Program Khidmat Dakwah Komuniti Orang Asli, Tanah Abang, Mersing

Program Khidmat Dakwah Komuniti Orang Asli telah diadakan  pada 8-11 April 2015 di kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing, Johor. Ianya adalah program koloborasi antara Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (FTI), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ) dan  Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan dibantu oleh Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Di samping itu, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut memberikan kerjasama dalam menjayakan program. Tuan Haji Md. Buranudin Bin Tibek, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, JAIJ merasmikan majlis pembukaan manakala Prof. Madya Dr. Ramli Bin Awang, Timbalan Dekan (Akademik) FTI merasmikan majlis penutupan.

`           Seramai 20 orang pelajar UTM yang mengambil kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) terlibat sebagai peserta dengan diiringi oleh dua orang pensyarah dan dua orang staf  FTI. Mereka turut dibimbing dan didokong oleh lebih kurang 30 orang staf JAIJ yang diketuai oleh Ustaz Mohd. Rafi Bin A. Latiff,  Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Unit Ukhuwwah) dengan dibantu oleh Ustaz Solihin, PMOA Kampung Orang Asli Tanah Abang. Bagi tujuan menyantuni masyarakat orang asli, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuk penyerahan keluarga angkat, ziarah masyarakat, program motivasi, qiamullail, tazkirah, tayangan video, senamrobik, sukaneka, jamuan makan malam, cabutan bertuah, demonstrasi masakan dan perlawanan persahabatan badminton serta bola sepak. Pada malam penutup, masyarakat orang asli turut mempersembahkan tarian sewang yang merupakan sebahagian daripada kebudayaan tradisional mereka.

Secara keseluruhannya, program seumpama ini berjaya mendedahkan pelajar kepada satu strategi pengajaran dan pembelajaran yang menggabungkan aktiviti khidmat komuniti bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran, meningkatkan kemahiran insaniah, menanamkan perasaan bertanggungjawab kepada masyarakat dan memperkukuhkan hubungan sosial rentas agama dan budaya.

Speak Your Mind

*