[Bahagian 2] Catatan di Gwangju: Bandaraya di Barat Daya Korea Selatan Dengan Keunikan Tersendiri

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-catatan-di-gwangju-bandaraya-di-barat-daya-korea-selatan-dengan-keunikan-tersendiri/

Pada hujung minggu kedua, saya mengambil kesempatan berkunjung ke Taman Sajik (Sajik Park). Sajik Park merupakan kawasan berlandskap dengan pelbagai jenis pokok dan bunga-bungaan. Taman ini telah dibangunkan sebagai kawasan riadah untuk masyarakat setempat. Taman ini menempatkan beberapa tarikan termasuk memorial untuk wira negara, Stesen Penyiaran Gwangju (KBS), Menara Memorial Polis, Pavilion Yangpajeong, dan Pavilion Palgakjeong yang menghadap ke pusat bandaraya Gwangju. Pelbagai pokok dan bunga menawarkan suasana dan pemandangan yang menarik untuk dikunjungi. Sajik Park yang menempatkan Menara Sajikia merupakan salah satu tarikan utama pelancong ke Gwangju. Menara itu terletak di atas Taman Sajik dan di tengah-tengah pusat bandar. Dari menara tinjau ini, saya boleh melihat pemandangan 360 darjah pusat bandaraya dan persekitaran termasuk mercu tanda serantau seperti Asia Culture Centre (ACC) dan Gunung Mudeung. Saya difahamkan bahawa sekitar 15 April setiap tahun iaitu sempena musim bunga, bunga ceri penuh mekar akan mewujudkan suasana yang indah. Ketika itu juga, pihak Majlis Perbandaran Gwangju memasang lampu di pokok untuk pengunjung menikmati bunga-bunga dan pemandangan pada waktu malam. Ruang tinjau di bahagian atas membolehkan pengunjung menggunakan teropong secara percuma untuk melihat pandangan panorama Gwangju dengan lebih jelas dan dekat. Pengunjung tidak dikenakan sebarang bayaran untuk menuju ke dek peninjau. Lif turut disediakan di samping disediakan juga laluan pejalan kaki menuju ke dek peninjau buat mereka yang memilih cara hidup sihat. Menuruni bukit di Taman Sajik, saya menemui “Penguin Village”. “Penguin Village’ ini ditemui dengan mengikut arahan pada papan tanda penguin yang melalui jalan sempit di belakang Yangnim-dong Community Service Center. Setibanya di situ, saya  mendapati sebuah kampung dari tahun 1970-an dan 80-an yang diubah menjadi ruang pameran luar. “Penguin Village” ini bukanlah perkampungan yang menempatkan penguin yang biasa kita dengar atau lihat.”Penguin Village” dinamakan sempena cara golongan warga emas (orang tua) dengan sakit lutut berjalan seperti penguin. Penduduk kampung mula membersihkan rumah-rumah terbakar dan terbengkalai dan membawa benda-benda untuk dipamerkan di dinding dan di luar rumah. Banyak barang antik, unik dan klasik yang dipamerkan di perkampungan tersebut. Saiz rumah di perkampungan tersebut tidak sebesar mana, tetapi ianya dipenuhi dengan pelbagai jenis objek dari penduduk. Menjelang petang, saya menuju ke Chungjang-ro Street. Ia dinamakan sempena gelaran Ketua Umum Deok-ryeong. Jalan Chungjang-ro adalah tapak Gerakan Demokrasi Gwangju 1980. Kalau di Seoul, Myeongdong merupakan kawasan tumpuan pengunjung tempatan dan asing. Tetapi di Gwangju, di sini terletaknya pusat-pusat fesyen utama di Gwangju. Jalan ini juga dipenuhi dengan pusat-pusat membeli-belah, kedai pakaian, restoran, kafe, dan pelbagai tarikan lain, memberikan pengalaman hebat budaya moden di Gwangju. Ia adalah hab fesyen di bandar, sama ada gaya model mahupun tradisional, serta tempat untuk tarikan pengunjung yang pelbagai.

Panorama Bandaraya Gwangju

Saya di ruang peninjau di atas Menara Sajik di Sajik Park

Saya di Penguin Village

Bersambung…

[Bahagian 1] Catatan di Gwangju: Bandaraya di Barat Daya Korea Selatan Dengan Keunikan Tersendiri

Gwangju, sebuah bandaraya yang tidak sepopular Seoul, Busan mahupun Jeju di Korea Selatan. Tetapi ia tetap mempunyai keunikannya yang tersendiri. Gwangju yang kadang kala disalah tafsir sebagai Guangzhou di China (yang juga disebut sebagai Gwangju dalam bahasa mandarin) merupakan bandaraya ke-enam terbesar di Korea Selatan. Gwangju adalah sebuah bandaraya yang terletak di bahagian barat daya Korea Selatan. Ia terkenal dengan pemberontakan pro-demokrasi pada tahun 1980. Nama Gwangju terdiri daripada perkataan “Gwang” yang bermaksud “cahaya” dan “Ju” bererti “provinsi”. Barangkali nama ini diberikan disebabkan bandaraya ini yang sering diterangi cahaya matahari sepanjang tahun walaupun mengalami empat musim. Saya menjalani fellowship selama enam bulan di salah sebuah universiti terkemuka di bandaraya tersebut. Bak kata orang, sambil menyelam minum air. Saya menitip sedikit catatan pengembaraan saya ketika mula-mula menjejakkan kaki ke bandaraya ini. Terdapat beberapa cara untuk ke Gwangju dari ibu kota Korea Selatan iaitu Seoul. Cara pertama ialah melalui penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo. Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang kedua di Seoul (selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon) yang menjadi hub penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa jarak dekat yang menghubungkan Seoul. Penerbangan domestik ke Gwangju mengambil masa lebih kurang satu jam. Sekiranya menaiki bas, perjalanan memakan masa selama tiga jam setengah. Saya mengambil keputusan untuk menaiki keretapi laju (KTX) yang mengambil masa selama dua jam dari Stesyen Seoul. Perjalanan saya menaiki keretapi sangat lancar dan perkara yang membuatkan saya berasa kagum ialah masa bertolak dan tiba di destinasi tepat pada waktu sebagaimana yang tercatat pada tiket. Pada hujung minggu pertama saya berada di Gwangju, saya berkesempatan berkunjung ke Asia Culture Center (ACC). Asia Culture Center (ACC) merupakan sebuah pusat di mana terdapatnya kemudahan bertemakan pelbagai budaya Asia. Ini termasuklah termasuk aspek kreativiti, pameran, dan persembahan. Ia mengandungi beberapa bahagian iaitu bahagian Pertukaran Budaya ACC, bahagian Teater ACC, bahagian Rekacipta ACC, bahagian Arkib & Penyelidikan ACC, bahagian Kanak-kanak ACC dan pelbagai kemudahan kebudayaan lain yang mempamerkan budaya dan pengalaman budaya Asia yang unik. ACC memainkan peranan sebagai platform setempat bagi para peserta dari Asia dan seluruh dunia untuk berkumpul dan bertukar idea mereka melangkaui sempadan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti penyelidikan, penciptaan dan sebagainya. Saya sempat meluangkan masa di bahagian penyelidikan di mana terletaknya bahan-bahan rujukan. Walau bagaimanapun, saya tidak dibenarkan membawa sebarang barangan hatta pasport sekalipun yang mana bahan-bahan peribadi perlu diletakkan di rak berkunci yang telah disediakan. Layanan pekerja-pekerja di situ juga amat baik dan mereka mahir berbahasa inggeris. Di salah satu sudut pusat tersebut turut disediakan kedai cenderamata buat pengunjung yang ingin membeli ole-ole sebagai tanda kenangan berkunjung ke pusat berkenaan.

Bersambung…

 

Saya di bandaraya Gwangju

Saya menjalani fellowship di Chonnam National University

 

Lawatan Singkat di Damyang, Gwangju

Baru-baru ini host profesor saya telah mengajak saya untuk mengunjungi hutan buluh yang dikenali sebagai Juknokwon di Damyang. Pekan Damyang terletak tidak jauh dari kampus Chonnam National University (CNU). Masa yang diambil untuk ke sana dari CNU ialah kira-kira 20 minit dengan menaiki kereta. Gunung Seonginsan di belakang Damyang Hyanggyo telah diubah menjadi Juknokwon Bamboo Garden yang mempunyai air terjun buatan indah, pavilion, laluan pejalan kaki dan pusat eko-pameran yang menjadi destinasi popular untuk pelawat. Ia mengambil masa kira-kira sejam untuk melawat seluruh taman dan menikmati kawasan hutan buluh berkenaan. Angin segar dan mendamaikan yang bertiup melalui buluh dapat merehatkan minda. Juknokwon mempunyai laluan sejauh 2.4 kilometer. Dari permulaan di balai cerap, laluan ini dibahagikan kepada lapan jalan dengan pelbagai tema, mulai dari Lovers’ Road hinggalah ke Old Memory Bypath. Saya dapat melihat patung panda di hutan buluh berkenaan. Saya turut singgah di Dewan Pameran yang mempamerkan pelbagai maklumat yang menarik dan dinamik.

Bersama host profesor saya, Profesor Bomi Shin

 

Juknokwon di Damyang

Bersama Chen dan Minji, pelajar postgrad program pendidikan matematik yang turut serta dalam lawatan singkat ini 🙂

Juknokwon di Damyang

[Bahagian 2] Kenangan Terindah di Dua Buah Kota Terkenal Pulau Sumatera: Banda Aceh dan Padang

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/bahagian-1-kenangan-terindah-di-dua-buah-kota-terkenal-pulau-sumatera-banda-aceh-dan-padang/

Gelombang tsunami yang menghancurkan Aceh turut meninggalkan pelbagai tempat yang merekodkan kedasyatan gelombang bencana alam tersebut. Antara tempat yang sempat saya singgahi termasuklah ke sebuah kawasan yang mana sebuah bot nelayan sepanjang 30 meter masih terperangkap di atas bumbung sebuah rumah di kampung Lampulo, di daerah KutaAlam di Banda Aceh, yang terletak hampir dua kilometer dari pantai. Saya sempat membaca plak di bawah bot yang menyatakan bahawa 59 orang yang mencari perlindungan di atas kapal itu yang terselamat dalam bencana tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004. Antara yang terselamat ialah bayi berusia 3 bulan, beberapa kanak-kanak dan perempuan tua berusia 85 tahun. Terdapat beberapa gambar keganasan bencana tsunami yang dipamerkan di dalam rumah yang kini dijadikan sebagai salah satu daripada warisan tsunami. Selain itu, terdapat sebuah kapal yang bernama Kapal PLTD Apung seberat 2,600 tan yang dihempas badai tsunami ke tengah Banda Aceh. Hampir tidak masuk akal saya membayangkan betapa kuatnya ombak tsunami sehingga boleh menghanyutkan kapal seberat itu. Ketika tragedi tsunami berlaku kira-kira 14 tahun yang lalu, kapal itu berada di Pantai Ulee Lhee, Banda Aceh. Akibat bencana tersebut, kapal itu diseret dan terkandas sejauh 5 km ke perkampungan Gampong Punge, Blangcut, Banda Aceh. Daripada maklumat yang disediakan di bahan pameran, saya difahamkan bahawa daripada 11 orang anak kapal dan beberapa pekerja lain yang berada di atas kapal ketika kejadian, hanya seorang sahaja yang terselamat. Kapal PLTD Apung kini merupakan salah sebuah monumen yang diabadikan sebagai monumen peringatan tsunami Aceh dan bukti kedasyatan bencana tersebut. Walau bagaimanapun, kawasan ini hanya dipagarkan pada tahun 2012 di samping beberapa kemudahan lain seperti jambatan dan bahan pameran informasi turut disediakan. Kerajaan wilayah Aceh telah mengambil inisiatif dan langkah keselamatan awal sekiranya mendepani bencana ini pada masa akan datang. Salah satu usaha tersebut ialah dengan menubuhkan Tsunami Disaster Mitigation Research Center (TDMRC) di bawah pengurusan Universitas Syiah Kuala. Saya telah dibawa ke pusat penyelidikan tersebut yang terletak di Ulee Lheu. Saya juga difahamkan ramai pensyarah universiti tersebut yang terkorban ketika tragedi tsunami berlaku. Pembinaan TDMRC di Ulee Lhuee juga berfungsi sebagai tempat menyelamat dari tsunami dan bencana lain untuk masyarakat setempat.

Tsunami Disaster Mitigation Research Center (TDMRC)

Kapal PLTD Apung

Masjid Raya Baiturrahman

Destinasi terakhir saya di Banda Aceh ialah Masjid Raya Baiturrahman yang terletak betul-betul di tengah kota Aceh. Masjid yang memiliki tujuh kubah, empat menara, dan satu menara induk ini merupakan mercu tanda Banda Aceh dan sesuatu yang menakjubkan saya apabila dimaklumkan bahawa masjid ini terselamat walaupun dihentam badai tsunami pada tahun 2014. Semasa bencana tsunami, masjid ini berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan hanya dibuka semula untuk solat selepas dua minggu. Masjid yang menyerupai Masjid Al-Nabawi di kota suci Madinah dan dikatakan juga mirip Taj Mahal di India, direkabentuk oleh arkitek Belanda. Ketika saya tiba di masjid tersebut, hari melewati senja dan hal ini menambahkan lagi keindahan masjid tersebut. Saya berkesempatan menunaikan solat mahgrib dan isyak di masjid tersebut sebelum singgah di kedai-kedai cenderahati yang terletak di luar kawasan masjid. Seperti yang kita maklum, wilayah Aceh melaksanakan undang-undang Islam dan saya turut difahamkan bahawa pihak berkuasa Aceh melaksanakan hukuman sebat terhadap pesalah yang melanggar undang-undang syariah di wilayah itu di masjid ini dan disaksikan oleh penduduk setempat.

Bersambung…

[Bahagian 1] Kenangan Terindah di Dua Buah Kota Terkenal Pulau Sumatera: Banda Aceh dan Padang

Lazimnya, sekiranya saya dijemput untuk menyampaikan ceramah atau membentangkan kertas-kertas kerja persidangan di luar negara, memang sengaja saya meluangkan beberapa hari untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Walau bagaimanapun, saya tidak perlu bersusah-susah berbuat demikian kerana berdasarkan pengalaman saya yang beberapa kali dijemput menyampaikan ceramah akademik di beberapa buah kota di Indonesia sebelum ini, layanan yang diberikan oleh pihak penganjur amat istimewa sekali. Layanan ini termasuklah dibawa melawat ke tempat-tempat menarik yang terdapat di kota tersebut dan mencuba pelbagai aneka makanan tempatan. Baru-baru ini saya dijemput sekali lagi ke Indonesia tetapi kali ini ke dua buah kota terkenal di Pulau Sumatera, Indonesia iaitu Banda Aceh dan Padang. Secara peribadi, ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki di Pulau Sumatera selepas berkunjung ke Pekan Baru pada tahun 2011 iaitu kira-kira tujuh tahun yang lalu. Tujuan utama saya ke dua buah kota ini sebenarnya atas jemputan untuk menyampaikan ceramah di dua buah persidangan antarabangsa di sana. Bak kata orang, sambil menyelam minum air, saya meluangkan sedikit masa untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Usai tamat persidangan di hari pertama di Banda Aceh, pertama sekali saya dibawa oleh dua orang pensyarah dari Universitas Syiah Kuala ke Muzium Tsunami Aceh. Walau bagaimanapun, disebabkan ketibaan kami melewati jam lima petang, muzium tersebut telah tutup dan kami hanya dibenarkan untuk melawat di perkarangan muzium sahaja. Muzium ini direkabentuk dan dibangunkan sebagai simbolik peringatan bencana gempa bumi di Lautan India dan tsunami. Bentuk bumbung muzium ini seperti ombak laut manakala tapaknya berbentuk seperti kapal. Saya berkesempatan melihat lebih daripada 2000 nama mangsa yang terkorban yang tertera di dinding muzium berkenaan serta melihat 54 bendera dari 54 buah negara termasuklah Malaysia yang terlibat dalam misi menyelamat serta membantu Aceh selepas terjadinya tsunami di perkarangan muzium. Selain berfungsi sebagai tempat pameran, muzium ini juga berfungsi sebagai tempat perlindungan dari bencana tsunami sekiranya ia berlaku lagi pada masa akan datang.

Invited Speaker di SEADR2018 di Banda Aceh

Bersama dua orang prominent professors; Professor Dr. Berinderjeet Kaur dari National Institute of Education, Singapore dan Professor Dr. Lilia Halim dari Universiti Kebangsaan Malaysia

Kampung Lampulo

Bersambung……..

[Part Akhir] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-3-menikmati-keunikan-madrid-dan-keindahan-tenerife-utara-di-bumi-sepanyol/

Penulis berkesempatan meluangkan hari pertama di pulau Tenerife dengan menaiki bas hop-on hop untuk meneroka kawasan-kawasan menarik di Santa de Cruz yang menjadi perhentian bas tersebut. Bas yang beroperasi setiap hari ini merupakan bas dua tingkat dan penulis menikmati keindahan kota San de Cruz di tingkat dua bas yang terbuka. Sebanyak 13 perhentian disinggahi oleh bas ini yang bermula dari Plaza de España. Plaza de España adalah dataran terbesar di bandar Santa Cruz de Tenerife dan Kepulauan Canary. Perjalanan meneroka Bandar Santa de Cruz mengambil masa lebih kurang satu jam. Bahasa penerangan sepanjang lawatan termasuklah bahasa Inggeris, Jerman, Sepanyol, Perancis, Portugis, Itali dan Rusia. Di kota Santa Cruz juga terletaknya Auditorio de Tenerife yang merupakan simbol senibina Kepulauan Canary. Penulis berkesempatan melihat auditorium moden berkenaan. Ia terletak bersebelahan Lautan Atlantik dan di bahagian selatan Pelabuhan Santa Cruz de Tenerife. Bangunan ini dibina dalam struktur seni bina moden pada akhir abad ke-20. Tujuan utama penulis ke Tenerife Utara di kepulauan Canary ini sebenarnya adalah untuk membentangkan kertas kerja persidangan antarabangsa dalam bidang Pendidikan Kejuruteraan yang diadakan di Pusat Pameran Perdagangan dan Kongres Antarabangsa Tenerife (Centro Internacional de Ferias y Congresos de Tenerife). Kompleks ini berfungsi sebagai bangunan pelbagai guna yang boleh menjadi tuan rumah karnival, pameran dan persidangan utama yang berlangsung di pulau Tenerife. The Great Hall, yang terletak di tingkat atas, bersaiz 12,000 meter persegi, menjadikannya sebagai ruang tertutup terbesar di Kepulauan Canary. Selepas pembukaannya, ia telah menjadi tuan rumah kepada pelbagai jenis acara seperti pameran perdagangan makanan, komputer, pertanian dan rekreasi, konsert muzik, pertandingan dan karnival gala, kongres, seminar, pameran seni, persembahanTV, dan pertunjukan fesyen. Disebabkan jadual persidangan yang padat, penulis meluangkan hari kedua dan ketiga di pusat pameran tersebut, sebelum mengambil penerbangan pulang ke Madrid untuk kembali ke tanahair.

Auditorio de Tenerife yang merupakan simbol senibina Kepulauan Canary

Penerbangan ke Madrid dari Kuala Lumpur

  • Tiada penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Madrid.
  • Justeru, terdapat beberapa kaedah untuk terbang ke Madrid dari Kuala Lumpur untuk kumulatif tempoh penerbangan kurang daripada 18 jam. Pertama dengan menaiki pesawat Emirates, iaitu melalui Dubai. Kedua, Qatar melalui Doha, Etihad melalui Abu Dhabi, Turkish Airlines melalui Istanbul dan KLM melalui Amsterdam.
  • Walau bagaimanapun, jumlah masa ini tidak termasuk masa transit di lapangan terbang yang menjadi penghubung antara Kuala Lumpur dan Madrid. Contohnya, berdasarkan pengalaman penulis ke Madrid baru-baru ini dengan menaiki Emirates, tempoh penerbangan dari Kuala Lumpur ke Dubai ialah lebih kurang tujuh jam, manakala perjalanan dari Dubai ke Madrid mengambil masa lebih kurang lapan jam. Hal ini menjadikan tempoh kumulatif penerbangan ialah 15 jam. Walau bagaimanapun, penulis menunggu lebih kurang tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebelum berlepas ke Madrid.

Penerbangan ke North Tenerife dari Madrid

  • Jumlah penerbangan dari Madrid ke North Tenerife kurang daripada jumlah penerbangan Madrid ke South Tenerife.
  • Terdapat tiga syarikat yang menawarkan penerbangan terus dari Madrid ke North Tenerife iaitu Ryanair, Iberia Express dan Air Europa.

Santa de Cruz, North Tenerife

Tamat

 

 

[Part 3] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-2-menikmati-keunikan-madrid-dan-keindahan-tenerife-utara-di-bumi-sepanyol/

Istana Diraja Madrid atau dikenali sebagai Palacio Real de Madrid merupakan kediaman rasmi Keluarga Diraja Sepanyol di bandar Madrid. Namun ia hanya digunakan untuk upacara rasmi. Selebihnya ia terbuka kepada orang ramai. Istana tersebut telah dibina pada abad ke-18 dan ke-19, dan merupakan bangunan yang monumental. Istana ini mempunyai keluasan 135,000 meter persegi dan memiliki 3,418 bilik. Ia merupakan istana diraja terbesar di Eropah dari segi keluasan lantai. Hiasan dalaman istana tersebut merupakan citarasa mewah Raja Charles III yang berkuasa ketika itu. Ketika ini, Raja Felipe VI dan keluarga diraja tidak menetap di situ, tetapi memilih Istana Zarzuela yang terletak di pinggir kota Madrid. Ketika dibuka kepada orang ramai, pengunjung boleh melihat sendiri dan melawat bilik-bilik dan dewan-dewan jamuan yang mewah yang terdapat di dalam istana berkenaan. Walau bagaimanapun, penulis tidak bernasib baik kerana ketika penulis tiba pada hari tersebut, ianya telah ditutup kepada pengunjung. Jadi penulis menghabiskan masa dengan mengambil gambar di perkarangan luar istana sebelum pulang ke Puerta del Sol.

Berlatarbelakangkan Palacio Real de Madrid

Banyak kedai cenderahati boleh didapati di kawasan Puerta del Sol, namun harga yang dikenakan agak mahal berbanding dengan kedai-kedai yang terletak di pinggir kawasan ini. Setelah berehat di tempat penginapan, penulis berjalan kaki menuju ke Hard Rock café Madrid. Disebabkan cuaca yang sejuk ditambah dengan pemandangan yang menarik, penulis tidak merasa penat, malah berasa teruja untuk meneroka kawasan kota Madrid.Madrid tidak banyak bangunan pencakar langit sebagaimana biasa kita lihat di bandar-bandar utama di benua Asia. Percaya atau tidak, bangunan tertinggi di Madrid yang berukuran 236m sahaja iaitu lebih kurang ketinggian hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur dan hanya lebih sedikit daripada separuh ketinggian Menara Berkembar Petronas yang berukuran 451.9m. Walau bagaimanapun, bangunan-bangunan di bandar ini sangat cantik, unik dan klasik. Setelah meluangkan tiga hari dua malam di Madrid, penulis ke Tenerife Utara (North Tenerife) yang perjalanannya mengambil kira-kira tiga jam penerbangan dari Madrid. Tenerife Utara merupakan sebahagian dari kepulauan Canary.

Kepulauan Canary adalah kepulauan Sepanyol dan wilayah autonomi Sepanyol yang terletak di Lautan Atlantik dan berjarak 100 kilometer dari barat negara Maghribi. Menurut sejarah, Kepulauan Canary telah dianggap jambatan antara tiga benua iaitu Afrika, Amerika dan Eropah. Ini mungkin disebabkan kedudukan strategiknya yang berada di tengah-tengah antara ketiga-tiga benua tersebut. Tenerife adalah pulau terbesar dan paling padat antara tujuh pulau yang terdapat di Kepulauan Canary. Ia juga merupakan pulau terbesar di Sepanyol, dengan keluasan tanah 2,034.38 kilometer persegi dan 898,680 penduduk. Jumlah ini merupakan 43 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di Kepulauan Canary. Santa Cruz de Tenerife adalah ibu kota Kepulauan Canary. Ia terletak di hujung timur pulau Tenerife, iaitu pulai terbesar dalam rantaian kepulauan Canary. Di pulau Tenerife terdapat dua buah lapangan terbang antarabangsa iaitu di Tenerife Utara dan Tenerife Selatan. Penulis mengambil penerbangan dari Madrid ke Tenerife Utara memandangkan ibukota Santa Cruz de Tenerife terletak berdekatan dengan lapangan terbang tersebut. Kalau kita masih ingat, pada tahun 1977, lapangan terbang ini merupakan kawasan berlakunya nahas udara paling teruk dalam sejarah penerbangan apabila 583 penumpang dan anak kapal terbunuh selepas dua pesawat Boeing 747s bertembung di landasan dalam kabus tebal.

Bas hop-on hop di Santa de Cruz, North Tenerife

Bersambung……

[Part 2] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol

Sambungan dari https://people.utm.my/halim/part-1-menikmati-keunikan-madrid-dan-keindahan-tenerife-utara-di-bumi-sepanyol/

Saya sebenarnya bukanlah peminat tegar sukan bola sepak tetapi sudah alang-alang berada di Madrid, mengapa perlu melepaskan peluang sebegini. Saya mengambil lawatan di stadium berkenaan dengan penerangan yang disampaikan oleh jurupandu. Saya terlebih dahulu menikmati pemandangan stadium yang boleh menempatkan seramai 86,000 penonton pada satu-satu masa dari bahagian atas tempat duduk stadium. Setelah puas, saya memasuki bahagian muzium yang meliputi kabinet pameran trofi-trofi yang pernah dimenangi oleh kelab Real Madrid dalam Euro Cup, La Liga, UEFA champion leagues dan macam-macam lagi serta semua tentang sejarah pasukan yang berusia lebih dari 100 tahun. Di sekeliling laluan memaparkan skrin video pemain Real Madrid yang menjaringkan gol kemenangan dengan bergaya. Terdapat juga satu bahagian yang memaparkan skrin peta dunia yang mana di skrin itu diplotkan kawasan-kawasan di seluruh dunia yang menyatakan hashtag Real Madrid secara masa nyata (real time). Selepas menimba pengetahuan mengenai pasukan Real Madrid di bahagian pameran, saya dibawa turun ke kawasan tepi padang. Saya dibawa ke tempat duduk di mana kedua-dua pasukan yang bermain duduk dengan jurulatih mereka di tepi padang. Saya kemudian melalui terowong pemain untuk ke bilik persalinan iaitu tempat para pemain mempersiapkan diri sebelum bergerak ke padang untuk bermain dan juga selepas permainan. Di setiap loker dan tempat duduk tertera nama-nama pemain kelab tersebut. Saya juga sempat melihat bilik sidang media iaitu tempat wartawan menemuramah pengurus, jurulatih dan pemain usai permainan tamat. Perjalanan lawatan tersebut mengambil masa lebih kurang antara satu jam setengah hingga ke dua jam. Saya dimaklumkan bahawa sekiranya saya datang semasa hari bekerja, kita boleh melihat pemain menjalani latihan, lebih-lebih lagi sekiranya terdapat perlawanan utama yang melibatkan pasukan Real Madrid. Stadium ini dibuka untuk lawatan setiap hari sepanjang tahun. Walau bagaimanapun, pada hari perlawanan, lawatan akan dihentikan lima jam sebelum perlawanan bermula. Saya turut berkesempatan membeli sedikit cenderamata Real Madrid sebelum meneruskan perjalanan menaiki ke Uber ke Palacio Real de Madrid.

Pemandangan dari dalam Stadium Santiago Bernabéu

Locker pemain-pemain Real Madrid

Istana Diraja Madrid atau dikenali sebagai Palacio Real de Madrid merupakan kediaman rasmi Keluarga Diraja Sepanyol di bandar Madrid. Namun ia hanya digunakan untuk upacara rasmi. Selebihnya ia terbuka kepada orang ramai. Istana tersebut telah dibina pada abad ke-18 dan ke-19, dan merupakan bangunan yang monumental. Istana ini mempunyai keluasan 135,000 meter persegi dan memiliki 3,418 bilik. Ia merupakan istana diraja terbesar di Eropah dari segi keluasan lantai. Hiasan dalaman istana tersebut merupakan citarasa mewah Raja Charles III yang berkuasa ketika itu. Ketika ini, Raja Felipe VI dan keluarga diraja tidak menetap di situ, tetapi memilih Istana Zarzuela yang terletak di pinggir kota Madrid. Ketika dibuka kepada orang ramai, pengunjung boleh melihat sendiri dan melawat bilik-bilik dan dewan-dewan jamuan yang mewah yang terdapat di dalam istana berkenaan. Walau bagaimanapun, saya tidak bernasib baik kerana ketika saya tiba pada hari tersebut, ianya telah ditutup kepada pengunjung. Jadi saya menghabiskan masa dengan mengambil gambar di perkarangan luar istana sebelum pulang ke Puerta del Sol.

Perkarangan Palacio Real de Madrid

Bersambung……

[Part 1] Menikmati Keunikan Madrid dan Keindahan Tenerife Utara di Bumi Sepanyol

Alhamdulillah, pada bulan April 2018 yang lalu, buat pertama kalinya dalam hidup saya menjejakkan kaki di bumi Eropah. Negara di benua Eropah pertama yang saya kunjungi ialah Sepanyol. Sebelum membuat keputusan untuk membentangkan kertas kerja persidangan di sana, saya banyak membaca blog di internet dan bertanya kepada rakan-rakan yang telah sampai di sana sebelum ini. Antara isu yang menjadi perhatian saya ialah isu penyelok saku (pickpocket) yang digembar-gemburkan berleluasa di Madrid. Kegiatan ini dikatakan banyak berlaku di dalam metro, kawasan tarikan pelancong dan sebagainya. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa percanggahan pandangan daripada pelbagai pihak yang menegaskan bahawa Madrid sangat selamat kepada pelancong. Malah menurut beberapa blog yang memberi rating keselamatan bandar-bandar pelancongan di seluruh dunia, rate “very safe” kepada pelancong solo yang ingin melancong ke Madrid. Isu-isu penyeluk saku mahupun pencuri jalanan ini boleh berlaku di mana-mana, hatta dalam negara kita sendiri. Bak kata orang beringat sebelum kena. Sebagai langkah keselamatan, saya sendiri telah membeli beberapa pasang t-shirt yang mempunyai kocek berzip di hadapan. Saya letakkan wang dan passport dalam kocek tersebut dan pakai jaket di luar. Alhamdulillah saya berasa selamat sepanjang berjalan kaki meneroka bandaraya tersebut. Saya menginap di salah sebuah hotel yang terletak di kawasan Puerta del Sol yang merupakan kawasan dataran di tengah-tengah kota Madrid. Ia dikenali sebagai tempat yang paling sesak di kota tersebut. Mula-mula menjejakkan kaki di situ, terdetik sedikit kekesalan dalam hati kerana silap memilih tempat penginapan memandangkan hotel tersebut betul-betul terletak di laluan yang sesak dengan lautan manusia. Lama-kelamaan perasaan tersebut hilang melihatkan keunikan bangunan dan kepelbagaian ragam manusia di situ. Puerta del Sol berasal sebagai salah satu pintu tembok kota yang mengelilingi Madrid pada abad ke-15. Kawasan ini merupakan pusat (KM 0) kepada rangkaian jalan-jalan di Sepanyol. Ini boleh dilihat pada plak di lantai dataran tersebut yang, menandakan titik KM.0. Dataran itu juga terletaknya jam terkenal yang locengnya berbunyi menandakan permulaan tahun baru. Disebabkan penerbangan saya dari Dubai ke Madrid mengalami sedikit masalah teknikal dan jadual penerbangan terpaksa dilewatkan, saya tiba di bumi Madrid lewat petang. Justeru, saya meluangkan baki hari pertama dengan hanya berjalan-jalan di sekitar Puerta del Sol. Di sini juga terletaknya Real Casa de Correos yang merupakan bangunan pejabat pos yang dibangunkan pada kurun ke-18 dan patung Charles III, iaitu seorang raja yang memerintah Sepanyol pada tahun 1759 sehingga 1788.

Suasana di Puerta del Sol

Saya memulakan hari kedua dengan mengunjungi salah sebuah stadium yang terkenal di dunia iaitu Stadium Santiago Bernabeu yang merupakan stadium rasmi kelab bola sepak terkenal Real Madrid. Saya ke sana dengan menggunakan perkhidmatan Uber yang sememangnya menjadi pilihan pelancong yang berkunjung ke Madrid. Berdasarkan pengalaman saya di sana, perkhidmatan Uber di Madrid sangat efisien. Pemandunya berpakaian kemas, iaitu berkemeja dan berjaket tidak ubah seperti pemandu profesional. Disebabkan keterbatasan dalam berbahasa inggeris, saya tidak banyak berborak dengan mereka. Cuma sekali, pemandu Uber bertanya “where are you from” (mungkin ini soalan biasa yang ditanyakan kepada semua pelanggan), saya membalas Malaysia. Oh ya, Malaysia di Spain dieja sebagai Malasia (tanpa huruf Y). Kalau sebut sahaja berasal dari Malasia (Malaysia), mereka akan kaitkan dengan menara berkembar. Saya tiba agak awal di stadium tersebut. Jadi masa diluangkan dengan berjalan di sekitar stadium yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan di situ. Stadium mula dibuka untuk lawatan kepada pelancong tepat jam 10.30 pagi. Untuk sesi lawatan pengunjung dibahagikan kepada tiga pakej, iaitu pertama, mereka yang hanya ingin melihat stadium dari tingkat atas, kedua, melawat tempat pameran yang memaparkan sejarah kelab, pencapaian kelab, trofi yang pernah dimenangi, detik-detik gol kemenangan yang disiarkan melalui skrin-skrin di laluan pameran, dan sebagainya tanpa juru pandu lawatan yang bertindak memberi penerangan di setiap tempat pameran, dan pakej yang ketiga sama dengan yang ketiga tetapi diiringi juru pandu lawatan. Real Madrid sememangnya merupakan kelab bola sepak kebanggaan mereka. Tanyalah sahaja pemandu Uber, makcik housekeeper, juruwang pasaraya dan receptionist hotel, semuanya akan bersemangat berbicara tentang pasukan Real Madrid. Sedikit fakta mengenai kelab Real Madrid, ia pertama kali muncul sebagai Kelab Bola Sepak Madrid pada tahun 1902. Raja Sepanyol kemudiannya menganugerahkan gelaran tertinggi iaitu memberikan Madrid dengan gelaran ‘Real’ pada tahun 1920. Sepanjang tahun 2000-an, pemain-pemain terkenal seperti Zidane, Iker Casillas yang dikatakan penjaga gol terbaik dalam sejarah kelab dan negara Spain, Ronaldo dan Beckham menyertai pasukan tersebut. Stadium Santiago Bernabéu telah mencapai rating 5 bintang sebagai stadium elit yang diklasifikasikan oleh Union of European Football Associations (UEFA). Stadium ini juga merupakan stadium bola sepak kedua terbesar di Sepanyol, selepas Barcelona’s Camp Nou di Barcelona.

Di hadapan Stadium Santiago Bernabéu

Bersambung……

My Travel Memoirs :)

Abdul Halim Abdullah. Madrid & Tenerife Utara: Saksi Keindahan Bumi Spain Depan Mata!. Majalah Backpackerz: The Ultimate Travel Magazine. Vol. 28, Oktober 2018.
Abdul Halim Abdullah. Banjarmasin Bandar Seribu Sungai. Dewan Siswa Edisi Mei 2018.
Abdul Halim Abdullah. Kenangan Manis di Kota Astana Kazakhstan. Majalah Backpackerz: The Ultimate Travel Magazine. Vol. 22, Januari 2018.
Abdul Halim Abdullah. Melawat Abu Dhabi: Ibu Kota Mewah Emiriah Arab Bersatu. Dewan Siswa Edisi Oktober 2017.
Abdul Halim Abdullah. Mengutip Pengalaman Berharga Nha Trang & Tuy Hoa City. Majalah Backpackerz: The Ultimate Travel Magazine. Vol.18, Ogos 2017.
Abdul Halim Abdullah. Menikmati Keindahan Kota Pelabuhan Busan. Dewan Siswa Edisi Jun 2017.
Abdul Halim Abdullah. Meneroka Keindahan Bumi Seoul. Dewan Siswa Edisi Februari 2017.
Abdul Halim Abdullah. Menikmati Keindahan Kota Bandung. Dewan Siswa Oktober 2016.
Abdul Halim Abdullah. Bergerak Solo di Kota Jepun. Ruangan Kembara Berita Minggu. 13 Mac 2016.
Abdul Halim Abdullah. Negeri Victoria Penuh Istimewa. Ruangan Destinasi Mingguan Malaysia. 9 Disember 2012.
Abdul Halim Abdullah. Memori Cerita Jakarta. Ruangan Kembara Dunia Berita Minggu. 26 Ogos 2012.
Abdul Halim Abdullah. Meneroka Kota Jakarta. Ruangan Destinasi Mingguan Malaysia. 10 Jun 2012.
Abdul Halim Abdullah. Rahsia Victoria. Ruangan Kembara Dunia Berita Minggu. 6 Mei 2012.
Abdul Halim Abdullah. Kenangan Terindah di Madinah. Ruangan Kembara Dunia Berita Minggu. 31 Julai 2011.
Abdul Halim Abdullah. Mengutip Ilmu di Guangzhou, Shenzen. Ruangan Kembara Berita Minggu. 14 Mac 2010.