Dialog Nabi Ibrahim a.s.

Sewaktu membaca Surah al-Shu’ara’ dalam senggang masa antara waktu Maghrib dan  Isya’, hati terasa sangat tersentuh apabila sampai ke ayat 69-89. Entah kenapa, kisah-kisah Nabi Ibrahim ‘alayhi’l-salam dalam al-Quran memang sering buat hati bergetar, rasa dekat sangat dengan Allah..terasa bagaikan diri hadir sama ketika itu.. Perasaan yang sama sewaktu  membaca tentang kisah pencarian baginda alahi’l-salam tentang siapakah sebenarnya Tuhan, mahupun tentang pintanya supaya dihembuskan ruh kepada burung yang telah mati untuk menambahkan keyakinan baginda kepada Yang Maha Esa. Mungkin sebab kisah-kisah Nabi Ibrahim mengajar kita tentang mentawhidkan Allah, tentang kebesaranNya, tentang kekuasaanNya, hati yang dicipta dalam keadaan fitrah bagaikan diketuk, memperingatkan kembali kepada kesaksian azali di alam ruh. Kalimah-kalimah suci ini memberi kita worldview yang sahih tentang keTuhanan, sesuai dengan fitrah kita yang sentiasa cenderung dan dekat dengan Pencipta.
Saya catatkan di sini untuk dikongsi bersama.. Saya gunakan ayat-ayat sendiri sebagai tafsir (bukan terjemahan, harap maklum) yang dipermudahkan untuk mencapai maksud. Tapi kalau faham bahasa Arab pasti lebih terkesan di hati..Terjemahan bahasa Melayu tidak dapat  mendalami makna dan  jiwa sebenar perkataan-perkataan bahasa Arab.. Satu kalimah ‘akifiin tu pun kita dah rasa sedalam mana maksudnya, kalau nak diterjemah  ke dalam Bahasa Melayu, mungkin terpaksa mengunakan 3, 4 patah perkataan sehingga hilang keindahan bahasa asalnya..Itu pun adakalanya belum tentu sampai maksud.
Kembali kepada ayat-ayat al-Qur’an tadi. Allah suruh Nabi Muhammad s.a.w. ceritakan kepada kaum baginda tentang kisah Nabi Ibrahim a.s. Kisah sewaktu baginda a.s. bertanya kepada ayah dan kaumnya, “siapa yang kamu sembah..?” Dengan bangganya, mereka menjawab “Kami menyembah berhala-berhala, dan kami sentiasa beribadat kepada berhala-hala tersebut ( selalu dan sentiasa, tidak pernah tertinggal)”. [terfikir pula tentang diri sendiri. Adakah diri ini boleh dan layak untuk berkata dengan penuh yakin dan bangganya yang diri yang sentiasa lalai ini sentiasa menumpukan sepenuh peribadatan kepadaNya]
Kemudiannya Nabi Ibrahim a.s. bertanya kepada ayahnya dan juga kaumnya, “Adakah berhala-berhala tu dengar apa yang kamu doakan/minta? Adakah berhala-berhala tu boleh memberi manfaat kepada kamu, boleh mendatangkan mudarat kepada kamu?”. Jawab mereka, ” Tidak. Kami tengok nenek moyang kami buat macam ni. Kami cuma ikut nenek moyang kami je..”
Nabi Ibrahim menempelak lagi, ” Adakah kamu perhatikan dan tahu apa yang kamu sembah tu? Apa yang kamu dan nenek moyang kamu yang terdahulu sembah? Verily, they are enemies to me, save the Lord of this Universe..”
Kemudiannya Nabi Ibrahim menjelaskan siapa Rabb al-‘Alamin tu.. :
1. Yang Mencipta diriku dan memberikan aku hidayah.
2. Yang memberikanku makan dan minum ( bukan aje Allah bagi kita rezeki, tapi juga memberi mulut untuk kita makan dan minum, malah turut memberi kita tangan dan keupayaan untuk menyuap makanan ke mulut, memberi mata untuk melihat makanan yang menyelerakan, memberi kita appetite untuk kita rasa nikmatnya makanan dan minuman.., dan macam-macam lagi. Tak tertulis di sini, sebab terlampau banyak kurniaan Allah kepada kita walaupun hanya bab makan dan minum)
3.Apabila aku sakit, Dialah Yang Menyembuhkan (Ma sha’ Allah)
4. Yang Mematikanku dan kemudian menghidupkan semula
5. Yang aku harapkan akan mengampunkan kesalahan-kesalahanku pada hari Pembalasan
6. Ya Tuhanku, kurniakan aku hikmah, dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang soleh [seorang Nabi pun masih tidak putus- putus doanya, sedang diri yang faqir hina sentiasa sombong takbur]
7. Jadikan diriku sebagai orang yang disebut-sebut dan dipuji-puji kebaikannya oleh generasi mendatang
8. Jadikanlah diriku pewaris Jannat’l-Na’im
9. Ampunkanlah ayahku, sesungguhnya dia termasuk dalam golongan yang sesat [mengingatkan diri supaya tidak melupakan doa buat Almarhum ayah dan Ma yang telah pergi]
10. Dan janganlah Engkau berikan kehinaaan kepada diriku [dengan siksaMu] pada hari Kebangkitan. [Amiin..walaupun diri ini tidak layak, tapi kepada siapa lagi nak dipohon pertolongan kalau bukan kepada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Peliharalah diri ini dari siksaMu]
11. Hari yang tidak ada gunanya harta ataupun anak-anak [ di dunia sini, kita bersibuk2 dengan usaha mengumpul harta dan juga sibuk dengan anak-anak, selalunya sampai terlupa menyibukkan diri untuk berfikir tentang nasib di dunia sana]
12. Kecuali mereka yang menemui Allah dengan hati yang salim (suci dari sifat riya’, nifaq dan kufur)

Speak Your Mind

*