Istilah Lazim yang Berbeza Makna di Malaysia dan Indonesia

Malaysia dan Indonesia sering digelar dua negara serumpun. Disebabkan hubungan diplomatik yang rapat, kedudukan geografi yang strategik serta penggunaan bahasa yang hampir serupa, rakyat Malaysia sering mengunjungi kota-kota utama di Indonesia, dan begitu juga sebaliknya. Penulis secara peribadi telah menjejakkan kaki ke hampir semua kota utama di Indonesia sama ada di pulau Sumatera, pulau Jawa, pulau Kalimantan mahupun pulau Sulawesi. Sejak 2022, Malaysia telah membawa paling banyak pelancong ke Indonesia, dengan 2.27 juta orang tiba pada 2024. Ia mengatasi negara lain seperti Australia, Singapura, China, Timor-Leste dan India. Jumlah pelawat Indonesia ke Malaysia pula pada tahun 2024 adalah 4,145,127, menunjukkan peningkatan sebanyak 19.1 peratus berbanding 2023 dan 6.8 peratus berbanding 2019. Sehingga Mac 2025, terdapat 580 penerbangan mingguan yang mempunyai kapasiti dengan 106,134 tempat duduk dari Indonesia ke Malaysia.

Namun, tahukah kita bahawa terdapat istilah-istilah tertentu di kedua-dua negara yang mungkin tidak dianggap sensitif di sebuah negara, tetapi membawa maksud yang sensitif di negara yang satu lagi.

Baru-baru ini, penulis telah mendengar sebuah lagu di corong radio yang memperdengarkan bait-bait lirik berikut, yang dinyanyikan oleh penyanyi tempatan:

“Aku yang ada untukmu

Temani saat kau jatuh

Walau ku harus pura-pura bahagia

Biar lihat senyummu

Sia-sia pengorbanan

Aku hanya ada di saat kau butuh

Sakit oh sungguh sakit terasa

Engkau goreskan luka.”

Sumber: lirik lagu “Menjaga Jodoh Orang Lain”, nyanyian Ara Johari

Terdetik dalam hati penulis, bagaimana lirik lagu sedemikian dibenarkan untuk diperdengarkan dalam konteks masyarakat Malaaysia. Menurut definisi yang dikeluarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), “butuh’ merujuk kepada kemaluan lelaki. Penulis tidak menafikan, barangkali syarikat rakaman lagu tersebut ingin memperluaskan pasaran lagu berkenaan ke Indonesia. Penulis tiada masalah berkaitan dengannya. Dalam konteks Indonesia, “butuh” merujuk kepada keperluan atau keinginan untuk sesuatu. Dalam perbualan harian, perkataan ini sangat biasa. Ia digunakan apabila seseorang memerlukan sesuatu atau keadaan. Contohnya, “Aku butuh bantuanmu untuk menyelesaikan tugas ini sebelum besok”.

Namun, pernahkah kita sedar, suatu ketika dahulu, sebuah lagu dendangan kumpulan tersohor Indonesia, Sheila on 7 yang bertajuk “Seberapa Pantas” yang mengandungi lirik berikut:

“Celakanya hanya kaulah yang benar benar aku tunggu

Hanya kaulah yang benar benar memahamiku

Kau pergi dan hilang ke mana pun kau suka

Celakanya hanya kaulah yang pantas untuk kubanggakan

Hanya kaulah yang sanggup untuk aku andalkan

Diantara peri aku slalu menantimu.”

Sumber: lirik lagu “Seberapa Pantas”, nyanyian kumpulan Sheila on 7

Selepas perbincangan dengan pihak rakaman dilaksanakan, akhirnya mereka menggantikan perkataan “celakanya” dengan “oh sayangnya” dan akhirnya lagu tersebut dibenarkan memasuki pasaran muzik di Malaysia. Begitu juga dengan lirik dendangan biduanita negara, Dato’ Seri Siti Nurhaliza yang sangat tersohor di Indonesia yang bertajuk “Bukan Cinta Biasa” yang mengandungi istilah “beda” ditukarkan kepada “beza” untuk pasaran di Malaysia.

Penulis pernah mengendalikan program pertukaran latihan mengajar mahasiswa universiti tempat penulis berkhidmat ke beberapa kota di Indonesia. Penulis mengambil inisiatif menjemput wakil dari Persatuan Mahasiswa Indonesia untuk menerangkan istilah tertentu yang dianggap sensitif di Indonesia. Misalnya, istilah “budak” merupakan sesuatu kebiasaan di Malaysia. Ibu bapa memanggil anak-anak mereka sebagai budak, guru sekolah memanggil anak-anak murid sebagai budak, dan banyak lagi situasi perkataan “budak” digunakan di Malaysia. Namun, di Indonesia, ia merujuk kepada hamba sahaya atau pekerja yang tidak dibayar. Mereka biasanya menggunakan perkataan “anak” sebagai ganti kepada “budak”. Namun rakyat Indonesia mula mengerti bahawa maksud “budak” dalam konteks Malaysia adalah sesuatu yang biasa apabila siri kartun Upin dan Ipin memasuki pasaran Indonesia. Selain itu, banci dalam bahasa Melayu merujuk kepada perhitungan seperti penduduk, lalu lintas dan sebagainya. Namun, di Indonesia, banci merujuk kepada lelaki yang mempunyai tingkah laku dan berpakaian seperti perempuan. Panggilan itu dianggap sebagai kasar dan menghina mereka.

Begitu juga sebaliknya. Istilah yang membawa maksud biasa di Indonesia, menjadi sesuatu yang menyentuh sensitiviti masyarakat Malaysia. Umpamanya, “gampang” yang merujuk kepada “anak haram”. Walaupun dalam penulisan kreatif atau sastera yang pembaca faham maksudnya dalam konteks penceritaan, namun, untuk masyarakat umum, ia membawa kepada suatu perspektif yang negatif. Di Indonesia, “gampang” tidak sama dengan “gampang” di Malaysia. Penutur dianggap biadab jika mereka menggunakan perkataan tersebut, terutamanya kepada orang yang lebih tua. Di Indonesia, perkataan “gampang” bermakna mudah atau tidak sukar. Istilah ini sering digunakan untuk menyatakan sesuatu yang tidak memerlukan banyak usaha atau tidak menimbulkan kesusahan. Contohnya dalam perbualan biasa di Indonesia, “Soal ujian tadi gampang banget” yang bermaksud soalan ujian sebentar tadi senang dan tidak sukar.

Istilah lain yang biasanya akan didengari oleh pelancong Malaysia di Indonesia termasuklah “lumayan” dalam bahasa Indonesia biasanya bermaksud sederhana atau mencukupi, manakala “lumayan” dalam bahasa Melayu bermaksud banyak, mewah atau berlebihan. Begitu juga dengan istilah “mesra” yang membawa maksud akrab atau erat dalam konteks Malaysia. Namun, istilah berkenaan dalam bahasa Indonesia, hanya digunakan untuk pasangan suami isteri atau kekasih sahaja.

Tuntasnya, perbezaan makna perkataan antara Malaysia dan Indonesia tertentu menunjukkan betapa pentingnya kepekaan bahasa dalam komunikasi serantau. Walaupun kedua-dua negara berkongsi akar bahasa yang sama, penggunaan sesetengah perkataan boleh membawa maksud yang berbeza atau menimbulkan salah faham jika tidak difahami konteksnya. Oleh itu, masyarakat perlu lebih peka terhadap kepelbagaian bahasa ini, terutamanya dalam komunikasi harian. Kefahaman terhadap perbezaan ini bukan sahaja dapat mengelakkan kekeliruan, malah memperkukuh hubungan budaya dan komunikasi antara dua negara serumpun ini.

Saya bersama para dosen dan mahasiswa Universitas Negeri Malang

Sore di Kota Malang

Usai menyelesaikan aktiviti rasmi bersama mahasiswa S2 dan S3, serta dosen di Universitas Negeri Malang, saya dibawa berkeliling kota Malang. Dalam perjalanan, seorang dosen bertanya, “Pak Halim ada rencana khusus untuk ke mana-mana?” Saya lalu menjawab, “Bisakah saya mampir sebentar ke Rumah Budaya Ratna?” Begitulah saya hari ini. Barangkali faktor usia turut memainkan peranan. Saya tidak lagi cenderung ke pusat membeli-belah, apatah lagi ke Bromo. Sebaliknya, saya ingin menelusuri jejak karya Ibu Ratna Indraswari Ibrahim, seorang sasterawati besar yang begitu akrab dengan denyut nadi kota Malang. Tenang rasanya berada di tempat sebegitu.

Salam dari kota Malang.

The Hope Of RPM 2026-2035 For A Better SPM

Thank you, BERNAMA, for publishing my thoughts.

https://www.bernama.com/en/thoughts/news.php?id=2540541#abc

Source: https://www.bernama.com/en/thoughts/news.php?id=2540541#abc

Kolej kediaman lebih daripada sekadar tempat tinggal

Eid Mubarak 1 Syawal 1447H/2026M

Singgah di laman memetik melur,

Disusun indah di atas para,

Aidilfitri dirai penuh syukur,

Menghulur salam maaf dipinta.

Selamat Hari Pi (π) Sedunia 2026

Selamat Hari Pi (π) Sedunia 2026. Hari Pi tahun ini yang jatuh pada hari ini iaitu 14/3 atau 3.14 bertemakan “Matematik dan Harapan”

Sempat saya nukilkan dua buah makalah berkaitan Hari Pi (π). Yang pertama disiarkan di UTM NewsHub bertajuk “3.14159… dan Harapan Sebuah Universiti”, yang boleh dilayari melalui pautan berikut:

https://news.utm.my/.../3-14159-dan-harapan-sebuah.../

Selain itu, sebuah lagi makalah diterbitkan di Dewan Kosmik (DBP) berjudul “Matematik dan Harapan dalam Sambutan Hari Pi 2026”, yang boleh dilayari melalui pautan berikut:

https://dewankosmik.jendeladbp.my/2026/03/14/22146/
Sumber: UTM NewsHUB
Sumber: Dewan Kosmik (Jendela DBP)

UTM-MBIP lancar Busy Book-Iskandar Puteri Kesayanganku

Alhamdulillah, busy book-Iskandar Puteri Kesayanganku telah dilancarkan. Terima kasih HEK atas penerbitan makalah ini

https://news.utm.my/2026/03/utm-mbip-lancar-busy-book-iskandar-puteri-kesayanganku-perkasa-pembelajaran-awal-kanak-kanak

Sumber: HEK UTM

Hari Pi (2026) yang bertemakan “Matematik dan Harapan”

Terima kasih HEK UTM atas penerbitan makalah ini

Lapan mahasiswa FEST UTM berjaya terbit empat makalah matematik peringkat kebangsaan

Empat buah makalah hasil tulisan mahasiswa prasiswazah tahun dua jurusan Pendidikan Matematik dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST) UTM telah berjaya diterbitkan dalam majalah akademik kebangsaan (sebuah di Majalah Sains dan tiga buah makalah diterbitkan dalam Dewan Kosmik [DBP]). Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan, malah mencerminkan kesungguhan, disiplin dan kematangan intelektual yang ditunjukkan sepanjang proses penulisan.

Sebagai pensyarah kursus ini, saya amat berbangga dengan kejayaan anda semua. Semoga ilmu, bimbingan dan aplikasi yang telah dikongsi dapat terus dimanfaatkan dalam perjalanan akademik dan kerjaya pada masa hadapan, insya-Allah.

Terima kasih HEK UTM atas penerbitan berita ini.

Kampus yang mendidik di sebalik nama jalan