Solat Istikharah

Ada yang hantar sms bertanya bagaimana cara nak solat istikharah. Solat istikharah adalah solat sunat yang dilakukan untuk memohon agar Allah memberi petunjuk untuk kita membuat pilihan dalam urusan kita. Selalunya dilakukan  oleh masyarakat Melayu dalam urusan pemilihan jodoh. Tetapi sebenarnya solat istikharah ini sepatutnya dilakukan untuk setiap urusan penting kita, bukan setakat urusan perkahwinan. Bak sabda Nabi Muhammad s.a.w: Tidak akan menyesal orang yang beristikharah dalam menentukan urusannya.

Cara

Sepertimana solat sunat biasa. Dua rakaat. Boleh dilakukan pada bila2 masa (sebaiknya tidak dilakukan pada waktu2 yang diharamkan utk solat sunat).

Niat: Sahaja aku menunaikan solat istikharah 2 rakaat kerana Allah ta’ala.

Bacaan: rakaat pertama: Al-Fatihah dan al-Kafirun
rakaat kedua: Al-Fatihah dan al-Ikhlas

(Boleh juga dibaca surah2 lain selain yang disebutkan selepas membaca al-Fatihah. Kalau tak hafal, baca al-Fatihah aje pun memadai)

Selepas memberi salam, beristighfar dan membaca al-Fatihah, hendaklah dibaca doa ini:

Doa Solat Istikharah

Ya Allah, hamba memohon agar memilihkan untukku mana yang baik menurut ilmuMu dan hamba memohon kepastian dengan ketentuanMu dan hamba memohon dengan kemurahanMu yang agung. Kerana sesungguhnya Engkau sahaja yang Maha berkuasa sedangkan hambaMu ini tidak mempunyai kemampuan . Engkau Maha Mengetahui sedangkan hambaMu ini tidak mengetahui.. Dan Engkaulah Tuhanlah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu yang tersembunyi.

Ya Allah jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini terbaik buatku dalam perkara agamaku, penghidupanku di dunia dan kehidupan akhiratku, maka taqdirkanlah dan permudahkanlah ianya untukku serta curahkanlah melaluinya keberkatan bagiku.

Sebaliknya jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini bukannya yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, penghidupanku di dunia dan kehidupan akhiratku, maka jauhkanlah ia daripada ku, dan jauhkan aku daripadanya. Takdirkanlah yang terbaik buatku. Kurniakanlah kebaikan di mana saja ia berada dan jadikanlah aku ini orang yang redha atas ketentuanMu.