Awet Muda Dengan Bahan sedia ada
Melakukan rutin mengekalkan kecantikan wajah kadangkala tidak memerlukan belanja yang banyak bahkan anda boleh gunakan bahan di dapur untuk mendapatkan kulit yang cantik dan berseri.
Cantik tidak semestinya anda hanya perlu memakai kosmetik mahal. Berbekalkan sedikit usaha dan kerajinan, anda boleh terus mengekalkan kecantikan dengan memanfaatkan bahan yang mudah didapati di dapur.
Biasanya dijadikan bahan memasak namun, ia juga mempunyai kesan baik dalam usaha menjaga kulit yang dapat memberikan perawatan semula jadi dan efektif untuk kulit anda.
Cukup hanya luangkan masa antara 10 ke 15 minit untuk anda melakukan pelbagai perawatan efektif yang sudah diamalkan sejak berzaman bagi mendapatkan kulit cantik dan berseri.
Kentang
Selain enak dimakan sebagai kentang goreng, begedil atau direbus, kentang juga dikatakan baik untuk kulit. Maka tidak hairan jika wanita zaman dulu menggunakan kentang sebagai petua awet muda.
Kentang boleh membantu anda memiliki kulit cantik apabila dijadikan pupur. Caranya, parut kentang atau hiris nipis kemudian letakkan pada wajah sebagai pupur. Cara ini efektif untuk menghapuskan noda hitam akibat penuaan dan bekas jerawat.
Lakukan rutin kecantikan ini sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk hasil yang maksimum. Kulit juga akan terasa licin dan gebu.
Kentang juga dikatakan boleh membantu mengurangkan kesan hitam pada kulit terutama di celah paha, ketiak, siku dan lutut.
Pisang
Selain membantu melancarkan sistem pencernaan, pisang juga amat baik sebagai petua mengurangkan jerawat. Hanya hancurkan pisang dan jadikan pupur secara rutin. Ia juga menjadikan kulit licin dan berseri.
Gula kabung
Biasa digunakan sebagai bahan untuk membuat kuih muih, bahan ini juga dikatakan petua kecantikan untuk kulit wajah. Pupur gula kabung dikatakan efektif untuk mengecilkan pori dan menghaluskan kulit wajah.
Cara memakainya, hanya dicampur dengan minyak zaitun atau madu dan sapukan pada wajah. Lakukan secara rutin untuk mendapatkan wajah berseri.
Teh
Selepas membancuh teh, uncangnya jangan pula dibuang, sebaliknya jadikan pupur pada mata untuk membantu menghilangkan lingkaran hitam serta membuat mata lebih rileks dan tidak sembap. Pastikan uncang ini dikeluarkan daripada teko sebelum memasukkan gula ke dalam air minuman anda. Selepas menggunakannya pada mata, keluarkan serbuk teh ini untuk dijadikan baja pada tanaman anda!
Santan
Santan memang enak dijadikan sebagai bahan santapan enak daripada makanan tradisi hinggalah kuih-muih dan pencuci mulut.
Santan juga terkenal khasiatnya jika disapukan pada rambut bahkan sebelum kemunculan pelbagai produk rawatan rambut. Bahan ini antara petua terbaik untuk melebatkan dan menguatkan rambut.
Bahan ini boleh dijadikan pupur rambut khususnya untuk mengatasi masalah rambut kering, pecah dan bercabang. Lakukan pupur ini sebulan sekali kemudian dengan cara meramas rambut dan bilas seperti biasa untuk rambut lebih lembap dan tidak kering.
Madu
Bahan ini tidak dinafikan mengandungi pelbagai manfaat kecantikan dan kesihatan. Baik diminum atau dijadikan pupur, madu memberikan kesan yang baik untuk kulit. Antara petua orang lama adalah dengan menjadikan madu sebagai pupur untuk masalah jerawat. Jerawat akan cepat kering dan tidak berbekas.
Kopi
Kopi juga antara petua menghilangkan kedutan di wajah. Caranya, hampas kopi yang ditapis jangan dibuang. Urut seperti lulur pada wajah secara perlahan. Cara ini dikatakan efektif membuat kulit lebih halus, mengurangkan kedutan dan menjadikan wajah lebih segar.
Selamat mencuba semoga mendatangkan kebaikan dan menambah kecantikan pada kita semua. Yang penting kena rajin baru nampak hasilnya.