Ihsan dalam Bekerja

kalau hidup sekadar hidup

Perbualan santai sewaktu berkumpul semasa makan tengahari agak rancak, apabila keluar topik tentang staf kontrak. Luahan kesal, tidak puas hati yang tersirat dapat dibaca daripada lafaz tersurat yang terpacul dari mulut seorang staf yang hanya mendapat taraf tetap setelah 9 tahun berkhidmat. Itu belum lagi kawannya yang telah berkhidmat selama 15 tahun.

Dalam suasana ekonomi yang gawat ini, kedudukan staf kontrak memang tergugat. Jikapun diperbaharui kontraknya, gaji pula banyak dikurangkan. Yang menariknya apabila dia mula buat perbandingan tentang prestasi kerja staf kontrak dengan staf tetap yang asyik ponteng kerja, bekas ketua keraninya terus membalas dengan kata-kata  yang melekat di hati dan minda saya. Tazkirah tidak rasmi ringkas tetapi berbekas yang saya rasakan patut dikongsi di sini. “Tapi akak dah tengok ramai orang yang macam gini, nanti dalam hidupnya ada-ada aje rezekinya yang Allah tarik. Kereta rosak. Sakit. Anak asyik demam.  Orang yang gaji kecik pulak sentiasa cukup, hidup senang, tak susah. Itu yang akak selalu pesan kat dia orang ni. Akak kalau masuk kerja lewat 5 minit pun dah rasa kecut perut.”

Tidak ramai yang ada rasa ihsan seperti ini dalam bekerja. Ihsan dalam erti kata ‘kamu beribadat kepada Allah, seolah-olah kamu melihatNya dan sekiranya kamu tidak melihatNya, kamu dapat rasakan yang Dia melihat kamu.’ Kerja kita ini juga sebahagian daripada ibadah. Tidak terkecuali daripada dihisab oleh Allah SWT. Justeru, gunalah masa kerja ini sebaik-baiknya. Bersikap amanahlah terhadap tanggungjawab yang diberikan.