Tragedi Batang Kali.

Tragedi Batang Kali: Dua runtuhan dalam 30 minit, ranapkan 3 tapak perkhemahan

Siasatan JKR mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu. - Foto BERNAMA

Siasatan JKR mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati, dua runtuhan cerun berlaku dalam sela masa 20 hingga 30 minit di lokasi kejadian tanah runtuh yang meranapkan tiga tapak perkhemahan Father’s Organic Farm pada awal pagi Jumaat lalu.

JKR dalam kenyataannya, berkata dapatan awal itu diperoleh Pasukan Forensik dari Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR yang melaksanakan pemeriksaan awal di lokasi kejadian.

“Anggaran dimensi kegagalan cerun adalah 70 meter (m) (ketinggian), 120m (lebar) dan 330m (panjang) dengan anggaran isipadu tanah runtuhan 450,000 meter padu. Mod kegagalan adalah kombinasi retrogressive translational dan aliran puing.

“Berlaku dua kegagalan cerun di lokasi yang sama dengan sela masa 20 minit hingga 30 minit di antara keduanya.

“Kegagalan cerun yang pertama berkemungkinan besar berlaku di kawasan perkhemahan. Kegagalan itu mengakibatkan kawasan di kaki (toe) cerun jalanraya menjadi lemah, mengakibatkan berlakunya runtuhan susulan (kedua) yang lebih besar.

“Aliran air bawah tanah yang aktif dikesan di lokasi cerun runtuh terutamanya dalam kawasan tapak perkhemahan,” katanya.

JKR berkata, pemeriksaan visual pada lokasi jalan dan cerun di seksyen berkenaan mendapati longkang jalan sedia ada dalam keadaan bersih dan kering serta tidak tersumbat, yang mana menunjukkan bahawa tiada masalah pada sistem perparitan jalan.

“Bahu Jalan B66 Seksyen 13.0 dari arah Goh Tong Jaya ke Batang Kali telah jatuh dan rosak akibat runtuhan cerun.

“Turut kelihatan rekahan (tension cracks) secara memanjang pada lorong kiri laluan menghala ke Batang Kali, kesan dari runtuhan cerun. Longkang tepi jalan juga didapati telah terputus dan jatuh,” katanya.

Tambah jabatan itu, berdasarkan hasil penemuan itu, adalah dijangka ketepuan tanah dan tekanan air liang tanah yang tinggi akibat pengumpulan air bawah tanah pada bahagian bawah cerun di kawasan perkhemahan telah melemahkan kaki cerun jalan B66 dan seterusnya menyebabkan kegagalan retrogresif kepada cerun jalan.

“Bagi mengelakkan runtuhan susulan, JKR sudah melaksanakan kerja pencegahan pembaikan jangka pendek iaitu menutup segera permukaan cerun yang terdedah dengan tarpaulin sheet.

“Membuat pengalihan air saliran permukaan dan longkang sedia ada dari longkang sebelah kiri ke longkang sebelah kanan untuk mengelakkan air larian masuk ke dalam kawasan runtuhan dan pemasangan tilt sensor bagi pemantauan pergerakan tanah di tapak lokasi berkenaan,” katanya.

JKR turut memaklumkan pihaknya sentiasa prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna.

JKR turut memaklumkan tindakan siasatan tanah terperinci dijangka dilaksanakan di tapak sejurus selesai operasi mencari dan menyelamat ditamatkan.

“JKR sentiasa prihatin akan keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya.

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada awal pagi Jumaat lalu, setakat ini mengorbankan 24 daripada keseluruhan 94 mangsa, 61 orang selamat dan sembilan masih hilang.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.