Refleksi Khidmat Komuniti Nur Ehsan (4)

  1. Sebelum program ini dijalankan, kami telah melakukan perancangan dengan teliti dalam masa dua bulan sebelum tarikh program tersebut. Pelbagai persiapan telah dijalankan seperti pengagihan tugas bagi setiap jawatankuasa, menyediakan pelbagai aktiviti yang sesuai, makanan yang sesuai, persiapan hadiah serta lawatan awal ke rumah orang tua tersebut.

 

Apabila tibanya hari untuk menjalankan program tersebut, kami berkumpul pada awal pagi di Mak Ngah Cafe sebelum bergerak ke Pusat Jagaan Nur Ehsan dengan bas. Perjalanan kami ke sana mengambil masa kira-kira 30 minit. Sebelum tiba di destinasi, kami telah diturunkan di sebuah stesen minyak berhampiran. Kemudian, kami telah menaiki sebuah van milik pusat jagaan tersebut untuk ke destinasi. Tibanya kami di sana, kami disambut mesra oleh penghuni pusat jagaan tersebut. Tetapi, segalanya adalah luar daripada jangkaan kami. Kami menjangkakan program tersebut akan dijalankan di dalam sebuah dewan, tetapi kami hanya menjalankannya di satu ruang di hadapan pusat jagaan tersebut yang merupakan tempat bagi mereka beristirahat. Walaubagaimanapun, program tetap diteruskan. Masing-masing mengambil peranan membuat persiapan sebelum program dimulakan. Perjalanan program sedikit berbeza daripada perancangan awal. Berdasarkan pemerhatian saya, penghuni pusat jagaan tersebut semuanya dijaga dengan baik dan keperluan mereka dijaga dengan baik. Semasa program dijalankan, kebanyakannya kelihatan gembira dengan aktiviti yang dijalankan. Dalam kegembiraan mereka itu, terdapat kesedihan yang terpendam kerana anak-anak mereka yang tidak sanggup menjaga mereka dan menghantar mereka ke situ. Namun ada daripada mereka yang hanya dihantar ke situ untuk beberapa hari sahaja kerana anaknya ingin menunaikan umrah dan ada juga yang dihantar kerana anaknya memang tidak dapat menjaga orang tuanya atas sebab kesihatan si anak yang tidak mampu mengurus diri apakan pula mengurus orang tuanya.

 

Setelah berakhir program yang dijalankan, kami mengemas semua peralatan dan perkakasan lalu dibawa naik ke atas bas untuk pulang ke kampus. Tibanya di kampus, kami makan tengah hari di Mak Ngah Cafe beramai-ramai sebelum pulang ke kolej kediaman masing-masing.

 

 

  1. Setelah program berakhir, terdapat beberapa perkara yang telah saya sedari dan pelajari tentang diri saya sendiri. Saya dapati saya dapat menjadi pengerusi majlis bagi acara tidak formal di mana saya tidak pernah mengetahui akan perkara itu sebelum ini.

 

 

  1. Mengenai realiti kehidupan masyarakat, memang ada segelintir masyarakat kita yang membuang ibu bapa mereka ke rumah orang tua. Saya sudah menyedari akan kewujudan perkara ini kerana kes seperti ini banyak diceritakan di siaran telivisyen. Tetapi saya tidak pernah lagi beinteraksi secara langsung dengan mangsa-mangsa kes pembuangan ini. Majoriti penghuni pusat jagaan tersebut adalah ibu bapa yang telah dibuang oleh anak-anak mereka yang tidak sanggup menjaga orang tuanya. Saya tidak suka dengan perbuatan anak-anak mereka tersebut di mana perbuatan mereka itu boleh disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan. Salah satu isu mendesak dalam komuniti tersebut ialah mereka dalam kesedihan dan memerlukan belaian kasih sayang daripada anak mereka. Aktiviti yang kami jalankan ada menyentuh isu tersebut. Kami telah berusaha sedaya upaya untuk menggembirakan mereka dengan aktiviti yang kami jalankan.

 

 

  1. Terdapat pelbagai andaian yang boleh ditimbulkan mengenai isu pembuangan ibu bapa ini. Antaranya ialah ibu bapa tidak mengasihi anak-anaknya lalu anak-anaknya juga tidak mengasihi ibu bapanya. Mungkin juga anak-anak itu tidak sanggup untuk menanggung beban dan kepayahan untuk menjaga ibu bapa yang sudah uzur. Andaian yang terakhir ialah anak-anak sangat sibuk dengan pekerjaan hinggakan tiada masa dapat diluangkan untuk menjaga ibu bapa.

 

Banyak pengajaran yang diperoleh daripada program yang kami jalankan ini. Salah satu daripadanya ialah kita perlulah mengasihi kedua ibu bapa kita dan menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Kita juga perlulah menjaga kedua ibu bapa kita dengan penuh kasih sayang seperti mana mereka menjaga dan membela kita sejak dari hari pertama kita lahir ke dunia. Selain itu, kita juga mestilah sentiasa mencari masa untuk diluangkan bersama ibu bapa walaupun kita sangat sibuk dengan hal lain. Akhir sekali, kita perlulah meletakkan keutamaan kepada ibu bapa di atas sekali dibandingkan dengan perkara-perkara lain yang keutamaannya datang selepas ibu bapa.

 

Saya telah dapat mengaplikasikan pengajaran yang saya peroleh daripada program ini ke dalam kehidupan seharian saya. Selepas program ini dijalankan, saya telah mula merasakan perasaan sayang terhadap ibu bapa saya bertambah lebih banyak daripada sebelumnya. Setiap hari, saya akan mencari kekosongan masa untuk menelefon kedua ibu bapa saya di rumah dan bertanyakan khabar. Akhir sekali, apa-apa masalah yang saya hadapi, masalah mengenai ibu bapa saya akan utamakan dan selesaikan terlebih dahulu sebelum saya menyelesaikan masalah-masalah yang lain.

 

Saya ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang sebab anak-anak sanggup membuang ibu bapa mereka. Antara maklumat yang saya dapat kongsikan dengan orang lain ialah kes seperti ini memang berlaku dalam kehidupan kita dan ia boleh berlaku dalam masyarakat yang dekat dengan kita atau golongan orang yang dekat dengan kita. Saya juga dapat berkongsi maklumat bahawa pusat jagaan memang sangat mengalu-alukan apa sahaja bentuk sumbangan daripada masyarakat untuk membantu mereka mengurus serta menyediakan keperluan asas bagi penghuninya.

 

Kami telah memberi sumbangan beras kepada mereka. Antara sumbangan lain yang boleh diberikan ialah wang ringgit, pakaian dan tempat tidur yang selesa. Sumbangan ini dapat meringankan beban bagi pusat jagaan yang menanggung segala kos bagi semua penghuninya.

 

 

  1. Banyak kemahiran insaniah yang telah dapat saya tingkatkan melalui program ini. Antaranya ialah dalam aspek kemahiran berkomunikasi. Saya dapat belajar cara berkomunikasi dengan golongan yang berumur dengan lebih baik. Saya juga dapat menyampaikan maklumat dengan lebih baik.

 

Selain itu, saya juga dapat tingkatkan kemahiran insaniah dalam aspek pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. Saya dapat berfikir secara kritis apabila segala-galanya adalah di luar jangkaan awal dan saya perlu menyesuaikan diri dengan suasana tersebut serta menyelaraskan aktiviti untuk dijalankan. Saya juga dapat menyelesaikan sesuatu masalah dengan cara yang lebih baik.

 

Akhir sekali, saya juga dapat tingkatkan kemahiran insaniah dalam aspek kemahiran kerja berpasukan. Kami dapat menjalankan program ini dengan jayanya dengan semangat kerja berpasukan yang tinggi yang telah ditunjukkan oleh rakan-rakan. Saya telah dapat bekerja dengan baik dalam pasukan.

 

~Harris~

Speak Your Mind

*