Refleksi Khidmat Komuniti Kg Tanah Abang (5)

Pada tanggal 08 April 2015, telah diadakan satu program berbentuk kemasyarakatan di Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing. Program ini adalah hasil usaha sama antara pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAIJ), serta Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini adalah satu program serampang dua mata kerana di samping membantu masyarakat di komuniti Tanah Abang, kami juga mengajak mereka untuk lebih mendekati Islam dengan berdakwah menggunakan medium yang berbeza iaitu berdakwah dengan menggunakan akhlak.

Pada dasarnya, orang asli di Kampung Tanah Abang ini ada yang sudah memeluk Islam, namun begitu pegangan mereka masih belum kuat di mana mereka masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dari mereka yang lebih arif terutamanya dari golongan ustaz serta ustazah yang pastinya lebih arif tentang agama. Atas dasar itu, timbul rasa tanggungjawab di kalangan pihak JAIJ untuk mengadakan program serta aktiviti yang menarik untuk memberi pendedahan kepada orang asli ini tentang keindahan Islam. Segala-galanya haruslah dilakukan secara perlahan-lahan dan berhati-hati ibarat menarik rambut dalam tepung memandangkan kebanyakan mereka masih kuat berpegang kepada kepercayaan nenek moyang mereka. Tidak ketinggalan juga ada sebahagian mereka yang telahpun menganut agama Kristian.

Pihak JAIJ telah menganjurkan program Khidmat Komuniti Orang Asli Kampung Tanah Abang dengan kerjasama Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini telah berlangsung selama empat hari bermula 08 April sehingga 11 April.

Sebelum bermulanya program, pihak JAIJ dan UTM telah mengadakan mesyuarat bagi melantik ahli jawatankuasa yang akan mengelola program di sana. Ahli jawatankuasa yang terlibat telah bertungkus lumus menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan untuk dibawa dan kelengkapan yang akan digunakan sepanjang program berlangsung.

Kami telah dibahagikan kepada setiap unit masing-masing bagi membantu kelancaran program dan saya telah dipilih untuk memegang jawatan selaku Ketua Unit Pengangkutan dan Penginapan. Tugas saya adalah untuk menghubungi bas yang akan digunakan bagi perjalanan pergi dan balik kami ke program tersebut. Selain itu, saya juga diberi tanggungjawab untuk mendapatkan beg tidur yang akan digunakan untuk tidur bagi memastikan setiap peserta mendapat rehat yang sempurna sepanjang program itu berlangsung. Perkara ini sangat penting kerana dapat membantu saya mempelajari cara-cara berurusan dan berkomunikasi dengan orang penting.

Bermula seawal jam 9.00 pagi, kami telah berkumpul di depan Blok U5 Kolej Perdana UTM Johor, seperti yang telah dipersetujui bersama dengan pemandu bas yang akan membawa kami ke kampung Tanah Abang. Sebelum bertolak ke sana, kami telah bersama-sama mengangkat barang yang diperlukan untuk dibawa ke sana meskipun itu bukanlah dibawah tanggungjawab unit. Di sini dapat dilihat semangat kerjasama dipupuk dalam diri setiap peserta untuk saling membantu antara satu sama lain sehingga selesai semua kerja. Sebelum berangkat pergi, kami dikehendaki mengangkat sejumlah besar beras ke dalam bas dan kerja ini memerlukan kerjasama yang baik antara semua peserta. Kami bersama-sama membantu mengangkat beras meskipun pada awalnya kami tidak mengenali antara satu sama lain. Setelah selesai, kami pun bertolak ke destinasi iaitu Kampung Tanah Abang, Mersing.

Alhamdulillah, perjalanan kami ke sana tidak ditimpa sebarang musibah dan kami selamat sampai di sana kira-kira jam 2.00 petang. Setibanya di sana, saya agak terkejut melihat suasana di sana yang jauh berbeza dengan kampung-kampung yang pernah saya lawati sebelum ini. Hal ini demikian kerana, kampung mereka dipenuhi sekumpulan anjing yang banyak sehingga menimbulkan rasa gerun dalam diri sebilangan peserta yang terlibat. Kami disambut baik oleh pihak JAIJ dan juga beberapa anak orang asli yang agak sedikit kaget melihat kehadiran kami.

Kami pun menurunkan semua barang yang dibawa dan meletakkannya di dalam dewan yang telah disediakan. Kemudian, kami menjamu selera juadah yang telah disediakan iaitu Nasi Ayam. Dek kerana kelaparan, saya mengambil dua bungkus Nasi Ayam memandangkan ada lebihan yang tinggal. Jadi untuk mengelakkan pembaziran, saya pun mengambil nasi yang lebih dan saya makan sehingga habis. Alhamdulillah, saya berasa kenyang dengan rezeki yang dikurniakan. Setelah selesai menjamu selera, kami pun diberi peluang untuk merehatkan diri di dalam bilik yang telah disediakan. Meskipun bukan kami yang memandu bas pada ketika itu, namun kami berasa agak letih.

Setibanya di bilik, kami agak terkesima kerana ruangan yang disediakan untuk kami tidur bukanlah di dalam bilik rehat, sebaliknya kami hanya diberikan sebuah bengkel yang telah dibentangkan tikar yang dijadikan alas untuk kami tidur pada waktu malam. Di awal2 program lagi kami telah mendapat satu pengajaran yang cukup bermakna, bersyukur apa yang ada. Meskipun hanya diberikan bengkel namun kami tetap bersyukur kerana masih ada tempat untuk kami berteduh dari hujan dan panas sepanjang kami berkampung disini. Setelah meletakkan semua barang kami di dalam bilik, kami pun menunaikan solat Zohor secara berjamaah dengan diimamkan oleh pengarah program kami sendiri.

Kami diminta untuk berkumpul semula di dalam dewan setelah selesai menunaikan solat Zohor untuk mendengar sedikit taklimat yang akan disampaikan oleh pegawai daripada JAIJ berkenaan perjalanan program kami sepanjang kami berada di kampung Tanah Abang ini. Taklimat yang diberikan agak ringkas dan padat dan kami semua memahami setiap intipati yang dikatakan oleh pegawai berkenaan. Perkara pertama yang kami lakukan adalah kami bekerjasama dengan pihak JAIJ untuk menyiapkan frame yang akan diberi kepada semua ketua keluarga pada majlis penutup. Saya tidak dapat membantu rakan-rakan yang lain melakukan persiapan tersebut memandangkan saya bertugas selaku pengacara majlis untuk majlis perasmian pembukaan pada malam tersebut. Saya bersama Ketua Unit Protokol melakukan persiapan untuk majlis perasmian pembukaan bagi memastikan majlis pada malam itu berjalan dengan lancar. Di sinilah saya mempelajari ilmu baru, iaitu ilmu mengacara majlis memandangkan ini adalah kali pertama saya menjadi pengacara majlis.

Pada pukul 5 petang, kami semua telah menngadakan program ziarah sekampung dimana program ini adalah bertujuan untuk beramah mesra bersama penduduk kampung di samping menerangkan kepada penduduk kampung tentang tujuan program kami serta mengajak penduduk kampung untuk turut serta memeriahkan program yang pihak kami rancangkan. Kami berpecah kepada 3 kumpulan dan setiap kumpulan di ketuai oleh penduduk kampung itu sendiri yang menunjukkan kami jalan ke rumah-rumah keluarga angkat kami serta penduduk kampung yang lain. Setelah selesai program, saya terpaksa bergegas semula ke dewan kerana saya merupakan pengacara majlis bagi malam perasmian pembukaan. Saya bersama beberapa orang rakan yang lain melakukan persiapan bagi memastikan majlis perasmian pembukaan dapat berjalan dengan lancar.

Pada waktu malam, kami semua berkumpul di dewan untuk majlis perasmian pembukaan. Selaku pengacara majlis, saya sedikit berdebar memandangkan ini adalah pengalaman pertama saya menjadi pengacara untuk majlis yang formal. Peluh gemuruh mula menitik tatkala saya berdiri di hadapan para penonton dan majlis dimulakan dengan acara cabutan bertuah. Saya amat terharu dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh para penonton dan ini membuatkan saya bertambah lebih semangat untuk meneruskan acara. Tidak lama selepas itu majlis pun bermula dan simbolik perasmian majlis juga selesai dilaksanakan tanpa sebarang masalah. Majlis pada malam itu berjalan dengan agak lancar dan setelah selesai majlis, kami mengadakan post-mortem bagi menambah baik aturcara serta mengingatkan semua peserta tentang tentatif program untuk keesokan harinya. Lebih kurang jam 12 malam kami semua pulang ke bilik untuk merehatkan badan dan tidur.

Keesokan harinya iaitu pada hari Khamis, kami bangun awal pagi bagi menunaikan solat sunat Tahajud secara berjemaah dan seterusnya melakukan solat Subuh secara berjemaah. Setelah itu, kami mendengar sedikit kuliah Subuh yang disampaikan oleh Dr. Nurazmallail. Setelah itu kami yang lelaki kembali semula ke bilik untuk menyambung tidur manakala bagi peserta perempuan pula mereka bersama-sama beberapa wanita penduduk kampung melakukan senam robik di dewan. Pada pukul 10 pagi, kami semua pergi ke rumah keluarga angkat masing-masing dan kami pun berbual-bual, bertanyakan tradisi penduduk kampung, kehidupan seharian mereka dan banyak lagi. Saya mengikut rakan saya pergi ke rumah keluarga angkatnya kerana saya malu untuk berbual sendiri secara berseorangan dengan keluarga angkat saya, sehingga menyebabkan keluarga angkat saya menunggu kehadiran saya di rumah. Saya berasa serba salah dan ketika saya sampai di rumahnya, dia telahpun makan makanan yang sepatutnya kami makan bersama. Kami kemudian nya berbual-bual dan mereka menghidangkan air Nescafe untuk kami minum. Saya bukanlah seorang yang menggemari Caffein, dan saya memang tidak pernah minum air Nescafe itu. Namun demi menjaga hati keluarga angkat, saya terpaksa meminum air itu. Pada jam 1.30 petang, saya meinta izin untuk berangkat pulang.

Setelah selesai menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak, kami merehatkan diri di dalam bengkel dan bersiap-siap untuk perlawanan badminton bersama pegawai JAIJ dan penduduk kampung. Ternyata umur bukanlah penghalang kerana rata-rata pegawai JAIJ dan penduduk kampung lebih tua jika dibandingkan dengan kami para peserta. Namun mereka lebih handal dan akhirnya perlawanan akhir badminton kategori lelaki menemukan pegawai JAIJ dan penduduk kampung yang akhirnya dimenangi oleh pegawai JAIJ.  Pada waktu petang nya pula, telah diadakan perlawanan persahabatan bola sepak antara pegawai JAIJ dan penduduk kampung Tanah Abang. Saya dan beberapa rakan lain dipilih untuk bersama-sama pegawai JAIJ memperkuat pasukan mereka. Satu perlawanan yang sengit ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan yang menyaksikan serangan demi serangan dilakukan ke gawang masing-masing bagi memperoleh gol. Namun, nasib tidak menyebelahi kami apabila kami tewas dengan jaringan 2 berbalas 4, namun saya agak gembira kerana saya berjaya menyumbangkan satu gol.

 

Pada waktu malam, kami sekali lagi mengadakan cabutan bertuah namun sebelum itu telah diadakan satu tayangan video berunsurkan nilai-nilai murni dan para penonton diberi soalan berkaitan video yang ditayangkan dan hadiah diberikan kepada mereka yang berjaya menjawab soalan dengan tepat. Video yang ditayangkan ternyata sangat menyentuh hati dan ada yang hampir menitiskan air mata kerana rata-rata video yang ditayangkan banyak menyentuh soal kekeluargaan dan ini sangat memberi kesan kepada para penonton yang hadir. Setelah selesai sahaja tayangan video, acara pada malam itu diteruskan dengan acara cabutan bertuah dan saya sekali lagi sangat terharu dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk kampung. Mereka seolah-olah tidak sabar menantikan nombor mereka dipanggil untuk menerima hadiah yang bakal diberikan. Setelah selesai semua, penduduk kampung serta semua peserta menjamu juadah yang telah disediakan oleh pihak pegawai JAIJ. Kami sekali lagi mengadakan post-mortem pada malam itu setelah tamat semua acara bagi menerangkan tentatif pada keesokannya harinya memandangkan esok adalah hari yang sangat sibuk bagi kami pihak penganjur. Setelah selesai semua kami pun pulang ke bilik untuk tidur kerana jam telahpun menunjukkan hampir pukul 1 pagi dan kami memang telah kepenatan.

Seperti biasa, kami bangun pada awal pagi untuk menunaikan solat Tahajud dan Subuh secara berjemaah dan mendengar kuliah Subuh. Setelah itu, kami tidak tidur kerana ada acara yang sangat penting iaitu acara sukaneka bersama anak-anak kampung Tanah Abang serta sedikit senam robik bersama penduduk kampung. Kami pun bersama-sama penduduk kampung pergi ke padang untuk meneruskan program yang telah dirancang. Kami sangat terkejut pada awalnya kerana anak-anak penduduk kampung ini dilihat begitu bersemangat. Mereka telah menunggu dihadapan bilik kami seawal jam 7 pagi kerana ingin turut serta dalam program yang kami rancangkan. Saya begitu kagum melihat semangat serta kerjasama dari penduduk kampung ini. Kami meneruskan acara dengan senaman dan seterusnya sukaneka. Mereka semua dilihat begitu seronok menyertai aktiviti yang telah kami sediakan.  dengan penduduk kampung. Ternyata mereka bukanlah tandingan bagi kami, kami tewas tipis 1-5.

Pada waktu malamnya pula, tibalah acara kemuncak yang ditunggu-tunggu, majlis perasmian penutupan Program Khidmat Komuniti Kampung Tanah Abang. Segala persiapan telah dirancangkan dengan begitu rapi. Namun keadaan menjadi sedikit kelam kabut pada awalnya apabila dif kehormat tiba lebih awal dari masa yang dijangka. Saya selaku pengacara pada malam itu agak sedikit gelabah namun hasil tunjuk ajar dari Ust Rafi, keadaan berjaya dikawal. Majlis diteruskan dengan persembahan tarian sewang serta montaj sepanjang program ini berlangsung. Setelah selesai majlis rasmi tersebut, kami sekali lagi meluangkan masa bersama keluarga angkat masing-masing untuk kali terakhir. Kami meluangkan masa mengambil gambar bersama. Saya agak terkejut pada malam itu kerana saya mendapat sebuah tanjak yang dianyam dari daun mengkuang oleh salah seorang dari keluarga angkat. Saya agak terharu kerana saya bukanlah anak angkatnya, namun dia memberikan saya tanjak itu kerana katanya dia meminati saya. Saya terharu kerana dalam kalangan ramai peserta lain, saya seorang yang terpilih mendapat tanjak itu. Saya memakai tanjak itu sehingga tamat majlis pada malam itu. Kami tidur dengan begitu nyenyak memandangkan program telahpun tamat dan tinggal menunggu masa untuk pulang pada keesokan harinya.

 

Pada keesokan harinya, kami masih lagi menunaikan solat Subuh bersama-sama dan bersiap untuk berangkat pulang. Selepas bersarapan, kami bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar dewan dan tempat tidur kami. Sekali lagi saya tersentuh melihat ada segelintir penduduk kampung serta keluarga angkat yang datang ke dewan untuk sama-sama mengiringi kami berangkat pulang. Suasana pilu seketika kerana mereka seolah-olah keberatan untuk melepaskan kami. Kami beramah mesra untuk kali yang terakhir sebelum bas tiiba lebih kurang jam 9 pagi. Setelah meletakkan barang di dalam bas, kami bersalaman dengan penduduk kampung dan bersedia untuk berangkat pulang. Jujur saya katakan ini adalah program keluarga angkat terbaik yang pernah saya ikuti dan pastinya pengalaman yang kami peroleh di sini sangat berharga. Sampai di UTM, kami makan bersama di Scholar’s Inn sebelum pulang ke kolej kediaman masing-masing. Sungguh pengalaman kami bersama masih tidak dapat dilupakan dan sehingga sekarang kami masih menghubungi satu sama lain dan kami telah pun merancang untuk mengadakan satu pertemuan kembali nanti.

 

~Syafiq~