Saya tertarik dengan bunga ini kerana baunya sangat harum. Ia boleh dijadikan pewangi kereta semulajadi. Petik dua atau tiga kuntum bunga kesidang dan letak ia di dalam kereta. Segar ….
Sumber penulisan di bawah saya dapati dari sini.
Pokok kesidang berasal dari Pulau Jawa. Di negeri utara Malaysia, kesidang dikenali dengan nama pokok bunga kerak nasi, manakala di pantai timur Malaysia dikenali dengan nama bunga tikam seladang. Di negara Barat, pokok ini dikenali sebagai bread flower. Nama saintifik bagi pokok dalam keluargaApocynaceae ini ialah Vallaris glabra. Kesidang sering menjadi penghias halaman dan pergola taman.
Pokok kesidang berbatang keras dan berdaun seakan-akan daun sirih. Bunganya berwarna putih dan berbau wangi seakan-akan bau daun pandan. Sesekali, baunya seakan-akan bau nasi. Hal ini memungkinkan namanya sebagai bunga kerak nasi, sementelah pula warnanya putih dan jambak bunganya seperti kerak nasi. Bunga kesidang dijadikan salah satu ramuan dalam bunga rampai. Tepak sirih yang menjadi bahan dalam beberapa istiadat masyarakat Melayu turut dihiasi bunga kesidang. Gadis dan wanita Melayu menjadikan bunga kesidang sebagai hiasan sanggul.
Bunga kesidang yang putih bersih melambangkan kesucian dan kelembutan. Maka, dengan kehalusan dan kesesuaiannya dalam kehidupan orang Melayu, bunga kesidang dijadikan bunga rasmi bagi negeri Melaka yang penuh dengan adat istiadat dan resam budaya. Cantik di halaman dan wangi di taman membuatkan kesidang digemari juga oleh kupu-kupu dan burung. Kesidang mudah tumbuh melalui keratan batang dan biji.