PROGRAM BUDI PENYAYANG UTM-CALVARY CHALLENGE HOME (SEKSYEN 07) ‘We Love, We Care, We Share’

Program Budi Penyayang UTM-Calvary Challenge Home bertemakan ‘We Love, We Care, We Share’ telah diadakan pada 23 Mei 2015 di Pusat Kebajikan Anak-anak Yatim Calvary Challenge Home, Kangkar Pulai, Johor. Program ini melibatkan seramai 21 orang pelajar yang mengambil kursus UKQT 1371: Budi Penyayang (Caring Voice) dari seksyen 07 yang ditawarkan oleh Pusat Kursus Umum dan Ko Kurikulum (CGCC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini dikoordinasikan oleh seorang pensyarah. Ia adalah salah satu usaha untuk menerapkan pembelajaran servis atau khidmat komuniti kepada pelajar-pelajar yang mengambil kursus Budi Penyayang dan dalam masa yang sama turut mengambil kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS).

Calvary Challenge Home telah dipilih sebagai lokasi program bagi tujuan mempertingkatkan sifat ihsan dan sifat penyayang dalam diri mahasiswa di samping mendedahkan pelajar kepada situasi rentas agama dan budaya yang sinonim dengan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia. Calvary Challenge Home Kangkar Pulai  merupakan sebuah rumah kebajikan Kristian yang memberikan perlindungan kepada  anak-anak yatim dan miskin  termasuk anak-anak kurang upaya yang berketurunan India dan Cina. Melalui program seumpama ini pelajar didedahkan kepada satu strategi pengajaran dan pembelajaran  yang menggabungkan aktiviti khidmat komuniti dengan pengajaran dan refleksi bagi pemperkayakan pengalaman pembelajaran, meningkatkan kemahiran insaniah,  menanamkan perasaan bertanggungjawab kepada masyarakat dan memperkukuhkan hubungan sosial.

 

KANDUNGAN PROGRAM

Program sehari ini merupakan program motivasi yang melibatkan keseluruhan pelajar sebagai pengendali program. Seramai  40 orang anak yatim menyertai program dan seramai 5 orang staf Calvary Challenge Home turut menjadi pemerhati.  Pelbagai acara diatur bagi meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan semangat bekerjasama dalam diri anak-anak tersebut. Program dimulai dengan senamrobik yang pada mulanya agak hambar kerana anak-anak yatim rata-ratanya bersifat pemalu dan agak pasif. Namun pelajar-pelajar UTM yang telah melakukan persediaan awal sebelum program dengan mengkaji karekter anak-anak yatim melalui pembacaan dan pencarian maklumat melalui internet ternyata berhasil menyelesaikan permasalahan tersebut melalui pelbagai bentuk senaman yang membuatkan mereka kemudiannya bertukar menjadi  lebih selesa. Selepas bersarapan, anak-anak yatim dipecahkan kepada lapan kumpulan yang dibimbing oleh fasilitator-fasilitator untuk aktiviti-aktiviti seperti  Ice Breaking, Spaghetti Challenge dan Explorace. Acara Masterchef Challenge menjadi acara kemuncak apabila anak-anak yatim diberi peluang mengoptimumkan kreativiti diri bagi menyediakan makanan dan minuman petang untuk kumpulan masing-masing.  Ternyata setelah hampir seharian bersama-sama pelajar-pelajar UTM, mereka menjadi lebih berkeyakinan dan tidak kekok untuk menyalurkan kreativiti mereka melalui program Masterchef. Sewaktu masa senggang, pelajar-pelajar UTM mengambil kesempatan untuk membantu anak-anak yatim menyelesaikan kerja-kerja sekolah di samping memberi nasihat supaya bersemangat untuk belajar dan berjaya. Program berakhir dengan majlis penutup, tayangan montaj dan penyampaian hadiah yang disampaikan oleh Encik Murthy, Penyelia  Calvary Challenge Home. Respons sangat positif turut diberikan oleh beliau terhadap pelajar-pelajar UTM dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Beliau dan juga beberapa orang anak yatim telah menyuarakan harapan supaya program sebegini terutamanya yang menfokuskan aspek pendidikan dapat diteruskan di Calvary Challenge Home.

 

Pengalaman menganjurkan program seumpama ini bukan sahaja memberi kesan kepada anak-anak yatim di Calvary Challenge Home tetapi turut memberikan pengalaman dan pengajaran bermakna kepada pelajar-pelajar UTM. Di sini mereka belajar untuk menyesuaikan diri, lebih bersikap empati di samping memantapkan kemahiran berkomunikasi dengan anak-anak yang kurang bernasib baik dan kurang upaya dari kaum yang berbeza. Mereka juga belajar untuk bersikap proaktif dan pantas bertindak menyelesaikan permasalahan-permasalahan yang melibatkan sikap dan tingkah laku anak-anak yatim yang adakalanya di luar jangkaan mereka. Penglibatan diri dalam program di institusi yang dikendalikan oleh orang Kristian berketurunan India turut memberikan pengalaman baru kepada pelajar-pelajar yang hampir kesemuanya terdiri daripada kaum Melayu beragama Islam. Pada kesempatan tersebut mereka berpeluang  untuk mempraktiskan pembelajaran TITAS di bilik kuliah khususnya mengenai toleransi beragama tanpa menimbulkan sebarang sensitiviti atau melanggar prinsip beragama.  Antara cabaran yang mereka hadapi ialah untuk memilih tempat menunaikan solat, menjawab persoalan-persoalan mengenai agama yang sesekali ditimbulkan oleh anak-anak serta cara berhadapan dengan anjing yang berkeliaran sewaktu aktiviti berlangsung.

 

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, program Budi Penyayang UTM-Calvary Challenge Home telah berjaya mencapai matlamatnya untuk melibatkan pelajar-pelajar UTM secara aktif dalam program bersifat khidmat komuniti. Ia juga telah memberikan kesedaran dan keinsafan kepada pelajar-pelajar bahawa mereka perlu mengambil inisiatif untuk mengusahakan kesinambungan program yang lebih baik kepada anak-anak yatim di Calvary Challenge Home.  Mereka juga berjaya mengenal pasti masalah-masalah yang dialami oleh anak-anak tersebut dan percaya  bahawa anak-anak tersebut perlu  didorong untuk meningkatkan semangat belajar dan mempunyai jati diri yang teguh bagi menghindarkan diri daripada terlibat dengan pengaruh-pengaruh tidak baik.