Seiring dengan sambutan Hari Warga Emas dan Hari Kanak-kanak Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Sayang Kamu’ yang diadakan pada 3 Oktober 2015 di PERSADA Johor Bahru, Johor, Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan telah dipilih sebagai sasaran program khidmat komuniti yang melibatkan seramai 24 orang pelajar yang mengambil kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Program ini diadakan pada 21 November 2015 (Sabtu), bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 1.00 petang.
Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas Baru, Johor Bahru, Johor merupakan sebuah rumah kebajikan yang memberikan perlindungan kepada warga emas yang sepenuhnya beragama Islam. Program bersama warga emas bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran insaniah, sifat ihsan, sabar dan penyayang di samping memupuk kesedaran dalam diri mahasiswa/i tentang tanggungjawab memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka serta mengeratkan hubungan inter generasi antara golongan muda dan warga emas.