Bersempena dengan musim haji tahun 1436 hijjrah (2015), Persatuan Tadika Negeri Johor bersama-sama Masjid Negeri Kota Iskandar, Kolej Pengajian Islam Johor dan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah membawa anak-anak kecil dari tadika-tadika islam sekitar Johor melakukan simulasi haji di Masjid Negeri Kota Islandar, Nusajaya Johor pada 15 September 2015. Program simulasi haji cilik merupakan satu inisiatif yang amat bijak bagi mengajar anak-anak kecil ini mencintai Rukun Islam ke-lima pada umur yang sangat muda. Moga-moga tersemat dalam hati mereka dan menyimpan impian besar untuk ke Tanah Suci Mekah kelak.
Sehari sebelum itu, pada 14 September 2015 telah berlangsung satu khusus khas program Simulasi Haji Cilik 2 ini bagi para mutawif dan mutawiffah seramai 29 orang mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia yang terdiri daripada pelajar Fakuti Pendidikan (SPPR dan SPPQ). Penerangan tentang program ini telah diberikan oleh Encik Hazman Bin Sapawi selaku setiausaha Persatuan Tadika Johor merangkap Exco Persatuan Tadika Islam Malaysia hampir selama satu jam setengah. Pengisian khusus adalah berkenaan dengan pengenalan mengenai program tersebut yang mana ianya merupakan julung-julung kali diadakan di Johor bersama-sama 33 buah tadika islam seluruh Johor. Program ini juga dilakukan serentak dengan program simulasi haji di Shah Alam. Menurut beliau, program ini telah mendapat tempat dalam kalangan ibu bapa kerana banyak memberi impak positif dalam perkembangan minda dan pengetahuan anak-anak mereka mengenai ibadah haji.
Selain itu, dalam sesi penerangan tersebut beliau telah menyatakan hal-hal berkenaan pengurusan program yang mana terdapat lebih kurang “ tujuh check point” yang mesti dilalui oleh para peserta ini sebelum bergelar “Haji Cilik”. Seterusnya beliau turut menyentuh hal berkenaan cara-cara mengawal dan mendapatkan perhatian para peserta. Hal ini penting kerana tahap tumpuan kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding orang dewasa yang mana mereka mudah berasa bosan. Walaubagaimanapun, kanak-kanak amat peka dengan persekitaran mereka. Justeru, kami para mutawif mesti menggunakan pelbagai teknik termasuk menggunakan persekitaran mereka untuk menarik minat para peserta agar memberi tumpuan dengan apa yang kami sampaikan dan apa yang mereka lakukan. Berikutnya beliau telah berkongsi tentang cara-cara melakukan ibadah haji. Perkongsian ini amat penting dan berguna agar objektif program ini tercapai.
Program bermula setelah ketibaan para peserta pertama. Mereka telah dibekalkan dengan “passport” yang akan di cop setelah selesai menjalankan setiap rukun haji dan beg sandang selain lengkap berpakain ihram. Setiap tadika di kawal atau di ketuai oleh dua orang mutawif. Pertama sekali mereka akan melakukan niat ihram sebaik sahaja turun daripada bas (setelah selesai pendaftaran). Kemudian disusuli dengan wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah, melontar tiga Jamrah, bertahalul, Sa’I, dan tawaf Wada’. Setiap pergerakan mereka dari satu “check point” ke “check point” yang lain akan diselangi dengan laungan takbir. Di setiap “check point” juga disediakan alat bantu yang menyerupai keadaan di tanah suci. Alat bantu itu seperti tiga jamrah (aqobah, wusta dan u’la), batu kerikil, gunting bagi slot bertahalul, kawasan sai’ dari safa ke marwah dan replika Qaabah untuk slot tawaf.
Program tersebut berakhir hampir pada jam 11.00 pagi. Apa yang menariknya, saya dapat melihat pelbagai ragam dan gelagat para peserta dan turut juga para pengiring mereka yang terdiri daripada guru-guru tadika berkenaan sepanjang program itu berlangsung. Para peserta kelihatan letih tetapi masih bersemangat melakukan aktiviti di setiap “check point”. Amalan bantu membantu dalam kalangan guru-guru juga terserlah apabila mutawif tidak dapat mengawal para peserta. Hal ini sangat membantu dalam kelancaran program berkenaan. Ada juga di antara guru-guru ini bersifat pentingkan diri dimana mereka cuba untuk menyelesaikan setiap aktiviti segera dengan memotong giliran tanpa memikirkan perasaan orang lain. Hal ini jelas menunjukkan bahawa ia merupakan teladan yang tidak baik khususnya kepada anak-anak kecil kerana mereka adalah guru yang menjadi role model kepada anak-anak didik. Setiap perbuatan yang ditunjukkan akan dilihat dan ditiru oleh mereka.
Impak daripada program berkenaan dapat dilihat daripada reaksi para peserta yang kelihatan seronok dan gembira semasa dan selepas program berlangsung. Hal ini menggambarkan penerimaan mereka terhadap apa yang dilakukan benar-benar memberi kesan terhadap perkembangan pengetahuan dan pengalaman mereka. Walaupun masih ada segelintir mereka yang masih tidak memahami apa yang dilakukan, sekurang-kurangnya ruang lingkup pengalaman mereka telah membangun dan meluas. Pengetahuan tentang ibadah haji bukan sahaja teori semata-mata tetapi dilakukan secara praktikal malahan diterapkan sejak dari kecil. Tidak mustahil kelak, mereka menjadi seorang yang berjiwa besar dengan memasang niat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama-sama orang-orang yang disayangi. Cerita sejarah yang turut diselitkan setiap kali melakukan aktiviti di “check point-check point” secara tidak langsung juga membentuk mereka bersemangat dan berjiwa kental dalam menghadapi cabaran hidup pada masa akan datang hasil daripada nilai-nilai murni dan pengajaran yang sememangnya terselit di dalam setiap rukun haji berkenaan. Program ini bukan sahaja memberi impak kepada para peserta malahan kepada semua yang mengikuti program tersebut termasuklah kami para mutawif dan guru-guru pengiring.
Berkenaan dengan nilai insaniah yang diperolehi hasil penglibatan dalam program ini pula, ia telah membantu dalam mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi antara saya bersama komunita kecil dan juga komuniti dewasa. Kedua-dua komuniti ini mempunyai kemahiran komunikasi yang berbeza. Bagi komuniti kecil, komunikasi antara kami lebih kepada interaksi satu hala tetapi untuk mendapatkan perhatian daripada mereka memerlukan kemahiran yang lain. Kemahiran tersebut berbentuk perkara atau arahan yang memberi keseronokan kepada mereka justeru reaksi yang diberikan akan lebih cepat dan berkesan. Manakala komunikasi antara saya bersama komuniti dewasa tertumpu kepada interaksi dua hala yakni perbincangan dalam menyelesaikan masalah yang berlaku berkaitan pengurusan waktu dan aktiviti untuk memastikan kelancaran program.
Selain itu, program ini telah dapat membangunkan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan maslah. Antara masalah yang berlaku berkenaan dengan pengurusan waktu dimana masa yang ditetapkan untuk melakukakan tawaf perdana adalah pada jam 9.00 pagi tetapi diakibatkan oleh salah faham dan kekurangan mutawif, tawaf perdana tersebut tidak dapat berlangsung dengan lancar. Kekurangan para mutawif dalam menyelia sesebuah tadika juga antara masalah yang berlaku. Walaubagaimanapun, kami tetap berusaha untuk menyelesaikan tugas sebagai seorang mutawif walaupun terdapat sedikit perasaan malu dan janggal ketika menguruskan jemaah haji cilik itu. Saya dapat belajar untuk berusaha menyesuaikan diri dalam situasi yang tidak dijangkakan dan menjadikan saya lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. Kami turut mengadakan perbincangan ringkas antara para mutawif untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Hal ini secara tidak langsung menguji kemahiran kerja bersepasukan antara kami para mutawif. Kekurangan para mutawif diselesaikan dengan setiap mutawif akan menguruskan setiap tadika berseorangan bagi mengatasi kekurangan mutawif akibat kehadiran para peserta yang serentak pada satu-satu masa berbeza dengan perancangan awal dimana setiap tadika akan diuruskan oleh dua orang mutawif.
Seterusnya, program ini juga telah memberi ruang kepada saya untuk melatih kemahiran kepimpinan dan proaktif dalam melakukan sesuatu perkara. Saya telah mengetuai (mutawif) bagi sebuah tadika sehingga proses ibadah haji cilik tersebut lengkap termasukklah beberapa buah tadika lain yang ketiadaan mutawif dan berlaku beberapa masalah dalaman. Bagi memimpin sebuah komuniti itu amatlah berat tanggungjawabnya terutama dari segi menyampaikan maklumat dan menyelesaikan masalah. Hal ini berjaya dilakukan hasil daripada bantuan guru-guru pengiring dan tunjuk ajar rakan-rakan yang turut bersama-sama menjayakan program berkenaan. Nilai etika dan integriti turut diperolehi semasa program ini berlangsung. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan tanggungjawab yang diberikan kepada orang lain. Hal ini kerana tanggungjawab yang diberikan sebagai seorang mutawif itu merupakan amanah yang harus dipikul tak kira apa sahaja masalah yang melanda. Selain itu, kita juga tidak seharusnya mementingkan diri sendiri dalam sesuatu tindakan yang akibatnya akan melibatkan orang lain. Contohnya, terdapat segelintir guru-guru pengiring yang tidak mengendahkan matlamat utama yang ingin dicapai dalam program ini dengan sanggup memotong barisan dan tidak melengkapkan rukun haji yang ditetapkan demi menyelesaikan program ini dengan segera. Hal ini menunjukkan nilai integriti seorang guru yang boleh dipersoalkan dan tidak professional dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan.
Sebagai kesimpulannya, program ini telah banyak membantu dalam menigkatkan ilmu pengetahuan dan membuka luas lingkup pengalaman saya dalam menjadi seorang mahasiswa yang berkualiti dan berkebolehan tinggi. Selain meningkatkan kemahiran diri, program ini juga telah beraya membantu menigkatkan nilai kerohanian yang jarang-jarang diperolehi di dunia luar. Semoga usaha-usaha seperti ini berterusan dan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat agar lahir generasi yang berpotensi tinggi dalam membangunkan masyarakat dan negara dan seimbang dari segi rohani dan jasmani.
~Shobah~