Tekanan darah tinggi yang berterusan tanpa dirawat boleh merosakkan organ dalaman manusia seperti buah pinggang, jantung dan otak. Buat yang mencari rawatan alternatif tanpa ubat, berikut adalah petua menurunkan tekanan darah tinggi secara tradisional.
- Kurangkan Pengambilan Garam.
Pengambilan Garam perlu dikurangkan kerana Garam mengandungi terlalu banyak kandungan natrium yang mengganggu keseimbangan cecair dalam badan. Untuk mengepam garam yang berlebihan dalam sistem tubuh badan kita, sumber cecair diambil daripada tisu di dalam badan.
“Jadi, jantung perlu bekerja lebih keras lagi untuk mengepam. Bila dah letih mengepam, tekanan darah akan menjadi tinggi. Begitulah analoginya secara mudah difahami”.
2. Minum Air Kelapa Segar
Air kelapa segar mengandungi magnesium dan kalsium. Kedua-dua unsur ini berkaitan dengan fungsi otot biasa dan organ badan yang lain termasuklah jantung.
Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa air kelapa segar boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Cara minum air kelapa untuk menurunkan tekanan darah:
- Minum air kelapa 1 hingga 2 kali sehari.
Waktu pengambilan:
- Pengambilan 1 kali sehari: Waktu pagi.
- Pengambilan 2 kali sehari: Waktu pagi dan malam.
3. Minum Air Rendaman Asam Keping
Asam keping atau asam gelugor rasanya masam dan selalu digunakan dalam masakan terutamnya asam pedas dan laksa.
Cara minum air asam keping:
- Ambil 1 keping asam keping dan basuh.
- Rendam dalam secawan air masak atau air suam.
- Biarkan semalaman.
- Esok paginya, minum air rendaman asam keping tersebut.
4. Minum air Limau Kasturi
Caranya mudah sahaja, iaitu seperti kita nak buat air limau, Cuma tak perlu letak gula dan ais. Bila letak gula dan ais, dah tak jadi air ‘penawar’ dah, tapi dah bertukar jadi air penyedap tekak hehe.
Caranya buat air limau untuk turunkan tekanan darah tinggi:
- Sediakan sebelah biji buah limau nipis atau kasturi.
- Sediakan air suam 1 cawan.
- Perah air limau ke dalam air suam tadi.
- Terus minum masa suam (lebih sedap).
5. Menghidu Buah Limau atau Buah-Buahan Citrus
Ada petua mengatakan dengan menghidu bau limau, oren atau buah-buah citrus pun boleh membantu meredakan tekanan dan stress.
Jadi, mungkin secara tak langsung ia dapat membantu meredakan tekanan darah tinggi bila kadar stress dah berkurang.
Ini adalah kerana buah-buahan citrus ialah antara buah yang mempunyai bau yang dapat membantu meredakan stress, meningkatkan mood yang baik dan meningkatlam fokus.
Sebab itulah buah-buahan citrus dijadikan essential oil yang dijual secara komersil kerana keberkesanannya itu. Cubalah hidu bau limau dan apa-apa buah citrus.
6. Makan Bawang Putih
Bawang putih mengandungi banyak khasiat dan kegunaan untuk meningkatkan kesihatan dan amalan makan bawang putih juga dijadikan sebagai petua menurunkan tekanan darah tinggi.
Biasanya untuk masalah tekanan darah tinggi, bawang putih ini di makan dalam bentuk tablet kerana ia disediakan dalam dos yang sesuai untuk membantu meredakan dan menurunkan tekanan darah tinggi.
Pengambilannya mestilah mengikut dos yang telah ditetapkan dan mendapat nasihat daripada yang pakar.
7. Makan Tembikai Pada Waktu Pagi
Ini dia petua menurunkan tekanan darah tinggi yang paling best sekali iaitu dengan hanya makan buah tembikai!
Siapa tak suka buah tembikai, lagi-lagi pada cuaca panas, kan? Tak sangka, rupanya buah tembikai boleh membantu turunkan tekanan darah tinggi.
Caranya cukup simple:
- Makan sepotong tembikai atau minum secawan jus tembikai pada waktu pagi semasa perut kosong.
8. Makan Buah Berry
Kumpulan buah berry juga dikatakan boleh dijadikan makanan amalan untuk menurunkan tekanan darah.
Pengambilan buah-buahan seperti seperti strawberi, rasberi, bluberi, muberi dan sebagainya adalah salah satu petua menurunkan tekanan darah tinggi yang sangat sedap dan menarik.
Caranya pula begitu mudah. Buah-buah berry ini boleh terus dimakan begitu saja atau boleh dijadikan salad buah atau ditambahkan di dalam yogurt. Sangat senang untuk diamalkan bukan?
Rasa berry yang manis dan sedikit masam pasti tak susah untuk kita menikmatinya.
9. Minum Jus Buah (Ubi) Bit
Buah bit boleh juga dikumpulkan sebagai kumpulan ubi. Dalam kajian yang dilaporkan di Nutrition Journal (2013), minum just ubi bit akan menurunkan tekanan darah setelah 6 jam terutamanya pada kaum lelaki.
Ini adalah kerana ubi bit mengandungi kandungan nitrat yang boleh menurunkan tekanan darah tinggi.
10. Makan Coklat Hitam
Dikatakan, makan sepotong coklat hitam dapat membantu menurunkan tekanan darah. Kenapa ya makan coklah hitam bagus untuk kesihatan?
ini kerana kandungan flavonoid yang terdapat di dalam coklat hitam boleh membantu melebarkan pembuluh darah dan dengan secara automatiknya mampu menurunkan tekanan darah.
11. Senaman Secara Konsisten
Senaman boleh membantu kita menurunkan berat badan, membina otot yang lebih pejal dan menarik, mengeluarkan peluh dan toksin dari badan, menjadikan badan kita lebih segar dan senaman juga adalah antara amalan gaya hidup sihat.
Bersenam boleh dimana-mana saja ikut kesempatan dan kelapangan kita. Tak kiralah di rumah, di gym, berenang dan sebagainya. Yang penting adalah harus bersenam secara konsisten!
12. Amalkan Gaya Hidup Sihat dan Tangani Stress
Antara amalan gaya hidup sihat yang boleh kita lakukan bagi membantu mencegah dan menurunkan tekanan darah tinggi ialah:
- Menjaga pemakanan seharian – mengambil makanan seimbang dan berkhasiat.
- Hindari diri dari perkara yang boleh menimbulkan stress. Jika dah stress, mesti belajar mengawalnya dari berterusan.
- Melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
- Menjaga kebersihan diri dan persekitaran.
13. Berhenti Merokok
Tau tak kenapa merokok sangat membahayakan kesihatan dan kesan merokok juga boleh mengakibatkan masalah tekanan darah tinggi dalam badan?
Apabila merokok, kadar degupan jantung akan meningkat lebih laju berbanding degupan normal. Jadi, bila degupan jantung dah laju dan tak normal, ia menyebabkan tekanan darah juga meningkat naik.
Dalam jangka panjang pula, zat kimia pada tembakau juga meningkatkan tekanan darah dengan merosakkan dinding pembuluh darah dan menyempitkan arteri.
14. Kurangkan berat badan
Semakin bertambah berat badan, maka bertambahlah juga risiko mengalami penyakit tekanan darah tinggi.
Dalam beberapa penelitian yang dijalankan pada tahun 2016, kajian menunjukkan mengurangkan berat badan dapat mengurangi tekanan darah antara 3,2-4,5 mmHg.
Selain itu, menurunkan berat badan juga membantu mengurangkan risiko penyakit lain seperti obesiti.
15. Meningkatkan Aktiviti Fizikal
Apa jua petua sekalipun, antara cara yang berkesan ialah menjaga kesihatan badan dengan meningkatkan aktiviti fizikal. Aktiviti fizikal boleh jadi apa sahaja dan bukan semestinya harus bersenam.
Anda hanya perlu memperbanyakkan pergerakan keseluruhan anggota badan dan minda kita juga akan turut ‘bergerak’. Contoh aktiviti fizikal yang boleh kita lakukan setiap hari atau berkala ialah seperti melakukan kerja rumah, berkebun, berbasikal, menaiki tangga dan apa-apa sahaja hobi yang ada melibatkan pergerakan anggota badan dan otak kita untuk berfikir.
Ia dapat membantu meredakan stress dan menjadikan kita rasa lebih positif dan bersemangat untuk menjalani hari-hari kita.