Cara melegakan sakit tekak

Sakit tekak merupakan simptom yang biasa dalam kalangan populasi kita. Ia mempunyai pelbagai penyebab yang boleh menyebabkan sakit tekak. Sakit tekak boleh merangkumi perasaan kesakitankekeringan ataupun kegatalan pada tekak anda.

Jenis sakit tekak boleh merangkumi bahagian larynx dan pharynx anda. Sakit tekak sering dirawati mengikuti puncanya, contoh jangkitan, alahan, post intubasi ataupun kanser.

1. Kumur Air Garam

Kumur dengan air garam tersenarai sebagai salah satu cara merawat sakit tekak yang berkesan. Garam boleh menarik keluar lendiran pada tisu yang sedang mengalami radang dan kebengkakan akibat proses patologi sakit tekak.

Keadaan ini mampu memberikan kelegaan kepada mereka yang mengalaminya.

Klinik Mayo menyarankan mereka yang mengalami sakit tekak untuk mencampurkan 4 hingga 8 auns air dengan ¼ atau ½ garam.

Kumuran perlu dibuat untuk beberapa saat dan ia perlu dibuang (bukan ditelan). Ulang kaedah ini beberapa kali sehari untuk kesan yang optimum.

2. Menghisap lozenges yang membantu mengurangkan kesakitan.

Gula-gula ini mengandungi menthol, bahan yang boleh membuatkan tekak anda berasa kebas.

Perkara ini boleh memberikan kelegaan daripada sakit tekak atau rasa terbakar di dalam tekak.

Sekiranya anda takut untuk mengambil lozenges, anda boleh mengambil gula-gula biasa yang perlu dihisap (bukan dikunyah).

Pengambilan gula-gula boleh meningkatkan penghasilan air liur dan ia boleh menjadi pelincir kepada tekak anda. Keadaan ini boleh memastikan tekak anda tidak terlalu kering.

Kesan gula-gula mungkin tidak sama dengan lozenges sakit tekak, namun ia boleh digunakan bagi mereka yang tidak mahu mengambil bahan tersebut.

Elakkan daripada memberikan lozenges atau gula-gula kepada kanak-kanak. Mereka boleh tercekik.

3. Gunakan madu untuk hilangkan sakit tekak

Madu boleh disenaraikan sebagai salah satu cara melegakan sakit tekak yang berkesan.

Ia boleh dicampurkan bersama dengan air teh bagi mengekalkan tahap hidrasi anda pada paras optimum.

Sesetengah teh seperti teh hijau turut mempunyai sifat antibakteria, memberikan kelegaan daripada kesakitan, kaya dengan antioksidan dan boleh menurunkan tahap radang di dalam tekak.

Kajian menunjukkan, madu bukan sahaja boleh menghilangkan sakit tekak, ia juga boleh bertindak sebagai agen yang mengawal simptom batuk.

Sekurang-kurangnya, tekak anda tidaklah terasa pedih berikutan batuk semasa alami masalah sakit tekak.

Gunakan madu asli

4. Minum air secukupnya untuk basahkan tekak

Bukan sahaja minum air secukupnya penting untuk kesihatan umum, ia juga boleh membantu melegakan sakit tekak.

Ramai yang tidak tahu pengambilan air mengikut saranan adalah cara merawat sakit tekak yang mudah dan efektif.

Tanpa air yang cukup, badan tidak boleh menghasilkan jumlah air liur dan mukus yang cukup di dalam tekak.

Apabila badan anda kehilangan pelincir semula jadi tersebut, ia akan menyebabkan simptom sakit tekak anda lebih menyakitkan.

Jika anda hendak minum sup atau teh sebagai alternatif kepada air, pastikan ia suam.

Jangan minum air panas berikutan ia boleh membakar tekak anda yang sudahpun sensitif.

5. Mandi dengan mandian wap untuk legakan sakit tekak

Jika rumah anda tidak dilengkapi dengan alat pelembap udara, anda masih boleh melegakan sakit tekak dengan menggunakan lembapan udara melalui mandian wap.

Air mandi suam boleh menghasilkan wap dan jika disedut masuk boleh membantu mengurangkan kebengkakan dan melegakan simptom sakit tekak.

Ia merupakan cara merawat sakit tekak yang sangat mudah dan elegan.

Sekiranya anda tidak mahu mandi, boleh juga buka air panas di sinki dan biarkan sedut masuk wap panas yang terhasil.

Takkan setiap kali rasa sakit tekak kita nak mandi, kan?

6. Tinggikan kepala dengan bantal bagi melegakan masalah sakit tekak

Mungkin anda tertanya-tanya, apakah kaitan di antara tinggikan posisi kepala dengan melegakan sakit tekak?

Ia berlaku secara tidak langsung. Lazimnya, mereka yang mengalami sakit tekak turut mendapat masalah hidung tersumbat.

Keadaan ini boleh menyebabkan anda tidur dengan mulut terbuka untuk bernafas. Bukaan tersebut boleh mengeringkan tekak anda menyebabkan sakit tekak semakin teruk.

Oleh itu, jika anda mengalami masalah hidung tersumbat, cuba tinggikan kepala anda bagi melegakan masalah hidung tersumbat, seterusnya sakit tekak anda.

Dari segi pemakanan pula elakkan makanan pedas, kering dan keras. Contohnya kari ataupun biskut kering.

Anda digalakkan memakan makanan lembut dan senang ditelan. Contohnya bubur, oats ataupun sup.