbaiki diri. Insya-Allah, wang hadiah yang diterima juga ingin saya manfaatkan semula untuk para pelajar yang selama ini telah banyak mewarnai perjalanan saya sebagai seorang pendidik.

Sesungguhnya, setiap penghargaan yang diterima mengingatkan saya bahawa nilai sebenar sebuah kejayaan tidak terletak pada banyaknya anugerah yang diraih, tetapi pada berapa ramai pelajar yang telah kita bimbing, berapa ramai insan yang telah kita bantu, berapa banyak kehidupan yang telah kita hargai dan sejauh mana kehadiran kita membawa manfaat kepada masyarakat.

Beberapa hari kemudian, perjalanan saya diteruskan ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai salah seorang finalis bagi kategori Esteemed Teacher Educator Award dalam Global Educator Award 2026 anjuran UPSI dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Kali ini, pengalamannya sedikit berbeza. Saya berpeluang berkongsi pengalaman dan amalan saya sebagai pendidik guru di hadapan barisan juri, di samping bertemu dengan finalis dari pelbagai negara. Peluang untuk berada dalam kelompok tersebut sahaja sudah memberikan satu pengalaman yang cukup berharga. Namun, tipulah kalau saya kata saya tidak sedih apabila tidak terpilih sebagai pemenang utama. Sebagai manusia biasa, tentu ada harapan apabila kita telah berusaha dan memberikan yang terbaik. Saya juga tidak terkecuali daripada perasaan tersebut. Namun, apabila Allah SWT menetapkan bahawa belum ada rezeki, saya menerimanya dengan penuh reda. Saya tetap bersyukur kerana diberikan peluang untuk sampai ke peringkat finalis. Saya berpegang pada nasihat keluarga dan rakan-rakan agar sentiasa berdoa kepada Allah SWT serta memohon kesabaran dalam apa jua keadaan, sama ada susah mahupun senang. Sebenarnya, memohon sesuatu anugerah ialah satu pilihan. It is okay not to apply, but there is no harm in trying.

Saya memilih untuk mencuba kerana tidak mahu kehidupan akademik saya terlalu terikat dengan rutin yang sama. Setiap semester, ada kuliah yang perlu dikendalikan, tugasan yang perlu disemak, tesis yang perlu dibaca, program yang perlu diselaraskan, penyelidikan yang perlu diteruskan dan penulisan yang perlu disiapkan. Sesekali, saya ingin keluar daripada kepompong rutin tersebut dan mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baharu. Proses menyediakan permohonan, menilai semula pencapaian sendiri dan berkongsi pengalaman dengan orang lain turut memberikan ruang untuk saya bermuhasabah tentang perjalanan kerjaya selama ini.

Saya tidak mengejar anugerah. Namun, saya percaya bahawa mencuba sesuatu yang baharu mampu memberikan kegembiraan dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Apabila mengenangkan semula ketiga-tiga peristiwa ini, saya menyedari betapa menariknya aturan Allah SWT. Dalam tempoh beberapa hari, saya diberikan kegembiraan menerima penghargaan, kepuasan melihat kejayaan pelajar dan pengalaman menerima keputusan yang tidak seperti diharapkan.

Semuanya mempunyai pengajaran tersendiri.

NALI 2026 mengingatkan saya tentang kegembiraan berkongsi kejayaan dengan pelajar. Majlis Kecemerlangan Akademia UTM 2026 memberikan dorongan untuk terus memperbaiki amalan pengajaran. GEA 2026 pula mengajar saya tentang keberanian mencuba, kesabaran dan keredaan menerima sesuatu keputusan. Mungkin, inilah antara perkara yang menjadikan perjalanan sebagai seorang pendidik begitu bermakna. Kita tidak sentiasa berada di puncak kejayaan. Ada masanya kita diraikan, ada masanya kita perlu meraikan kejayaan orang lain, dan ada masanya kita belajar menerima bahawa sesuatu yang diharapkan belum menjadi milik kita.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah SWT atas segala nikmat dan kurniaan ini.

Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya titipkan buat isteri, anak-anak, emak, ayah, seluruh keluarga UTM dan fakulti, serta yang paling istimewa, para pelajar yang saya kasihi. Tanpa kalian, siapalah saya hari ini. Terima kasih juga kepada setiap insan yang pernah hadir, membantu, menyokong dan mendoakan perjalanan akademik saya, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya anugerah paling bernilai ialah kepuasan dan kegembiraan yang diperoleh apabila kita dapat mengekalkan keseimbangan antara pekerjaan dengan kehidupan.

Suatu hari nanti, mungkin orang tidak lagi mengingati anugerah yang pernah kita terima. Namun, mudah-mudahan masih ada insan yang mengingati ilmu yang pernah kita kongsikan, bantuan yang pernah kita hulurkan dan kebaikan yang pernah kita tinggalkan. Itulah kejayaan yang saya harapkan akan terus hidup, jauh melangkaui segala penghargaan dan pengiktirafan.

Terima kasih, UTM. Terima kasih, UPSI. Terima kasih, KPT.

Alhamdulillah atas segala yang telah dikurniakan, dan atas segala yang belum menjadi rezeki.

Perjalanan sebagai seorang pendidik masih panjang. Insya-Allah, selagi diberikan kesihatan, kesempatan, dan kemampuan, saya akan terus belajar, mengajar, membimbing, dan berkongsi. Sesungguhnya, kejayaan seorang pendidik turut terukir dalam kehidupan insan yang pernah dibantunya, walaupun hanya sedikit.