Refleksi Khidmat Komuniti Tanah Abang (2)

BismillahirrahmaaNirrahim. Syukur ke hadrat ALLAH S.W.T kerana dengan izin-Nya saya telah diberikan ruang dan peluang untuk menyiapkan tugasan refleksi program bersama penduduk orang asli di perkampungan orang asli yang terletak di Kampung Tanah Abang, Mersing, Johor. Alhamdulillah, dengan kerjasama semua pihak yang melibatkan JAKIM, JAIJ, JAKOA dan peserta dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tidak lupa juga jasa dan kerjasama daripada penduduk kampong Tanah Abang sendiri yang memeriahkan lagi program ini. Program ini telah diadakan selama 4 hari 3 malam dan penyertaan seramai 20 orang daripada pelajar serta 2 orang pensyarah daripada UTM. Bagi pihak Jabatan Agama Islam lebih kurang 30 orang yang melibatkan diri dalam program ini yang dipimpin oleh Ustaz Rafi.

Objektif program ini dijalankan adalah salah satunya untuk merapatkan hubungan antara masyarakat luar dengan masyarakat orang asli disamping menjalankan urusan dakwah terhadap masyarakat orang asli. Selain itu, mempertingkatkan lagi ilmu kepimpinan jati diri dalam diri mahasiswa dalam membentuk keyakinan diri pada masa hadapan. Mahasiswa juga dapat berkongsi pengalaman bersama dengan masyarakat orang asli di Kampung Tanah Abang. Pengetahuan atau informasi yang saya dapat tahu mengenai kampung Tanah Abang, mereka merupakan kaum orang asli ‘jakun’ yang sudah lama menetap di kampung ini. Secara umum nya, apa yang dapat saya katakana, kehidupan masyarakat orang asli jauh ketinggalan dalam pelbagai bidang. Jadi, mereka ini perlu dibantu dan diberi perhatian yang bersungguh-sungguh disamping meninggitarafkan hidup mereka serta memperkenalkan ajaran islam dengan lebih giat dalam kalangan mereka. Bangsa ini bukan sahaja memerlukan bimbingan secara terus, malah bangsa ini yang telah berevolusi lebih lama daripada bangsa Melayu memerhati dan menilai orang Melayu dengan imej islamnya.

Sepanjang program ini dijalankan, pelbagai cabaran dan halangan yang saya hadapi tetapi dibalas dengan banyak ilmu pengetahuan, pengalaman manis, suka duka yang dapat saya alami dalam program ini. Terdapat banyak aktiviti dan program yang dijalankan sepanjang program antaranya menziarahi keluarga, sukaneka, program motivasi, makan beramai-ramai, cabutan bertuah, perlawanan persahabatan badminton dan bola sepak, program ceramah agama dan banyak lagi. Terdapat pelbagai ragam yang dapat dilihat antara masyarakat orang asli dengan mahasiswa UTM dengan gelak ketawanya semasa menjalankan aktiviti. Jadi, untuk refleksi saya ini, Insyallah, saya akan menceritakan dan berkongsi pengalaman bersama dengan masyarakat orang asli sepanjang program ini dijalankan.

 

HARI PERTAMA

 

Pada hari pertama program, iaitu pada hari rabu, kami daripada UTM bertolak pada waktu pagi dan sampai di Kampung Tanah Abang pada pukul 12.30 tengah hari. Perasaan saya mula-mula apabila masuk ke dalam kampung tersebut agak tidak yakin dan gemuruh untuk mengadakan program bersama orang asli di sana kerana tempat tinggal mereka memang jauh daripada pekan dan bandar. Suasana dan pemandangan dikelilingi dengan pokok-pokok besar dan kecil dan rumah-rumah mereka tidak begitu besar yang cukup hanya untuk berteduh daripada panas dan hujan. Tempat tinggal mereka agak daif kerana rumah mereka hanya dibuat dengan gabungan kayu dan daun-daun dan ada juga terdapat segilintir rumah yang dibina dengan batu-bata serta simen atas sumbangan daripada pihak jabatan agama islam Johor. Hati saya apabila melihat tempat tinggal mereka agak sebak di dada kerana terdapat juga kehidupan sebegini tanpa kita sedari. Suasana sekeliling dipenuhi dengan anjing-anjing dan memang sukar untuk dapat lihat ayam atau kucing. Bagi mereka, anjing tersebut perkara biasa kerana budaya ini memang dari dulu lagi dan kekal sehingga sekarang. Kami berkumpul di dewan serbaguna dan diberi taklimat oleh Ustaz Rafi berkenaan dengan aktiviti sepanjang program ini dijalankan.

 

Kami diberi tugasan pertama iaitu mengagihkan barang-barang untuk disumbangkan kepada penduduk orang asli di kampung tersebut. Sebelum bergerak ke rumah masing-masing, kami dibahagi kepada tiga kumpulan untuk diserahkan sedikit sumbangan kepada penduduk kampung. Perasaan gementar hadir dalam hati kerana ini lah pertama kali saya bersemuka dan berbual dengan masyarakat orang asli tapi.

Saya dan beberapa rakan lain serta wakil daripada JAKIM diarah untuk menziarah di kawasan perumahan tengah. Kami hanya berjalan kaki melawat rumah ke rumah disamping memberi sedikit sumbangan kepada mereka atas penghargaan kesudian menyertai dalam program ini. Disamping memberi sumbangan, kami tidak lupa untuk berkenalan antara satu sama lain. Ada yang berasa malu dan ada yang senang hati berbual dengan kami. Ada juga rumah yang kami lawati tiada tuan rumah kerana bekerja. Saya dan rakan-rakan juga mengambil kesempatan menjemput mereka dan menceritakan program ini untuk memeriahkan lagi program ini. Alhamdulillah, kami sempat menziarahi kesemua rumah yang diberikan kepada kami dan perasaan kami sangat gembira kerana mereka sangat bekerjasama dengan kami. Pada malamnya, telah diadakan majlis perasmian yang telah dirasmikan oleh wakil rakyat dan terdapt juga acara yang diminati ramai dimana juga acara yang menarik perhatian penduduk kampung orang asli iaitu acara cabutan bertuah. Selepas acara itu, disusuli dengan pembahagian keluarga angkat penduduk kampung Tanah Abang kepada kami mahasiswa UTM seramai 20 keluarga. Pada waktu itu, saya tidak kenal lagi siapa keluarga angkat saya, agak berdebar juga untuk menanti keluarga saya. Bedebar semakin terasa apabila nama saya dipanggil akhir sekali dan saya telah mendapat keluarga yang sangat bahagia…

Manis sekali anak pasangan muda keluarga saya nie yang berusia 5 tahun. Namanya Qistina dan panggilannya ialah kak naya. Malu orangnya adik ni, tetapi kakak saya cakap kak naya nak abang, tak nak akak, jadi sebab saya dapat keluarga ini. Hehe…Alhamdullilah, saya bersyukur kerana dipertemukan dengan keluarga yang bahagia ini sebab saya dapat merasai kehidupan mereka yang penuh dengan pahit manisnya, lurus bengkoknya, tetapi mereka bahagia sampai sekarang. Abang saya berusia 28 tahun dan kakak saya 25 tahun. Abang saya ini anak jati Terengganu dan kakak saya memang berasal daripada kampung ini. Kakak saya merupakan darah kacukan dimana ibunya Cina dan ayahnya orang asli tetapi dari kecil kakak saya dijaga oleh mak angkatnya. Ibu bapa kandungnya bukan beragama islam tetapi keluarga angkatnya beragama islam. Kedua-dua pasangan ini dijodohkan kata kakak saya sewaktu mereka bekerja di sebuah kilang di negeri Pahang. Abang saya sekarang bekerja di ladang pisang berdekatan di kampung itu dan membuat saya sangat terkejut kata abang saya dia bekerja di ladang tersebut hanya seramai 4 orang dengan seluas 15 ekar. Saya berasa amat bangga dengan abang saya ini kerana berusaha penat lelah mencari rezeki untuk menampung keluarganya. Kakak saya seorang suri rumah dan dia sangat peramah dan baik orangnya. Pada malam itu, keluarga saya bertuah kerana mendapat cabutan bertuah yang disampaikan oleh pengarah program ini, saudara Iskandar. Selepas acara cabutan bertuah, kami bersama penduduk kampung disajikan dengan makanan yang lazat yang dimasak oleh pihak JAKIM, JAIJ dan JAKOA. Terima kasih diucapkan kepada mereka.

HARI KEDUA

Pada hari keduanya, kami semua menuju ke rumah keluarga angkat masing-masing dan makan tengah hari bersama dengan kelurga angkat. Pada masa itu rumah keluarga saya hanya ada kakak saya dan kak naya sahaja. Abang saya bekerja pada masa itu. Sebelum kami makan bersama, saya sempat berbual dan menyoal sedikit perkara kepada kakak saya berkaitan dengan cara hidup mereka, budaya, latar belakang, pengalaman hidup dan banyak lagi. Banyak perkongsian yang dapat saya ketahui. Selepas beberapa jam, makanan tiba di rumah saya yang dibawa oleh Ustaz Solihin. Kami makan bersama-sama dengan adik-adik kecil di kawasan rumah keluarga saya. Seronok melihat mereka makan dan saya kagum walaupun adik-adik ini masih kecil, mereka tidak memilih makanan malah mereka makan dengan enaknya dan habis makanan tersebut. Saya pulang dari rumah saya dalam pukul 1 lebih tengah hari. Pada petangnya, kami mengadakan perlawanan badminton bersama dengan pelajar UTM, penduduk kampung dan pihak jabatan agama Islam dimulakan dengan perempuan seterusnya pihak lelaki. Mereka menunjukkan bakat mereka yang begitu hebat dan sambutan pada petang itu sungguh memberansangkan. Perlawanan badminton ini dimenangi oleh pihak JAKIM dan tempat kedua jatuh kepada penduduk kampung. Tidak lupa juga daripada wakil UTM yang hanya mendapat tempat ketiga yang dimenangi oleh saya sendiri, hahaha, dan Epul.

 

PERLAWANAN BADMINTON

Pada malamnya, acara tayangan multimedia yang diisi dengan video-video yang sangat menarik dan menyentuh hati. Tujuannya adalah untuk memberi sedikit motivasi kepada ibu bapa dan anak-anak terhadap susah payah kehidupan, pengorbanan ibu bapa, hormat menghormati satu sama lain, tidak cepat berputus asa, sentiasa menolong orang walaupun susah dan banyak lagi pengajaran serta nilai murni yang tersirat dalam video pada malam tersebut. Sambutan sekali lagi membanggakan kami kerana ramai yang turut hadir untuk menyaksikan tayangan tersebut. Makan malam turut disediakan pada malam tersebut. Sebelum makan, cabutan bertuah juga diadakan pada malam tersebut dan seramai 10 penduduk kampung membawa pulang hamper yang besar ke rumah. Fuhh, hari yang memenatkan juga tetapi sangat bermakna dan banyak pengalaman yang saya dapat dan macam biasa setiap malam kami mahasiswa dan pensyarah berkumpul mengadakan post mortem untuk membincangkan masalah-masalah yang dihadapi dan menyelesaikannya.

Figure 9 Post mortem

Figure 10Post mortem

HARI KETIGA

Pada hari ketiganya, program dimulakan dengan sukaneka, antara acara yang begitu menarik dan seronok. Sambutan yang begitu hangat kerana ramai kanak-kanak dan ibu bapa yang hadir memeriahkan dan menggamitkan lagi suasana pada pagi yang indah tersebut. Acara sukaneka dimulai dengan senamrobik yang diketuai oleh abang-abang UTM yang menjadi fasilitator hadapan mereka. Banyak acara yang diadakan seperti ‘makin jauh makin sayang’, bawa bola pingpong atas sudu, cari gula-gula dalam tepung dan banyak lagi tidak kira daripada dewasa mahupun kanak-kanak yang turut serta. Sukaneka dimeriahkan lagi dengan sebuah gerai yang menunjukkan demo atau cara-cara memasak murtabak maggi. Sambutan daripada kalangan ibu sungguh memberansangkan. Mereka tertarik dengan menu tersebut.

Pada petangnya pula, telah diadakan perlawanan persahabatan antara penduduk kampung dengan pelajar UTM. Permainan yang penuh dramatik itu diakhiri dengan jaringan yang agak jauh bezanya iaitu 5-1 yang dimenangi oleh penduduk kampung. Pada malamnya pula, acara perasmian penutup yang dirasmikan oleh wakil daripada UTM dimana penutup untuk program khidmat komuniti di Kampung Tanah Abang ini. Seperti biasa acara cabutan bertuah untuk kali terakhir dilakukan dan seramai 10 orang penduduk yang hadir yang tidak membawa pulang dengan tangan yang kosong yang mendapat hamper-hamper yang agak besar. Semasa majlis tersebut, kami dimeriahkan dengan sebuah persembahan daripada Kampung Tanah Abang yang dipanggil persembahan ‘sewang’. Persembahan tersebut dipersembakan oleh beberapa kanak-kanak cilik yang manis yang diserikan dengan pakaian tradisional di kampung tersebut. Sambutan semasa majlis tersebut amat menggalakkan dan dapat dilihat kesan daripada beberapa hari program dimana mereka berasa sungguh seronok dan gembira menyertai program ini bersama-sama dengan kami. Penduduk juga diberi sumbangan beras dan saguhati daripada pihak jabatan agama Islam atas kerjasama yang amat memberansangkan sepanjang program dijalankan. Dipenghujungnya kami semua disajikan dengan makanan yang enak dan lazat daripada masakan katering. Pelbagai jenis makanan yang ada semasa malam tersebut.

 

HARI KEEMPAT

Pejam celik pejam celik, sudah tiba hari terakhir saya dan rakan-rakan di Kampung Tanah Abang sempena program khidmat komuniti yang penuh erti bagi kami semua. Kami bergotong-royong membersihkan kawasan dewan dan sekeliling sebelum pulang. Saya berasa terharu apabila penduduk kampung sudah tunggu di dewan menanti kepulangan kami ke UTM. Pagi-pagi lagi mereka sudah berada di dewan untuk berjumpa anak angkat masing-masing. Saya sungguh terharu apabila keluarga angkat saya turut hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada saya dan rakan yang lain. Abang saya sanggup mengambil cuti pada hari itu demi berjumpa dengan kami. Abang saya juga menghadiahkan kami 2 buah guni yang beriisi pisang berangan yang dipetik dari tempat kerjanya. Saat-saat terakhir kami dengan keluarga masing-masing terasa sebak di dada kerana walaupun hanya kenal beberapa hari sahaja tetapi kami sudah menganggap mereka semua keluarga kami. Kami sempat bergambar dengan mereka sebelum berangkat pulang dan bergelak ketawa walaupun ingin meninggalkan kampung mereka. Banyak pengalaman manis yang terpahat dalam fikiran kami di Kampung Tanah Abang ini. Harap kami berjumpa lagi di hari yang lain dan jutaan terima kasih kepada keluarga angkat saya serta semua penduduk Kampung Tanah Abang yang menjadi sebahagian keluarga kami. Insyaallah.

Konklusi yang dapat saya katakan sepanjang program ini dijalankan, banyak pengajaran dan nilai murni yang dapat saya pelajari bersama-sama dengan penduduk kampung, pegawai-pegawai jabatan agama Islam, pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan saya. Saya dapat mengenali cara kehidupan mereka dengan lebih mendalam kerana sebelum ini saya hanya pernah melihat sahaja masyarakat orang asli ini tetapi melalui program ini saya sendiri sudah mempunyai keluarga orang asli. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada terutamanya Ustazah Akmaliza yang banyak membantu kami iaitu anak-anak ustazah yang nakal ini dalam menjayakan program ini dan sesekali tidak pernah penat mengajar dan membentuk kami untuk menjadi insan yang berguna dunia dan akhirat. Tidak lupa juga daripada wakil jabatan agama Islam yang diketuai oleh Ustaz Rafi yang menjemput kami untuk melaksanakan program ini disamping menunjuk ajar kami dalam pelbagai aspek. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya yang banyak membantu dan memberi kerjasama yang amat cemerlang dalam menjayakan program ini. Hanya ALLAH yang dapat membalas jasa anda sekalian. Amin. Assalammualaikum.

 

Mohamad Nizam Idris

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

x