Pada 15 September 2015, kami telah menjadi sukarelawan sebagai mutawif untuk kanak-kanak seluruh tadika di Johor bertempat di Masjid Sultan Iskandar. Sebelum itu, kami diberi penerangan mengenai Simulasi Haji Cilik 2 dan menggambarkan keadaan ketika berlangsungnya simulasi haji ini. Kesemua tadika di Johor terlibat dengan Simulasi Haji Cilik 2 ini. Pada hari tersebut, ramai kanak-kanak tadika yang tiba sebelum simulasi haji ini dilakukan. Setiap seorang mutawif akan mengurus sebuah tadika bersama-sama guru pengiring tadika tersebut. Saya mengendalikan sebuah tadika yang mempunyai bilangan murid 10 orang sahaja. Ketika melakukan simulasi haji, pada awalnya mereka seperti seronok ingin melakukan simulasi haji ini. Sesetengah antara mereka banyak menyoalkan mengenai simulasi haji yang sedang mereka lakukan pada ketika itu.
Setelah selesai keenam-enam rukun haji mereka lakukan, saya beralih ke sekolah tadika seterusnya. Sekolah tadika kali ini mempunyai bilangan anak murid yang agak ramai iaitu seramai 30 orang dan diiringi dengan beberapa guru bagi tadika tersebut. Bilangan murid yang ramai agak sukar untuk dikawal dan saya bernasib baik kerana guru pengiring bagi tadika ini agak ramai sedikit. Mereka kelihatan gembira dan tidak sabar-sabar untuk melakukan simulasi haji ini. Tetapi oleh kerana keadaan pada waktu itu sesak kanak-kanak tadika yang ramai, cuaca yang agak panas menyebabkan tumpuan dan semangat mereka untuk melakukan simulasi ini berkurangan dan mereka ingin pulang dengan cepat.
Alhamdulillah, simulasi haji ini berjalan dengan lancar diatas usaha mutawif-mutawif dalam melakukan tugas-tugas mereka dan guru-guru pengiring bagi setiap tadika tidak berputus asa untuk memberi semangat kepada anak-anak murid mereka agar terus melakukan simulasi sehingga keenam-enam rukun haji dilakukan oleh mereka.
Ibadah haji adalah merupakan salah satu ibadah dan perintah yang terpenting daripada Allah kepada umat Islam, ini adalah kerana ibadah haji itu sendiri adalah merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Sebagaimana yang kita maklum solat itu tidak akan sempurna jika tanpa rukun yang lengkap, begitu jugalah Islam tidak akan sempurna tanpa ibadah haji ini. Oleh itu, adalah sangat perlu dititik beratkan amalan ibadah haji ini dapat dilakukan mengikut tertib atau sunnah yang betul agar ianya diterima oleh Allah s.w.t. dan hendaklah dititik beratkan sejak kecil lagi.
Saya suka melakukan sukarelawan sebagai mutawif kerana dengan melihat pelajar-pelajar tadika ini melakukan haji, saya rasa seolah-olah sedang melakukan haji di Mekah dengan cara pemakaian mereka seperti menunaikan haji menggunakan ihram bagi lelaki dan telekung bagi perempuan. Tujuan simulasi haji cilik ini dilakukan adalah untuk memberi pendedahan yang sebenar mengenai suasana sebelum dan ketika menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan haji bagi yang berkemampuan kepada pelajar-pelajar tadika untuk memberi pengetahuan dan praktikal mengenai haji. Selain itu, memastikan mereka memahami mengenai konsep sebenar rukun Islam kelima itu.
Sesetengah pelajar mempunyai sifat ingin tahu mengenai perkara yang sedang mereka lakukan. Dalam masa itu juga, kita boleh mengimbas kembali mengenai kefahaman kita mengenai haji ini dan memberi keterangan kepada mereka mengenai rukun-rukun semasa menunaikan haji. Ketika mengendali kanak-kanak tadika ia merupakan satu cabaran bagi saya kerana sikap mereka yang masih keanak-anakkan malahan pada masa itu juga keadaan cuaca yang panas membuatkan mereka tidak tahan lagi untuk melakukannya tetapi oleh disebabkan cikgu-cikgu bagi tadika masing-masing memainkan peranan mereka sehingga kanak-kanak tersebut bertahan untuk menyelesaikan rukun haji sehingga rukun haji yang terakhir. Bagi saya, program ini antara latihan praktikal yang amat berguna kepada kanak-kanak kerana mereka pastinya akan mengingati setiap latihan yang diajar dan pernah dilakukan sewaktu mereka kecil jika mereka ingin menunaikan haji pada suatu masa nanti. Semua orang mengharapkan inisiatif kecil ini dapat membentuk generasi ummah yang bersatu padu tanpa mengira darjat dan bangsa dan menjadikan Islam sebagai pegangan hidup mereka dan inisiatif ini akan terus dijalankan setahun sekali untuk melahirkan kanak-kanak yang memahami rukun-rukan haji dan menarik minat mereka untuk menunaikan haji yang sebenar di Tanah Suci Mekah.
Berdasarkan pengalaman saya dengan menjadi sukarelawan sebagai mutawif bagi Simulasi Haji Cilik 2 ini, pengajaran yang saya dapati adalah ibu bapa hendaklah mendedahkan anak-anak mereka mengenai hal-hal agama dan membenarkan mereka mengikuti aktiviti-aktiviti seperti Simulasi Haji Cilik 2 ini agar mereka mengingati cara-cara melakukan haji ketika mereka membesar nanti dan ingin ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji bersama orang yang mereka sayangi. Di samping itu, saya berkongsi pengetahuan dengan kanak-kanak tadika tersebut mengenai cerita Nabi Ibrahim menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail kerana Beliau pernah mengatakan beliau akan melakukan apa sahaja untuk mendekatkan dirinya kepada Allah termasuk menyembelih anak sendiri. Ketika beliau berada di Baitul Muqoddas, beliau memohon kepada Allah agar dikaruniakan seorang anak. Kemudian Allah pun mengabulkan permohonan beliau lalu beliau dikarunia seorang putra yang tampan dan sholeh bernama Ismail dari isetri beliau Hajar. Pada umur Nabi Ismail 9 tahun, Nabi Ismail disembelih oleh ayahnya Nabi Ibrahim tetapi dengan kuasa Allah, pisau yang digunakan untuk menyembelih Nabi Ismail tidak dapt memotong leher Nabi Ismail. Hal ini kerana, ia merupakan satu ujian yang Allah berikan kepada Nabi Ibrahim.
Antara aspek kemahiran insaniah yang dapat pertingkatkan melalui program Simulasi Haji Cilik 2 ini ialah kemahiran kerja berkumpulan. Kemahiran ini mempertingkatkan tahap kerja sama sepasukan. Pada mulanya, saya bersama ahli kumpulan saya memegang satu tadika untuk melakukan simulasi haji bersama mereka. Setelah kanak-kanak tadika ini selesai melaksanakan kesemua rukun-rukun haji, kami bekerjasama dengan setiap seorang memegang sebuah tadika untuk melakukan program simulasi ini. Hal ini kerana, bilangan sukarelawan sebagai mutawif tidak mencukupi jika dua orang mutawif mengendali sebuah tadika. Hal ini boleh menyebabkan program ini akan lewat berakhir daripada masa yang ditentukan. Oleh itu, kami pecahkan kepada seorang mutawif mengendalikan sebuah tadika bersama guru-guru yang mengiringi anak murid mereka sendiri agar program ini berjalan dengan waktu yang pantas dan anak murid mereka mengetahui apa yang sedang mereka lakukan ketika itu. Melalui kemahiran ini, saya dapat mempertingkatkan sikap kerjasama sepasukan dan sikap toleransi antara satu dengan yang lain agar program dapat berjalan dengan lancar.
Selain itu, kemahiran berkomunikasi merupakan salah satu aspek kemahiran insaniah. Dengan kemahiran ini, saya dapat mempertingkatkan cara saya berkomunikasi kerana dahulu saya kurang berkomunikasi dengan orang luar. Ketika berkomunikasi dengan guru-guru pengiring bagi setiap tadika, saya agak kaku untuk berkomunikasi tetapi saya mencuba untuk memberanikan diri berkomunikasi dengan mereka dan anak-anak murid mereka. Oleh kerana itu, saya dapat mempertingkatkan keyakinan diri saya ketika berkomunikasi dengan orang lain lagi-lagi kursus yang sedang saya pelajari lebih banyak akan berurusan dengan orang luar. Melalui program seperti ini lah dapat meyakinkan diri untuk berhadapan dengan orang luar.
~Ezzati~
Speak Your Mind