Transkrip Jawi ke Rumi Kitab Thamarat al-Muhimmah Raja Ali Haji (3)

Ditranskrip oleh Akmaliza Abdullah

 

Fasal 3

Pada menyatakan memeliharakan nama bermula tiada dapat tiada raja-raja dan orang besar-besar itu memeliharakan namanya yakni memeliharakan nama yang jahat supaya disebut orang baik adapun sejahat-jahat nama kepada raja-raja dan kepada orang besar-besar itu iaitu nama zalim dan nama bodoh dan nama lalai dan nama penakut adapun nama zalim sekeji-keji nama raja dan nama orang besar-besar dan erti zalim itu pada lughah KELAMkalam (kalim)terbit daripada zalima yazlimu zulman fahuwa zalim ism fa’il yang kelam yakni kelam daripada membezakan haq dengan batil dan pada istilah syarak dan dengan makna aniaya yakni melakukan atas seorang bukan dengan sebenarnya sama ada daripada hukuman atau kelakuan yang menyalahi dengan hukuman Quran dan hadis dan ijmak sama ada pada nyawa dan badan orang atau pada harta benda orang atau pada kemaluan orang. Lawan zalim itu adil iaitu menghukumkan atau melakukan sesuatu atas seorang dengan patutnya dengan muwafakat dengan Quran dan hadis dan ijmak atau melakukan suatu yang dibilangkan indah dan patut serta manfaat kepada orang yang benar dan kepada orang yang mempunyai mata hati syahadan adalah pekerjaan zalim itu dua bahagi pertama menzalimi dirinya kedua menzalimi orang yang lain adapun menzalimi dirinya seperti mengerjakan ia akan pekerjaan yang membawa mudarat kepada akalnya ayau kepada badannya seperti dikerjakannnya dengan dirinya berbuat maksiat atau melelahkan dirinya dengan permainan yang sia-sia atau makan minum ia yang memberi mudarat kepada akal dan badan kepada badan atau mensia-siakan umurnya dengan tiada mengerjakan kebajikan maka iaitulah menzalimi dirinya adapun menzalimi orang lainnya maka iaiitu terlebih maklum seperti yang telah tersebut kepada makna zalim iaitu syahadan apabila kita ketahuilah nama yang jahat dan nama yang baik maka tatkala kita berkehendak memeliharakan nama supaya mendapat nama yang baik tiada dapat tiada hendaklah kita ketahui tertib segala kejahatan hati yang membawa kepada anggota yang zahir iaitu yang lagi akan disebutkan pada khatimah kitab ini in sha’ Allah ta’ala adanya intaha.