Refleksi Khidmat Komuniti Tanah Abang 1

KHABAR ANGIN, MITOS DAN REALITI

Maafkan saya ustazah andai kata apa yang dituliskan saya ini bukan satu refleksi, tapi percayalah apa yang saya rasa semuanya ikhlas dan jujur daripada hati ini. Pada saat dikhabarkan yang kami diperlukan dalam 10 orang sukarelawan daripada kelas kami, saya berdoa dan agar saya tak terpilih untuk menyertai khidmat masyarakat ini. Bukan apa, pada pandangan kebanyakan orang, apabila disebut sahaja Orang Asli atau Orang Asal perkara pertama yang dibayangkan oleh mereka ialah tidak berpakaian dan tidak bertamadun. Kehidupan mereka pula serba kekurangan dari pelbagai aspek ; tinggal di dalam hutan, berburu, menangkap ikan, warna kulit yang sedikit sawo matang dan banyak lagi. Tapi sebenarnya ramai yang tidak menyedari sebenarnya ramai masyarakat Orang Asli pada hari ini sudah semakin maju dan bukan seperti apa yang digambarkan. Mereka mempunyai kenderaa sendiri, menggunakan gadget yang canggih seperti telefon pintar dan mempunyai Astro di rumah ; yang pada pandangan saya sudah cukup menggambarkan bahawa mereka tidak sebegitu ketinggalan zaman atau dianggap kolot.

 

ANTARA PERMINTAAN DAN HARAPAN

Masa semakin suntuk, demi menggalas amanah dan harapan seorang pensyarah, kami pelajar perempuan tabahkan hati, ikhlaskan hati untuk menyertai program khidmat masyarakat yang berkolaborasi bersama Jabatan Agama Islam Johor.

 

 

Setibanya di sana, berat kaki untuk melangkah keluar daripada perut bas dan bertapak ke tanah perkampungan OA Tanah Abang itu selepas melihatkan betapa banyaknya anjing yang dipelihara oleh mereka. Kerja-kerja memunggah dan menyusun barang dilakukan dengan pantas. Pada petang itu kami membuat lawatan ke rumah-rumah penduduk kampong dengan membawa sedikit buah tangan. Kebanyakan rumah yang kami lawati penghuninya pemalu dan tidak banyak cakap. Bukan kerana tidak memahami Bahasa Melayu, tetapi kerana mereka tidak mempunyai keyakinan dan merasa kerdil di mata masyarakat luar. Bagi saya yang bukan kali pertama menjejakkan kaki ke rumah-rumah penduduk OA hanya beriak biasa meskipun ada sedikit terdetik di hati rasa geli untuk menapak masuk ke rumah mereka. Astaghfirullah

 

SEDERHANA TETAPI BAHAGIA

Keluarga angkat yang saya dapat terdiri daripada seorang ayah yang mempunyai dua isteri yang merupakan adik beradik. Seluruh keluarga besarnya tinggal di rumah yang sama. Saya ingat lagi, kali pertama saya berbual dengan isteri pertama ayah. Dia seorang yang pemalu dan tidak banyak cakap sehinggakan saya ketandusan idea untuk mengajaknya berbual. Sepatah ditanya sepatahlah dijawabnya. Pada hari ketiga saya mencuba lagi untuk berbual dengan emak angkat yang pertama namun masih sama. Alhamdulillah ayah angkat saya seorang yang peramah. Dia tidak kekok untuk berbual bersama. Anak-anaknya pula seperti kebanyakan penduduk kampong yang lain, pemalu dan tidak banyak bercakap.

Pada malam terakhir kami di sini, ayah angkat saya telah memberi saya sesuatu yang tidak saya tahu namanya. Boleh dibuat sebagai perhiasan dan juga satu permainan yang mencabar minda. Hasil seninya halus dan teliti. Persilangan rotan yang diikat menggunakan  tali sangat mencuri perhatian saya. Terima kasih ayah.

 

PERUBAHAN KE ARAH KEBAIKAN

Kita. Manusia yang diciptakan daripada tanah. Kita. Di mata Allah manusia hanya dibezakan melalui keimanan dan ketakwaannya. Namun mengapa manusia, hamba yang lemah dan hanya bergantung sepenuhnya kepada Sang Pencipta mendabik dada dan meletakkan taraf perbezaan?

Banyak manfaat yang dapat dijadikan iktibar sebenarnya apabila kita menyertai khidmat masyarakat sebegini. Bukan yang tersurat yang diambil, tetapi yang tersirat. Betapa kuatnya budaya atau pegangan masyarakat OA kepada kepercayaan nenek moyang mereka. Jika kita, masyarakat luar rajin untuk membuat komunikasi dua hala atau merapatkan jurang di antara mereka dan kita sudah pasti mereka tidak terabai. Betapa tabahnya hati mereka dalam menempuh dugaan dan mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Walau mereka hidup dalam serba kekurangan, namun mereka gembira dengan apa yang mereka ada. Ia juga sedikit sebanyak kesedaran dalam diri saya. Benarlah kata pepatah Inggeris “ Don’t judge the book by its cover”. Kita hanya menilai mereka dari segi luaran tanpa mengetahui bahawa disebalik kehidupan mereka itu tersimpan 1001 rahsia. Suka duka tangis tawa. Hargai orang lain jika mahu diri anda dihargai. Pengalaman yang takkan saya lupakan dan menjadi satu pembelajaran yang tidak boleh didapati di dalam kelas. Alhamdulillah. Assalamualaikum

 

Farhana