[Part 1] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol

Alhamdulillah, pada bulan April 2018 yang lalu, buat pertama kalinya dalam hidup saya menjejakkan kaki di bumi Eropah. Negara di benua Eropah pertama yang saya kunjungi ialah Sepanyol. Sebelum membuat keputusan untuk membentangkan kertas kerja persidangan di sana, saya banyak membaca blog di internet dan bertanya kepada rakan-rakan yang telah sampai di sana sebelum ini. Antara isu yang menjadi perhatian saya ialah isu penyelok saku (pickpocket) yang digembar-gemburkan berleluasa di Madrid. Kegiatan ini dikatakan banyak berlaku di dalam metro, kawasan tarikan pelancong dan sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa percanggahan pandangan daripada pelbagai pihak yang menegaskan bahawa Madrid sangat selamat kepada pelancong. Malah menurut beberapa blog yang memberi rating keselamatan bandar-bandar pelancongan di seluruh dunia, rate “very safe” kepada pelancong solo yang ingin melancong ke Madrid. Isu-isu penyeluk saku mahupun pencuri jalanan ini boleh berlaku di mana-mana, hatta dalam negara kita sendiri. Bak kata orang beringat sebelum kena. Sebagai langkah keselamatan, saya sendiri telah membeli beberapa pasang t-shirt yang mempunyai kocek berzip di hadapan. Saya letakkan wang dan passport dalam kocek tersebut dan pakai jaket di luar. Alhamdulillah saya berasa selamat sepanjang berjalan kaki meneroka bandaraya tersebut. Saya menginap di salah sebuah hotel yang terletak di kawasan Puerta del Sol yang merupakan kawasan dataran di tengah-tengah kota Madrid. Ia dikenali sebagai tempat yang paling sesak di kota tersebut. Mula-mula menjejakkan kaki di situ, terdetik sedikit kekesalan dalam hati kerana silap memilih tempat penginapan memandangkan hotel tersebut betul-betul terletak di laluan yang sesak dengan lautan manusia. Lama-kelamaan perasaan tersebut hilang melihatkan keunikan bangunan dan kepelbagaian ragam manusia di situ. Puerta del Sol berasal sebagai salah satu pintu tembok kota yang mengelilingi Madrid pada abad ke-15. Kawasan ini merupakan pusat (KM 0) kepada rangkaian jalan-jalan di Sepanyol. Ini boleh dilihat pada plak di lantai dataran tersebut yang, menandakan titik KM.0. Dataran itu juga terletaknya jam terkenal yang locengnya berbunyi menandakan permulaan tahun baru. Disebabkan penerbangan saya dari Dubai ke Madrid mengalami sedikit masalah teknikal dan jadual penerbangan terpaksa dilewatkan, saya tiba di bumi Madrid lewat petang. Justeru, saya meluangkan baki hari pertama dengan hanya berjalan-jalan di sekitar Puerta del Sol. Di sini juga terletaknya Real Casa de Correos yang merupakan bangunan pejabat pos yang dibangunkan pada kurun ke-18 dan patung Charles III, iaitu seorang raja yang memerintah Sepanyol pada tahun 1759 sehingga 1788.

Suasana di Puerta del Sol

Saya memulakan hari kedua dengan mengunjungi salah sebuah stadium yang terkenal di dunia iaitu Stadium Santiago Bernabeu yang merupakan stadium rasmi kelab bola sepak terkenal Real Madrid. Saya ke sana dengan menggunakan perkhidmatan Uber yang sememangnya menjadi pilihan pelancong yang berkunjung ke Madrid. Berdasarkan pengalaman saya di sana, perkhidmatan Uber di Madrid sangat efisien. Pemandunya berpakaian kemas, iaitu berkemeja dan berjaket tidak ubah seperti pemandu profesional. Disebabkan keterbatasan dalam berbahasa inggeris, saya tidak banyak berborak dengan mereka. Cuma sekali, pemandu Uber bertanya “where are you from” (mungkin ini soalan biasa yang ditanyakan kepada semua pelanggan), saya membalas Malaysia. Oh ya, Malaysia di Spain dieja sebagai Malasia (tanpa huruf Y). Kalau sebut sahaja berasal dari Malasia (Malaysia), mereka akan kaitkan dengan menara berkembar. Saya tiba agak awal di stadium tersebut. Jadi masa diluangkan dengan berjalan di sekitar stadium yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan di situ. Stadium mula dibuka untuk lawatan kepada pelancong tepat jam 10.30 pagi. Untuk sesi lawatan pengunjung dibahagikan kepada tiga pakej, iaitu pertama, mereka yang hanya ingin melihat stadium dari tingkat atas, kedua, melawat tempat pameran yang memaparkan sejarah kelab, pencapaian kelab, trofi yang pernah dimenangi, detik-detik gol kemenangan yang disiarkan melalui skrin-skrin di laluan pameran, dan sebagainya tanpa juru pandu lawatan yang bertindak memberi penerangan di setiap tempat pameran, dan pakej yang ketiga sama dengan yang ketiga tetapi diiringi juru pandu lawatan. Real Madrid sememangnya merupakan kelab bola sepak kebanggaan mereka. Tanyalah sahaja pemandu Uber, makcik housekeeper, juruwang pasaraya dan receptionist hotel, semuanya akan bersemangat berbicara tentang pasukan Real Madrid. Sedikit fakta mengenai kelab Real Madrid, ia pertama kali muncul sebagai Kelab Bola Sepak Madrid pada tahun 1902. Raja Sepanyol kemudiannya menganugerahkan gelaran tertinggi iaitu memberikan Madrid dengan gelaran ‘Real’ pada tahun 1920. Sepanjang tahun 2000-an, pemain-pemain terkenal seperti Zidane, Iker Casillas yang dikatakan penjaga gol terbaik dalam sejarah kelab dan negara Spain, Ronaldo dan Beckham menyertai pasukan tersebut. Stadium Santiago Bernabéu telah mencapai rating 5 bintang sebagai stadium elit yang diklasifikasikan oleh Union of European Football Associations (UEFA). Stadium ini juga merupakan stadium bola sepak kedua terbesar di Sepanyol, selepas Barcelona’s Camp Nou di Barcelona.

Di hadapan Stadium Santiago Bernabéu

Bersambung……

TOP 10 Kenangan Manis Sebagai Ahli Akademik Sepanjang Tahun 2018

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera semua,

Tahun 2018 kini sampai ke penghujungnya.Alhamdulillah.. saya bersyukur dengan segala yang telah dilalui sepanjang tahun ini khususnya sebagai ahli akademik di UTM. Mungkin ada kalanya perancangan kita tidak menjadi, tetapi sesungguhnya Allah s.w.t adalah sebaik-baik perancang. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, tetapi Allah s.w.t yang menentukan segala-galanya. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui”.

Di sini saya kongsikan Top 10 kenangan manis sebagai ahli akademik sepanjang tahun 2018 sebagai motivasi kepada saya untuk lebih berusaha dan berjaya pada tahun-tahun akan datang.

 

Penulisan Dalam Media Cetak

 

Alhamdulillah. Dalam tahun 2018 ini sempat saya coretkan sebuah artikel dalam sebuah surat khabar arus perdana. Artikel ini kemudiannya dikongsikan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Kementerian Pendidikan dan turut dikongsikan dalam Majalah Mentari, iaitu majalah rasmi Jabatan Penerangan Malaysia.

 

Tulisan saya dalam Berita Harian

Amat berbesar hati apabila pihak JPT sudi berkongsi artikel ini dalam FB rasminya

 

Dua Buah Buku di Fasa Terakhir Penerbitan

 

Alhamdulillah, dua buah buku saya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berada dalam fasa terakhir sebelum diterbit dan dipasarkan. Cover page juga sudah ditunjukkan kepada saya sebagai penulis dan inshaAllah berada di pasaran pada awal tahun 2019.

Buku 1

 

Menjejakkan Kaki di Bumi Sepanyol

 

Alhamdulillah. Buat pertama kali dalam hidup, saya menjejakkan kaki di Eropah, dan negara Eropah tersebut ialah Spain. Saya ke sana untuk membentangkan kertas kerja persidangan di IEEE Global Engineering Education Conference (EDUCON2018). Selain menerbitkan sebuah kertas kerja prosiding terindeks Scopus dari persidangan tersebut, saya juga sempat menerbitkan sebuah travelog yang disiarkan dalam majalah BACKPACKERZ.

Travelog saya dalam majalah Backpackerz

 

 

Headline Majalah Dewan Siswa

 

Selain menghasilkan tiga buah travelog tahun ini yang disiarkan dalam majalah Dewan Siswa dan majalah BACKPACKERZ, sebuah artikel saya yang lebih bersifat akademik juga dijadikan headline (tajuk utama di muka hadapan) dalam Dewan Siswa edisi Oktober 2018. Alhamdulillah, sebuah lagi artikel saya juga diterbitkan dalam Dewan Masyarakat edisi Mac 2018.

Headline Dalam Dewan Siswa

 

Berbesar Hati dengan Sedikit Sumbangan Terhadap UTM

 

Alhamdulillah. Saya juga amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada team Buku Perutusan Tahun Baru YBhg. Datuk Naib Canselor UTM dan penceramah dua siri Sesi Menyelami, Menghayati dan Mencipta Realiti sempena pelancaran Pelan Global UTM Fasa III (2018-2020). Pengalaman ini pastinya sesuatu yang tidak mungkin dapat saya lupakan sepanjang bergelar ahli akademik di UTM.

Terima kasih YBhg. Datuk NC atas peluang yang diberikan

3M1R Siri 1

3M1R Siri 5

 

 

Penceramah Bengkel dan Pengucap Utama di Persidangan Antarabangsa 2018

 

Kata orang ‘sharing is caring’. Alhamdulillah, sepanjang tahun 2018 ini, saya sempat menjadi penceramah bengkel di tiga buah persidangan antarabangsa iaitu di persidangan 1st International Conference On Creative and Innovative Technology in Education (i-CITE 2018) Johor Bahru,  di 6th South East Asia Design Research Conference (SEA-DR) 6th SEA-DR 2018 di Banda Aceh, Indonesia, dan di 5th International Education Postgraduate Seminar 2018 (5th IEPS 2018). Selain itu, saya juga amat berbesar hati dilantik sebagai keynote speaker di 2nd International Conference on Mathematics and Mathematics Education (ICM2E) yang berlangsung di Universitas Negeri Padang, Indonesia.

1st International Conference On Creative and Innovative Technology in Education (i-CITE 2018)

1st International Conference On Creative and Innovative Technology in Education (i-CITE 2018)

6th South East Asia Design Research Conference (SEA-DR) 6th SEA-DR 2018

5th International Education Postgraduate Seminar 2018 (5th IEPS 2018)

Keynote speaker di 2nd International Conference on Mathematics and Mathematics Education (ICM2E)

 

 

Anugerah Penulis Jurnal Berindeks

 

Alhamdulillah dengan izinNya sekali lagi saya dapat menjejakkan kaki di Citra Karisma:Majlis Anugerah Kecemerlangan & Penghargaan UTM 2018. Kali ini saya telah menerima Anugerah Penulis Dalam Jurnal Berindeks. Secara peribadi, ini merupakan kali ketiga saya berada di Citra Karisma. Kali pertama pada tahun 2010, dan kali kedua pada tahun 2016 yang mana dalam kedua-dua majlis tersebut, saya menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Alhamdulillah

Bergambar kenang-kenangan bersama YBhg. Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail, TNCPI UTM

 

 

Artikel Terbaru Dalam Jurnal Terindeks Scopus

 

Alhamdulillah, artikel dalam jurnal terindeks Scopus saya yang terbaru baru diterbitkan bulan November 2018. Artikel ini amat istimewa sekali. Mengapa? Kerana di sebalik artikel-artikel bersifat neurosains iaitu kajian ilmiah dari sistem saraf dan sebahagian daripada cabang biologi, terselit sebuah naskah ilmiah saya yang saya rasakan betapa kerdilnya dikelilingi artikel-artikel lain yang maha hebat. Artikel ini diterbitkan oleh sebuah jurnal bersifat akses terbuka iaitu NeuroQuantology. Ia merupakan jurnal multidisiplin yang merentasi bidang neurosains termasuklah domain sains kognitif yang berkaitan dengan artikel saya ini iaitu kandungannya yang menyentuh aspek metakognitif pelajar.

Neuroquantology

Neuroquantology

 

Sesi Pembelajaran Bersama Mahasiswa

 

Setiap semester, saya sememangnya sangat looking forward untuk menyampaikan kuliah. Saya selalu mengingatkan pelajar-pelajar saya bahawa

Kuliah is not only about passing the exam at the end of the semester,
It’s about going through the hurdles together,
learning from each other,
and keeping the memories forever.

Bergambar bersama pelajar

Sesekali guna pendekatan konvensional pun menarik juga

Sedang rancak menyampaikan kuliah petang tadi, tup-tup bekalan elektrik terputus. Maka nya kuliah diteruskan di koridor luar bilik kuliah. Ini baru dinamakan proses pembelajaran boleh berlaku di mana-mana.

Secara tradisi, pada minggu terakhir kuliah, saya akan host potluck 🙂

Dari aspek penyeliaan, Alhamdulillah seorang pelajar sarjana saya menerima anugerah Best Postgraduate Student untuk program Sarjana Pendidikan (Matematik) sempena majlis konvokesyen UTM yang ke-61 pada bulan November 2018. Selain itu, pelajar Phd saya (sebagai penyelia bersama yang keempat) berjaya menamatkan pengajian Phd pada tahun 2018 ini.

Tahniah Dr. Jacinta dan cikgu Suhaily

Pelajar Phd saya, Elizabeth dari Nigeria. Setiap kali saya menyelia beliau, anaknya akan dibawa sekali. Daripada dalam kandungan, bersalin di Johor Bahru dan kini anaknya berusia setahun setengah. Suami dan anak lelakinya berada di Nigeria. Saya respek dengan keazaman beliau!

Tahniah cikgu Ang

Tahniah cikgu Suhaily atas anugerah Best Postgraduate Student

 

 

Terpilih Mengikuti International Scholar Exchange Fellowship (ISEF) 2018-2019

 

 

Ini merupakan saat paling manis dalam kerjaya saya sepanjang tahun 2018 ini. Saya  terpilih untuk menjalankan kajian selama 6 bulan di Korea Selatan untuk program International Scholar Exchange Fellowship (ISEF) 2018-2019. ISEF merupakan sebuah program yang ditawarkan oleh Korea Foundation for Advanced Studies (KFAS). KFAS merupakan sebuah organisasi bebas yang bersifat non-profit yang ditubuhkan pada tahun 1974. InshaAllah, semoga tahun 2019 akan mencatatkan kenangan manis yang pastinya akan saya coretkan sepanjang berada di bumi kimchi nanti. Doakan ya 🙂

Alhamdulillah

Apakah itu Emerging Sources Citation Index (ESCI)?

Sambungan dari post sebelum ini…

Ada juga pelajar yang bertanyakan tentang jurnal yang diindeks dalam Emerging Sources Citation Index (ESCI). Apa kebendanya ESCI tu? Kalau artikel kita diterima dan diterbitkan dalam jurnal yang diindeks dalam ESCI, adakah artikel tersebut diindeks dalam database Web of Science (WOS) yang menjadi idaman kita semua? Baiklah, sebelum itu, kita perlu tahu bahawa terdapat tiga pengkalan data utama dan berprestij dalam WOS iaitu

Science Citation Index (SCI) 
Social Sciences Citation Index (SSCI) 
Arts and Humanities Citation Index (AHCI)

Emerging Sources Citation Index (ESCI) pula baru sahaja diperkenalkan pada tahun 2015 sebagai satu pengkalan data baru dalam WOS. Jadi sebelum sesebuah jurnal diindeks dalam SCI, SSCI dan AHCI kat atas tu, jurnal tersebut perlulah diindeks dalam ESCI terlebih dahulu. Kalau jurnal tersebut perform sepanjang diindeks dalam ECSI, maka jurnal tersebut akan dinaikkan darjat dan pangkatnya ke SCI, SSCI mahupun AHCI. Kalau tak perform, maka ianya akan terus berada dalam ESCI ataupun akan disingkirkan terus dari ESCI. Ala-ala ESCI ni macam tempoh percubaan lah. Macam kerja jugak kan, mesti ada tempoh percubaan sebelum disahkan jawatan. Ada juga yang tanya, jurnal ESCI ni kena perform ke? Ingatkan pelajar je yang kena perform? Ya buat pengetahuan semua, performance jurnal-jurnal ESCI ini dikira berdasarkan bilangan sitasi (citations) jurnal tersebut dan sitasi tersebut mesti datangnya dari jurnal-jurnal dalam WOS itu sendiri. Tapi kan, tidak kiralah sama ada sesebuah jurnal itu diindeks dalam SCI ke, SSCI ke, AHCI ke ataupun ESCI ke, kalau bilangan sitasi tidak memberangsangkan ditambah pula dengan kelemahan lain seperti jangkamasa penerbitan yang lambat, kadar sitasi dari jurnal sendiri (self-citation) yang tinggi ataupun bilangan volume yang terlalu banyak juga memungkinkan sesebuah jurnal disingkirkan dari pengkalan data WOS.

Jurnal yang diindeks dalam ESCI tidak mempunyai IF (Impact Factors), tetapi artikel dalam jurnal ESCI akan dimasukkan dan kelihatan dalam WOS. Maksudnya kalau artikel kita diterbitkan dalam jurnal ESCI, maka artikel kita diindeks dalam WOS iaitu sesuatu yang menjadi idaman kita semua sebagai penyelidik dan ahli akademik. Contohnya, Jurnal Teknologi (terbitan Universiti Teknologi Malaysia) diindeks dalam ESCI. Untuk menyemaknya, anda boleh sama ada ke laman web WOS iaitu

www.webofknowledge.com

Tapi itu pun untuk institusi-institusi yang subscribe pengkalan data WOS tersebut. Kalau anda berjaya ke laman web tersebut, cuba taip nama jurnal (contohnya: Jurnal Teknologi), kalau ianya diindeks dalam WOS, akan keluarlah hasil carian anda (lihat Gambar 1).

Anda juga boleh terus ke laman web berikut:

http://mjl.clarivate.com/

Anda perlu memasukkan nama jurnal, dan kalau ianya diindeks dalam WOS, maka maklumat jurnal tersebut akan terpapar (lihat Gambar 2). Kalau tidak diindeks ESCI ataupun suatu ketika dahulu pernah diindeks ESCI tetapi tidak lagi sekarang, maka hasil carian tidak akan memaparkan jurnal berkenaan.

Laman web tersebut juga menyenaraikan senarai jurnal terkini yang diindeks bukan sahaja dalam ESCI, malah SCI, SSCI mahupun AHCI. Disebabkan saya dari bidang Pendidikan, anda boleh ke blog saya di people.utm.my/halim untuk mendapatkan list jurnal ESCI dalam bidang pendidikan. Tapi kalau anda masih tidak berpuashati, anda boleh hubungi sendiri email berikut untuk mengutarakan sebarang pertanyaan.

ts.support.asia@clarivate.com

Berdasarkan pengalaman saya menghubungi email di atas, maklumbalas yang diberikan sangat cepat dan amat membantu (lihat Gambar 3).

Kesimpulannya, bukan mudah sebenarnya tetapi tidak mustahil untuk menerbitkan artikel dalam jurnal berindeks WOS (lihat Gambar 4). Mungkin dengan menerbitkan artikel dalam jurnal ESCI merupakan permulaan untuk kita menerbitkan artikel dalam jurnal-jurnal yang lebih berimpak tinggi. Wallahu’alam.

Semakan Jurnal Berstatus Scopus

Ada pelajar bertanyakan kepada saya terutamanya pelajar Phd ambilan 2016/2017 ke atas yang wajib menerbitkan sekurang-kurangnya satu artikel dalam jurnal berindeks Scopus sebelum viva, tentang bagaimana untuk memastikan sesebuah jurnal tersebut itu masih diindeks dalam pengkalan data Scopus. Selain merujuk kepada laman web Scopus (untuk institusi yang melanggan pengkalan data tersebut), kita boleh merujuk laman web berikut..

http://www.scimagojr.com/

Caranya, taip nama jurnal di kotak carian, dan taraaaaaaa…. nama jurnal akan terpapar. Apabila nama jurnal yang anda cari keluar, jangan terlalu excited sangat sebab ada jurnal yang telah ditamatkan status Scopusnya. Anda perlu melihat maklumat lanjut jurnal tersebut. Contohnya, jurnal berikut (lihat gambar) yang diindeks dalam Scopus sejak tahun 2000 hingga 2017, tetapi tidak lagi diindeks Scopus bermula tahun 2018. Anda juga kena pastikan nombor ISSN yang tertera sama dengan laman web rasmi jurnal tersebut. Ini kerana banyak jurnal FAKE yang wujud ketika ini.

Ada juga yang bertanyakan apa fungsi Q1 sampai Q4 tu? Baiklah, pertama sekali jangan samakan Q1-Q4 Scopus dengan Q1-Q4 untuk jurnal-jurnal yang diindeks dalam Web of Science (WOS). Q1 hingga Q4 untuk jurnal-jurnal berindeks Scopus merujuk kepada quartile ranking jurnal dalam sesuatu subdisiplin menggunakan SJR citation index. Contohnya dalam subdisiplin pendidikan (pendidikan matematik) (lihat gambar),

Journal for Research in Mathematics Education dalam kategori Q1
Eurasia Journal of Mathematics, Science and Technology Education dalam kategori Q2
Bolema – Mathematics Education Bulletin dalam kategori Q3
International Electronic Journal of Mathematics Education dalam kategori Q4

Macam mana ditentukan kedudukan sesebuah jurnal sama ada dalam Q1, Q2, Q3 atau Q4? Terdapat mekanisme, pengiraan dan prosedur tertentu untuk mengira SJR citation index yang kemudiannya digunakan untuk menentukan kedudukan jurnal-jurnal tersebut sama ada dalam Q1, Q2, Q3 mahupun Q4. Antaranya mengambilkira bilangan sitasi (citations) yang diterima oleh sesebuah jurnal, dan adakah sitasi tersebut datangnya dari jurnal-jurnal yang penting dan berprestij. Apabila SJR citation index ini ditaburkan, Q1 merujuk kepada jurnal yang berada dalam 25% teratas dari taburan tersebut dan merupakan kuartil terbaik, Q2 merujuk kepada jurnal yang taburan SJR citation index nya berada antara 25% teratas dan 50% teratas, Q3 (75% teratas hingga 50% teratas), dan Q4 (25% terendah daripada keseluruhan taburan SJR citation index).
Kedudukan sesebuah jurnal dalam quartile juga boleh berubah-ubah mengikut pencapaian mereka. Jadi kalau nak selamat, kita hantar artikel kita ke jurnal-jurnal yang berada dalam Q1 atau Q2. Bukan apa, takut kalau kita hantar artikel ke jurnal Q4, dan jurnal tersebut tak perform sebelum artikel kita diterbitkan, status Scopusnya boleh ditarik balik. Wallahu a’lam

Kedudukan 100 Kotaraya Dunia Yang Menjadi Tumpuan Pelancong Pada Tahun 2018

Saya tertarik dengan satu laporan rasmi bertajuk Top 100 City Destinations 2018 yang mengemukakan 100 bandaraya di dunia yang menjadi destinasi pelancong pada tahun 2017 dan jangkaan bilangan pelancong dari seluruh dunia pada tahun 2018. Laporan ini turut dikongsikan dan dibincangkan oleh rangkaian berita terkenal seperti CNN dan BBC. Menariknya, berdasarkan laporan tersebut,

1. Kuala Lumpur merupakan bandaraya ke-9 paling kerap dilawati oleh pelancong dari seluruh dunia. Kedudukan ini mengatasi banyak kotaraya terkenal yang lain seperti Tokyo, Sydney, Seoul, Amsterdam, Los Angeles, Milan dan banyak lagi.

2. Selain Kuala Lumpur, dua buah kotaraya Malaysia yang termasuk dalam kedudukan 100 tersebut ialah Johor Bahru di tangga ke-37 dan Pulau Pinang ke-66. Saya sedikit surprise dengan kedudukan Johor Bahru yang mengatasi banyak kotaraya terkenal lain seperti Melbourne, Madrid, Moscow, Lisbon dan banyak lagi. Persoalannya ialah adakah Johor Bahru ini benar-benar menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia ataupun statistik ini turut mengambilkira kemasukan rakyat Singapura yang sememangnya kerap datang ke JB. Tapi kedudukan ini tidak mustahil juga kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dihubungkan dengan banyak penerbangan terus ke Thailand, China, Indonesia, Vietnam dan Korea Selatan.

3. Kedudukan lima teratas kotaraya yang menerima bilangan pelancong termasuklah Hong Kong di tempat teratas, diikuti Bangkok, London, Singapura dan Macau. Kotaraya cinta dunia iaitu Paris di kedudukan keenam, diikuti Dubai di tangga ke-7 dan New York di tangga ke-8 sebelum Kuala Lumpur di tangga ke-9.

4. Menariknya, selain Bangkok yang menduduki tangga kedua, banyak bandaraya lain di Thailand berada di kelompok 100 tersebut iaitu Phuket (tangga 11), Pattaya (tangga 25), Chiang Mai (tangga 64) dan Krabi (tangga 100). Kenapa ya ramai pelancong suka datang ke Thailand? Fikir positif ya.. mungkin sebab Thailand banyak kawasan pantai yang cantik dan kawasan pergunungan yang menarik.

5. Mekah merupakan kotaraya ke-21 paling kerap dikunjungi oleh penduduk dunia. Tapi pelik juga kenapa Madinah tak termasuk dalam kelompok 100 tersebut. Bukan apa, kalau diikutkan logik, jemaah haji dan umrah akan mengunjungi kedua-dua kota suci tersebut. Manakala di Korea Selatan pula, hanya dua buah bandar yang berada dalam senarai iaitu Seoul di tangga ke-24 dan Jeju di tangga ke-87.

6. Bandaraya paling kerap dikunjungi di Indonesia ialah bukan Jakarta, tetapi Denpasar iaitu ibu kota pulau peranginan terkenal di Indonesia iaitu Bali. Denpasar menduduki tangga ke-33, diikuti Jakarta di tangga ke-60. Paling mengejutkan ialah kotaraya ketiga di Indonesia yang termasuk dalam kelompok 100 tersebut ialah Batam yang berada di kedudukan 97.

7. Kebanyakan bandaraya yang berada dalam kelompok 100 tersebut, malah jika juga diperkecilkan kepada kelompok 30, terletak di negara-negara Asia. Barangkali ada betulnya kata-kata seorang sahabat saya dari United Kingdom. Katanya, kalau orang Asia mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke negara-negara Eropah atau negara-negara barat, orang-orang barat pula mengimpikan untuk menjejakkan kaki ke negara-negara Asia.

Maklumat lanjut mengenai laporan ini boleh dicapai melalui laman web berikut:

https://go.euromonitor.com/white-paper-travel-2018-100-cities.html?utm_source=blog&utm_medium=blog&utm_campaign=CT_WP_18_12_04_100%20Cities&utm_content=organic

 

Kedudukan Subjek/Bidang Pendidikan yang Ditawarkan Universiti di Malaysia

Baru-baru ini, Times Higher Education (THE) World University telah mengumumkan Ranking 2019 untuk empat bidang tersebut:

  1. Social sciences
  2. Law
  3. Education
  4. Business & economics

Times Higher Education World University Rankings merupakan penerbitan tahunan ranking universiti oleh majalah Times Higher Education (THE). Penerbitan ini kini merangkumi kedudukan keseluruhan sesebuah universiti, subjek, dan reputasi. Ranking THE ini sering dianggap sebagai salah satu kedudukan universiti yang paling banyak diberi perhatian selain daripada  Academic Ranking of World Universities dan QS World University Rankings.

Alhamdulillah. Tahniah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Sekolah Pendidikan (School of Education UTM), atas ranking terbaru tersebut untuk bidang Pendidikan (Education). Berdasarkan ranking tersebut, bidang pendidikan UTM kini berada di kedudukan 151-175 terbaik di dunia, no.4 dalam kalangan universiti Asia Tenggara dan UTM berada di kedudukan no.2 di Malaysia selepas Universiti Malaya (UM). Untuk menentukan ranking mengikut bidang pendidikan ini, kriteria yang diambilkira ialah teaching, research, citations, international outlook dan industry income.

Kedudukan Universiti Malaysia Dalam Bidang Pendidikan

 

Universiti terbaik di Asia Tenggara untuk Subjek Pendidikan

Berikut merupakan kedudukan universiti-universiti mengikut kriteria tertentu dalam bidang pendidikan.

Kriteria Teaching

 

Kriteria Research

 

Kriteria Citations

 

Kriteria Industry Income

 

Kriteria International Outlook

Jangan khuatir. Kami tak kejar ranking. Malah kami hanya berbicara mengenai ranking apabila ada organisasi tertentu seperti QS atau THE keluarkan ranking secara rasmi yang biasanya dilakukan sekali dalam setahun. Dengan adanya ranking ini sebagai indikator, sekurang-kurangnya kami tahu, ekosistem yang ada, sedang berlaku dengan baik dan berkesan.

Tahniah cikgu Noor Suhaily Misrom!

Saya bimbing anak-anak didik saya sama rata. Tiada kurang dan tiada lebih untuk setiap pelajar. Kalau ada yang nak jumpa, saya layankan. Kalau ada yang perlukan nasihat, saya bantu apa yang termampu. Kalau ada yang mengelamun, saya cuba kejutkan dari lamunan. Tapi ada juga yang tenggelam, tak timbul-timbul ;p

Pelajar yang memperolehi anugerah ini pastinya mereka yang berusaha lebih dari apa yang saya berikan. Tahniah cikgu Noor Suhaily Misrom atas penerimaan anugerah Best Postgraduate Student untuk program Sarjana Pendidikan (Matematik). Beliau merupakan seorang guru matematik sekolah menengah yang melanjutkan pengajian master di bawah tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Kajian beliau bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan pembelajaran melalui strategi penaakulan induktif berbantukan perisian Geogebra terhadap KBAT dan motivasi pelajar dalam topik Graf Fungsi II. Kajian beliau juga melihat sama ada terdapat korelasi antara KBAT dan penaakulan induktif pelajar. Ada tiga kumpulan terlibat dalam kajian ini iaitu, (i) kumpulan rawatan 1 (strategi penaakulan induktif berbantukan Geogebra), (ii) kumpulan rawatan 2 (strategi penaakulan induktif tanpa bantuan Geogebra) dan (iii) kumpulan kawalan (konvensional).

Nak tahu apakah dapatan kajian beliau? InshaAllah artikel beliau masih direview oleh sebuah jurnal berindeks.

Publication Workshop for Postgraduate Students 2018

Publication Workshop for Postgraduate Students is organised by Committee of Research and Publication of School of Education, Faculty of Social Sciences and Humanities (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). The workshop will be conducted by two speakers who are currently senior lecturer at the FSSH, UTM.

 

[Part 3] Pencapaian Cemerlang Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia Dalam QS World University Rankings 2019

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-2-pencapaian-cemerlang-institusi-pendidikan-tinggi-ipt-malaysia-dalam-qs-world-university-rankings-2019/

Senarai ranking 1000 universiti terbaik dunia ini turut menyaksikan daripada 10 universiti terbaik di Asia Tenggara, lima daripadanya merupakan universiti dari Malaysia. Buat pertama kalinya juga universiti dari Brunei iaitu Universiti Brunei Darussalam (UBD) berada dalam kalangan 10 universiti terbaik di Asia Tenggara.

  1. National University of Singapore (NUS)
  2. Nanyang Technological University, Singapore (NTU)
  3. Universiti Malaya (UM)
  4. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  5. Universiti Putra Malaysia (UPM)
  6. Universiti Sains Malaysia (USM)
  7. Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  8. Chulalongkorn University, Thailand
  9. Universitas Indonesia
  10. Universiti Brunei Darussalam (UBD)

 

Malaysia juga dalam kalangan negara Asia Tenggara mencatatkan bilangan universiti tertinggi yang berada dalam kelompok 1000 universiti terbaik dunia dengan 13 buah, diikuti Indonesia dengan sembilan, Thailand dengan lapan, Filipina dengan empat, Singapura dengan tiga, masing-masing dua universiti dari Vietnam dan Brunei. Malah kalau diperkecilkan lagi skop pencarian kepada 500 universiti terbaik di dunia, Malaysia masih lagi unggul dengan enam universiti, Indonesia dan Singapura, masing-masing tiga, Thailand dan Brunei masing-masing dua, serta Filipina dengan satu universiti. Dalam Ranking QS Top 50 Under 50 iaitu ranking universiti dunia yang berumur di bawah 50 tahun, sebanyak empat universiti Malaysia berada dalam kelompok 50 terbaik dunia iaitu, UKM, UPM dan USM masing-masing di kedudukan 13, 14 dan 15, manakala UTM di kedudukan ke 18.  Nanyang Technological University Singapura mendahului di kedudukan pertama, manakala Universiti Brunei Darussalam di tangga ke-34. Hanya tiga negara di Asia Tenggara tersebut yang mempunyai senarai universiti yang berusia 50 tahun ke bawah dalam kelompok 50 terbaik di dunia. Selain laporan mengenai ranking, laporan ini turut menunjukkan QS Star Rating. QS Stars adalah sistem penarafan yang membolehkan pelajar mendapatkan gambaran yang lebih luas tentang kualiti sesebuah institusi, dan ianya merangkumi kebolehpasaran graduan, kemudahan sukan dan penglibatan masyarakat. Ia diwujudkan untuk menggambarkan misi nuansa universiti, dan keperluan pelajar yang mungkin berminat dalam hal-hal selain daripada kedudukan ranking sesebuah universiti. Asas penilaian QS Stars mengambil kira kriteria-kriteria yang merupakan tonggak penting dalam menjadikan universiti bertaraf dunia. Ia mengambil kira beberapa faktor yang sering diabaikan dalam menentukan kedudukan universiti dan penilaian lain iaitu penyelidikan, pengajaran, kebolehpasaran, pengantarabangsaan, kemudahan, pembelajaran atas talian/ jarak jauh, tanggungjawab sosial, inovasi, seni dan budaya, keterangkuman dan kriteria pakar.

Tahniah buat institusi pendidikan tinggi Malaysia. Biarpun kedudukan kita semakin hari semakin baik, penulis tertarik dengan petikan kata-kata YBhg Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik bahawa “Kita mahu universiti di Malaysia bukan hanya dikenali kerana ranking, tetapi melalui sitasi (citation) dan karya ilmiah yang dihasilkan sarjana dalam pelbagai bidang,”.

Terima kasih

My Travel Memoirs :)

Abdul Halim Abdullah. Madrid & Tenerife Utara: Saksi Keindahan Bumi Spain Depan Mata!. Majalah Backpackerz: The Ultimate Travel Magazine. Vol. 28, Oktober 2018.
Abdul Halim Abdullah. Banjarmasin Bandar Seribu Sungai. Dewan Siswa Edisi Mei 2018.
Abdul Halim Abdullah. Kenangan Manis di Kota Astana Kazakhstan. Majalah Backpackerz: The Ultimate Travel Magazine. Vol. 22, Januari 2018.
Abdul Halim Abdullah. Melawat Abu Dhabi: Ibu Kota Mewah Emiriah Arab Bersatu. Dewan Siswa Edisi Oktober 2017.
Abdul Halim Abdullah. Mengutip Pengalaman Berharga Nha Trang & Tuy Hoa City. Majalah Backpackerz: The Ultimate Travel Magazine. Vol.18, Ogos 2017.
Abdul Halim Abdullah. Menikmati Keindahan Kota Pelabuhan Busan. Dewan Siswa Edisi Jun 2017.
Abdul Halim Abdullah. Meneroka Keindahan Bumi Seoul. Dewan Siswa Edisi Februari 2017.
Abdul Halim Abdullah. Menikmati Keindahan Kota Bandung. Dewan Siswa Oktober 2016.
Abdul Halim Abdullah. Bergerak Solo di Kota Jepun. Ruangan Kembara Berita Minggu. 13 Mac 2016.
Abdul Halim Abdullah. Negeri Victoria Penuh Istimewa. Ruangan Destinasi Mingguan Malaysia. 9 Disember 2012.
Abdul Halim Abdullah. Memori Cerita Jakarta. Ruangan Kembara Dunia Berita Minggu. 26 Ogos 2012.
Abdul Halim Abdullah. Meneroka Kota Jakarta. Ruangan Destinasi Mingguan Malaysia. 10 Jun 2012.
Abdul Halim Abdullah. Rahsia Victoria. Ruangan Kembara Dunia Berita Minggu. 6 Mei 2012.
Abdul Halim Abdullah. Kenangan Terindah di Madinah. Ruangan Kembara Dunia Berita Minggu. 31 Julai 2011.
Abdul Halim Abdullah. Mengutip Ilmu di Guangzhou, Shenzen. Ruangan Kembara Berita Minggu. 14 Mac 2010.